Skip to main content

Menulis di fon





Kalau menulis di fon saya berkecenderungan menulis dengan patah perkataan yang pendek dan seringkalinya dengan keinginan cepat mahu ditamatkan suatu2 penulisan itu. Sebab fon bersaiz kecil. Ruang muka taipnya memberi perspektif di mata bahawa segala teks mesti padat. Lagipula kegunaan utama fon pada awalnya memang bukan teks pun. Ia lebih kepada suara, komunikatif. Tapi dengan kehadiran SMS ia mengembangkan fungsi teks dalam bentuk pendek. Dari sini lahir gaya baru penulisan spt menghapuskan huruf vokal. Dan nama pun sistem mesej singkat, kan? Ia bergerak terus maju ke depan dan ada aplikasi MW, notepad dan pelbagai lagi.

Tapi hantu bentuk kependekan ini terus menghambat terangan sebab saiz fon kecil. Ia tak seperti komputer di mana regangan tangan kita lebih terbuka dan jari lebih punya ruang pada papan kekunci. Kita duduk menyandar di kerusi, paparan skrin yang lebih luas memberi jarak tertentu untuk tak saja berfikir tapi buat terasa hendak menaip lebih panjang kerana ruang banyak yang perlu dipenuhi.

Saya sebelum ini menggunakan Blackberry 8520 dan empat tahun lepas Blacberry Q10. Hal yang saya suka mengenainya adalah papankekuncinya- timbul dan berbeza dengan kebanyakan fon yang bersifat sentuh skrin. Dengan butang2 ini kita baru terasa ada sentuhan yang lebih fizikal dan timbul. Kalau menaip terlalu banyak sakitnya terasa di jari sampai boleh memerah. Kini saya tinggalkan Blackberry sebab teknologi mereka tidak ikut berkembang seiring kompetitur mereka. Malangnya, kini saya berandroid dan jemari saya menyentuh, menyapu skrin sehinggakan kalau terlalu panjang patah perkataan yang saya taip (taip? ada istilah lain tak sebab taip berbunyi fizikal berbanding perlakuan saya sekarang) hujung jari berasa tak selesa. Rengsa.

Di fon saya tak boleh menulis cerpen. Ia akan jadi certot. Entri blog pun tak boleh panjang. Ruang kecil muka fon di mata buat idea dalam kepala dihimpit ketergesaan. Untuk meroyan lebih saya perlu kembali pada komputer atau kertas buku latihan, di sana adalah padang uji yang lebih luas dan mencabar kederat memercik idea.

Comments