Biar saya mulakan catatan ini dengan pagi saya. Tepat jam 646 saya bangkit, mengecas fon yang terpadam, menjerang air, menggosok gigi, menutup dapur, mencuci wajah dengan air suam dan kemudian mandi. Saya solat subuh pada jam 7 dan kemudian membancuh kopi, membelek fon sebelum keluar berjogging. Sepulangnya dari jogging saya membuat sambal dan makan bersama pulut. Seisi rumah juga turut bersarapan dan membasuh tekak dengan, sekali lagi, kopi. Seusai bersarapan saya terus pergi ke pinggir hutan untuk memotong rumput buat lembu-lembu saya. Sewaktu saya berada di kawasan belukar dan repuh itu, sambil memegang sabit, terbongkok-bongkok merabus rumput, mencekaknya dan memotong - saya terasa seperti Adil, watak dalam filem Bunohan di mana ada satu babak selepas dia dilarikan daripada pertarungan muay thai - dia meredah paya yang dipenuhi oleh rumput2 liar. Imej ini bukan kali pertama saya rasakan malah setiap hari bila saya berada di kawasan belukar yang berpaya-lecak it...