Skip to main content

Sehariku 2

Laparkan Shawarma

Secalit Sehariku#2 sepatutnya sudah boleh dibaca di blog ini semalam. Tapi entah kebangangan apa pada app blogspot saya di fon, ia tidak terterbit. Saya menulis tentang bangun pagi dan tetiba teringat akan shawarma yang sedap – dibeli di gerai pak Arab di Hadramawt Lane, Bukit Bintang dan makan sambil menunggu bas GoKL (dengarnya kerajaan akana tamatkan perkhidmatan ni? Kalau jadi betul, memang tindakan dungu akal sungguh sebab saya memang akan naik bas ni). Dan dari keinginan itu saya berusaha membuat satu yang serupa, kalau tak sama sekalipun. Di rumah tak ada tortilla atau roti pita (di bakeri Aeon dijual sangat murah!). Yang ada cuma roti. Dah tentulah tak ada daging panggang. Yang ada cuma naget ayam. Dan tak ada timun jeruk. Tapi ada mayo (walaupun rasanya berbeza dengan mayo Arab tu tapi adalah keserupaan dia sikit kan?) dan jejari kentang. Saya potong kecil-kecil naget dan goreng sekali kentang. Saya sapu mayo pada roti dan kapit dengan bahan goreng tadi. Tentulah saya kecewa kerana ia tak sama walaupun ada bahannya yang serupa. Tapi tak apalah, ia membugarkan keinginan saya untuk ke BB lagi dan makan shawarma itu.

Sekarang saya sedang mengusahakan tiga manuskrip novel; kanak2, dewasa, remaja. Tumpuan lebih diberikan pada mansukrip dewasa itu yang kini sudah mencapai 20k patah perkataan. Saya ingat hendak tamatkannya pada 73 , 75 atau 80k pp. Mungkin akan mengambil masa sehingga hujung tahun ini untuk ia betul-betul siap dan kemas sebelum berfikir-fikir ke manakah ia akan dihantar. Pada mulanya saya mahu menulis bildungsroman/coming of age yang panjang meliputi zaman kecil-remaja-dewasa. Dan saya sudah mendapat gambaran kasar di fikiran tentang bagaimana arus cerita itu akan digerakkan. Cuma saya tidak ada penamat khusus walaupun sudah mencoret di kertas tentang idea kasar ceritanya. Namun pabila mula menekan papan kekunci di komputer, idea-idea lain sering hinggap tentang bagaimana satu2 watak boleh digerakkan. Ia seperti saya mencipta watak itu dan kemudian watak itu pula bersuara sendiri dan mahu saya menggerakkan cerita dengan alur mereka. Jadi saya takkan boleh jangka bagaimana cerita ini akan bergerak walaupun saya dah mula nampak rangkanya di dalam kepala.

Ketika menuliskan ini, saya baru menghabiskan secawan teh hijau. Hari ini saya sudah menghabiskan tiga uncang teh hijau. Saya mula bertanya bagaimana saya makin menyukai teh ini walaupun satu ketika dulu saya rasa orang jepun atau cina sangat dungu kerana minum teh yang muda, tak ada rasa apa-apa, tawar dan hambar. Kesukaan terhadap teh hijau ini dibentuk dengan kepercayaan bahawa ia memberi tenaga, seperti yang saya terbaca pada satu artikel dan juga dakwaan yang ia bagus untuk perut. Dengan set-set kefahaman sebegitu saya menghirup, meneguk, seperti ia keperluan utama. Ia tak mengecewakan seperti percubaan saya membuat shawarma. Tapi saya menikmatinya seperti saya menikmati proses menulis. Saya berharap ketika menoktahkan manuskrip saya nanti, atau kemudiannya direjek untuk ke berapa kali seperti manuskrip2 sebelum ini, saya tetap suka menulis seperti menikmati teh hijau.

Sajak MerakamTeh Hijau

wangimu mengepul di petak mimpi
berkumpul di cawan pagi
keinginan pasang pada waktu dan angan,
kucicip tawar kelat
kedinginan menokok tapak kaki
teh hijau panas - menghangatkan kenikmatan dari alur jiwa
sewaktu pagi terpecah-pecah
tanganku masih ditangkai cawan
lidah ditelukkan tawarnya
(12 Ogos 2018)

Comments