Skip to main content

Secerpen Rahman Haji Yusof, sasterawan Pahang.




Rahman Haji Yusof (RHY) seorang sasterawan yang pendiam. Kali pertama saya bertemunya di sebuah kedai roti canai Melayu di bandar lama Jerantut. Dia datang bersama Dato Dr Mansor Abdullah (M Ashikin) dan Abdul Rahman Janai (Kelompen Koe) seniman berambut panjang gondrong yang saya sangkakan Mansor Puteh. RHY lah yang mula2 kontek pm fb saya mengajak berjumpa. Katanya ada bengkel di Lipis dan dia mahu singgah di Jerantut.

Memang saya terlebih dulu addnya di fb setelah membelek beberapa buah novelnya di pustaka; Bupala dan Tak Seindah Impian (pemenang kedua Hadiah Sako 2007 di belakang novel Anwar Ridhwan). Pertemuan itu kemudiannya membibitkan penyertaan saya ke dalam Dewan Persuratan Melayu Pahang sebagai ahli kawasan Jerantut dan seterusnya terlibat dalam beberapa aktiviti anjuran mereka.

Kali kedua kami bertemu lagi sewaktu bersama2 jadi ahli panel dialog sastera di PPD Jerantut. Dan kali ketiga beberapa bulan lalu kami sebilik (bersama M Ashikin) di De Rhu Beach Resort untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah sayembara penulisan DPMP-PKPP di mana saya salah seorang pemenangnya.  Seperti di medsosnya juga yang tak kerap update atau berkomen, RHY di dunia sebenar adalah seorang pendiam dan kurang bercakap. Semasa sesi dialog sastera dia mengakui yang dia tidak biasa bercakap depan orang. Malah percakapannya di depan ramai pendengar tika itu tersekat-sekat dan membosankan, berbanding M Ashikin yang deras dan lancar serta berdegar pula butir katanya. Semasa kami sebilik pun begitu juga. Mungkin sebab dia demam dan mengokol batuk tika di resort itu menjadikan dia tak bercakap sangat walau sebilik sekatil. Saya masih ingat M Ashikin mengusiknya tentang jandanya yang turut datang di resort itu untuk majlis penyampaian hadiah sayembara.

"Aih dia berjumpa janda dia tadi. Berpeluk ler," kata M Ashikin dengan suara parau, tersengih-sengih pada RHY yang berboxer dalam selimut tebal dan terbatuk-batuk. Angin ekon menderu kencang masa tu. Nazri Sham yang ada ketika itu turut senyum. 

"Mana ada. Haram," balas RHY perlahan, antara dengar tidak.

Malam itu dia batuk kuat betul walau dah telan ubat beberapa kali. Kasihan menengoknya. Dalam masa yang sama ada idea timbul untuk saya tulis cerpen tentangnya tapi sampai sekarang tak tulis2 lagi. Pagi esoknya saya dan RHY sarapan bersama di kafe resort. Dia tak banyak cakap juga. Seperti selalu, dia berpakaian rapi–kemeja dan slek bergosok, kasut berkilat dan rambut disisir kemas. Kemudian dia menghantar saya ke terminal bas Kuantan dari Cherating menaiki keretanya. Jarak agak jauh. Saya cuba berborak dan mencungkil cerita. Tapi dia tak banyak cakap juga. RHY adalah contoh klasik (ataupun stereotaip saya saja) seorang pengarang sastera yang punya sejenis aura dengan pendiamannya itu. Beberapa buah novel dan cerpennya pernah menang anugerah, hadiah dan diterjemah membuktikannya.

Tapi saya akui saya tak habiskan semua novelnya. Novel terbarunya Gadis Tasik, 2016 yang menang pertandingan menulis citra Malaysia terbitan DBP, tak saya habiskan lagi kerana tema dan bahasanya terpisah daripada saya. Bupala dan Tak Seindah Impain saya baca separuh kerana sebab yang sama. Tapi ini tidak serupa dengan cerpen-cerpennya. 


Hari ini di pustaka saya membelek kumcernya Jagung Manis Kayu Gaharu terbitan ITBM, 2016 yang baru sampai di rak perpustakaan awam daerah Jerantut. Cerpen Pelanduk Tidak Menari Lagi sangat menarik dan tragis. Ia berkenaan Aki Ali Awang yang tua juga penari tarian langka pelanduk bersama cucunya Tarmizi, dijemput untuk membuat persembahan di hadapan perkahwinan Rosemawati yang merupakan bekas kekasihnya. Dan suaminya pula seorang pemburu pelanduk yang kejam di pulau itu. Begitu juga dengan cerpen Pelakon berkenaan seretan masa silam seorang penulis skrip. Cerpen ini bermain dengan bayangan-bayangan dan khayalan serta kenyataan yang tidak berapa jelas.

Tapi cerpen terbaiknya yang betul-betul menyayat hati dan menjuraikan air mata saya adalah cerpen Malang. Cerpen ini terbit di akhbar yang kemudian diterjemah Dr Victor Pogadaev ke dalam bahasa Rusia dan terbit dalam akhbar di sana serta diantologikan juga di sana. Cerpen ini mengisahkan anjing betina tua, Merah yang merupakan anjing pembiak baka untuk Peladang Tua. Sudah banyak kali dia beranak dan belum sempat sehari PT akan segera jual kepada orang luar. Dalam pada itu PT melayan Merah dengan buruk sekali dari segi makanan atau perhubungan manusia-anjing. Padahal Merah sangat setia dan berasa terhutang budi kerana diberi tempat tinggal. Akhirnya Merah tak tahan lagi.  Dia bertekad untuk melawan dan berkata pada diri bahawa kali itu biarlah dia protes sebagai penunjuk bahawa tidak selamanya anjing itu binatang yang melulu mengikut arahan. Kali keenam dia beranak dia melawan PT demi anak2nya. Merah menyalaknyalak dan sempat menggigit PT sehingga koyak kulit betisnya. PT yang benci salakan dan terkejut tindakan Merah itu menembak Merah sehingga mati.

"Angin bulan disember bertiup secara tiba-tiba. Rintik-rintik hujan mulai turun di persekitaran sawah. Air hujan itu pun berbaur dengan darah merah yang keluar dari rusuk si Merah.
Dan, pada dakapan pagi yang disaksikan anak-anaknya, si anjing betina bernama Merah itu pun menutup matanya. Di celah-celah penjuru mulutnya, ada lidah terjulur.
Barangkali dia mengejek Peladang Tua yang tidak faham akan kesetiaan bersahabat."

Saya berasa sungguh sebak sesudah menghabiskannya. Mungkin sebab akhir-akhir ini saya banyak menonton video animal rescue Hope for Paws ataupun The Dodoo. Mungkin sebab sebelum ni saya ada bela anjing. Saya pernah menulis cerpen berkaitan anjing, malah dua cerpen. Mengapa tidak merasa sesebak cerpen RHY ini? Adakah sebab dia menulis dari sudut kemanusiaan dan saya menulis dari sudut seekor anjing? Atau sebaliknya? Dalam pendiamannya itu banyak perkara yang Rahman Haji Yusof pendamkan, tentunya.

Comments

  1. assalamualaikum tuan, boleh saya tahu macam mana nak contact atau reach RHY ? Saya pelajar Sastera Melayu dari Universiti Malaya dalam proses mencari tokoh sastera untuk ditemu ramah. Saya amat hargai kalau tuan dapat berkongsi cara untuk mendapatkan contact RHY. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. Boleh contact Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP)

    ReplyDelete

Post a Comment