Jam 0221. Salakan anjing sayup di luar, cericit serangga dan sesekali deruman kereta, juga perbualan di sebelah yang menggaru lena. Panjang.
Cuba tekup telinga dengan fon. Cuba pejam. Entah berapa banyak difendramin diteguk. Masih menyala mata.
Seorang teman apdet status sunyi itu mahal. Saya balas sungguh.
Dua hari lepas, tengah malam tiba-tiba lidah kebas, tangan geletar, badan kejung. Terus bangun, tarik nafas dan goncang badan. Entah sindrom apa.
Perbualan di sebelah dalam suasana senyap selalu mencipta debar, gelisah dan penasaran. Di kampung, kalau dalam bilik bersunyian kala suasana begitu sepikaku dan tiba-tiba ada suara menghidupkam huruf-huruf, dada saya akan tiba-tiba berdebar. Jiwa gemuruh. Duduk tak tenang, baring tak senang. Saya akan meluru keluar, jalan kaki dan hirup udara. Tapi di sini? Hanya puntung rokok direnyukkan.
Tidur itu nikmat dan selalu ia kedekut padaku. Bawah mata kian hari menghitam. Membencikan di cermin. Sesekali vertigo menyapa, pusing-nya maha, gigi tergerak sendiri, bumi tertelingkup, mata pun, tangan pun... kepada siapa hendak kupaut kalau bukan diri sendiri.
Jam 0530 saya tutup lampu dan baring sesudah menyiapkan dua halaman kerja terjemahan. Masih terdengar salakan anjing, siulan semut dan gemuruh saya makin bertingkah.
Cepatlah, saya mahu jadi hantu.
Comments
Post a Comment