Skip to main content

Ragu seperti ragu-ragu




sepuluh minit di ja'ranah

bahu, dada dan lehermu dilitupi duri-duri, melumatkan daging tubuhku saat pertama kali kudakapmu. kubiarkan juga, hancur segala. merah dan basah pepasir. kau masih tersenyum sedang aku tinggal putih tulang semata, hingga kaktus dan unta hitam sehitamnya, hinggakan debu asyik menari. aku rebah tak bersuara dan kau melangkah pergi, menanggalkan duri-duri yang pekat merah, merangkai ketewasanku. nafasku, hanya nafasku mengejarmu.

arab saudi, disember 2019.
                          ***
Keraguan asas keimanan kata Dekah. Saya kerap meragui apa yang orang sekeliling saya katakan. Penerimaannya kadang sekadar mengeya, kadang sinis, kadang dengan kelelahan. Tapi kalau selalu, berulang, ia masuk ke telinga, hati perlahan-lahan beriman kepadanya. Saya menuliskan sajak ini ketika melihat anjing-anjing menyelongkar gumpalan sampah, di suatu RnR dekat Ja’ranah, tidak jauh dari mekah, dalam perjalanan menuju ke Madinah. Saya demam, batuk teruk, berkahak, dan hanya sebotol air, seketul Hacks dan sebiji buah limau untuk menahan perubahan mendadak suhu diri. Anjing-anjing itu gemuk, tidak peduli bau hancing yang ditiupkan angin padang pasir. Orang-orang tua yang berkerumun hendak ke tandas, tidak tahan dan pancut dekat luar, tak jauh dari masjid. Udara berselendang kering dan debu pepasir memercik di mana-mana. Saya cuba mendekati anjing. Mereka sikit pun tak peduli. Apabila saya betul-betul dekat mereka langkah seribu, meninggalkan selonggok kekecewaan.

                         ***

Saya dapat berita kampung saya banjir. Rumah keluarga mula dinaiki air ke paras buku lali. Ini adalah kali kedua sepanjang pengetahuan saya ia berlaku. Kali pertama beberapa tahun lepas. Sejak mengenal udara, hidup saya belum tahu apa rasa banjir macam bebudak dalam sajak In the Midst of Hardship. Saya salahkan kerja-kerja rakus pembalak dan pelombong yang berperangai syaitan. Tapi saya belum pernah berpeluang mendapat mimpi membunuh mereka. Hanya khayalan-khayalan dan angan-angan pada waktu senggang seperti; memasang bom pada jambatan yang menghubungkan laluan antara jalan utama ke lombong atau merosakkan mesin-mesin pemproses bijih timah atau membenam pisau ke dada tauke-tauke mereka yang semuanya nun di tanah besar sana asalnya.

                           ***

Saya selalu tidak dapat mengawal kantuk pada siang hari terlebih lagi pada hari hujan dan sesudah tidak cukup tidur sebelah malam dek kerja-kerja meletihkan. Dalam mimpi sial, saya dihanyutkan arus banjir yang gemuk berlemak. Terkapai-kapi tangan saya di tengah-tengah arus ganas. Sejuk macam jari berkuku panjang, mencengkam kulit dan menembusi liang roma. Warna langit berdarah. Muzik arus yang suram, cengkerik dan unggas ikut mengiramakannya. Mata saya terpejam rapat, air-air memenuh diri. Apabila tersedar – saya ingat sedar dari mimpi; saya ditelekukan, dua tangan diikat simpul belakang, kepala tertunduk dan teman serumah saya sekarang sedang berada di sebelah, duduk berlutut sebelah, tangan membuka sebuah kembaran dan membacakan sajak, entah apa. Selesai bacaan, saya dipancung, darah memancut, kepala bergolek. Kemudian saya tersedar lagi buat kali kedua, dalam kedudukan yang sama, cuma kali ini saya mendengar hilaian kuda dari belakang. Saat bibir baru hendak terbuka apitannya, lutut terus tersayat pada jalan berbatu kerikil. Saya diseret dari belakang, terguling-guling, menuruni bukit sehingga tiba di padang pasir dan terhenti disitu, tubuh lembap berdarah, berbalut pasir halus. Tercungap-cungip, macam Jesus berjirus darah dalam filim Passion of Christ – barulah saya benar-benar bangun dari siang mimpi.

                           ***

Apa-apa yang lama tumbuh akan mati atau jatuh. Keimanan juga asas keraguan. Pernyataan ini tak ada kena-mengena dengan cerita saya. Anda tak perlu percaya dengannya. Malah, ragu, apakah yang saya tuliskan ini benar berlaku atau cereka semata. Cuma saya tak peduli pun kamu percaya atau tidak.


Comments