Biar saya mulakan catatan ini dengan pagi saya. Tepat jam 646 saya bangkit, mengecas fon yang terpadam, menjerang air, menggosok gigi, menutup dapur, mencuci wajah dengan air suam dan kemudian mandi.
Saya solat subuh pada jam 7 dan kemudian membancuh kopi, membelek fon sebelum keluar berjogging.
Sepulangnya dari jogging saya membuat sambal dan makan bersama pulut. Seisi rumah juga turut bersarapan dan membasuh tekak dengan, sekali lagi, kopi. Seusai bersarapan saya terus pergi ke pinggir hutan untuk memotong rumput buat lembu-lembu saya.
Sewaktu saya berada di kawasan belukar dan repuh itu, sambil memegang sabit, terbongkok-bongkok merabus rumput, mencekaknya dan memotong - saya terasa seperti Adil, watak dalam filem Bunohan di mana ada satu babak selepas dia dilarikan daripada pertarungan muay thai - dia meredah paya yang dipenuhi oleh rumput2 liar. Imej ini bukan kali pertama saya rasakan malah setiap hari bila saya berada di kawasan belukar yang berpaya-lecak itu. Peluh jantan yang mengaliri tubuh, kicauan burung, terik mentari di atas kepala, bentangan bukit hutan di hadapan dan laungan burung wak2 atau mawas merunjas dahan - ini semua membuatkan saya terasa sebahagian Bunohan. Cuma tubuh saya berisi.
***
Seorang kenalan saya telah menyahaktifkan semua akaun laman sosialnya. Ujarnya (melalui whatsapp), laman sosial terlalu toksik baginya. Saya kerap bertemu perkataan toksik itu mutakhir ini. Ianya membuatkan saya teringat kepada iklan kerajaan di RTM sekitar tahun 90an dulu di Tv dengan aereal tulang ikan (siarannya sering berbintik dan terjejas teruk ketika hujan/berangin). Iklannya adalah sebuah lori berhenti di pinggir jalan, mengeluarkan tong2 biru dan menggolekkannya ke bawah yang mana ianya terjatuh ke kawasan sungai.
Sementara itu di fb saya ternampak satu hantaran yang menyatakan, lebih kurang ' suka kondem novel cinta tapi tak beli buku ilmiah. Mereka rajin beli URTV dan Mangga dan tonton Melodi. Jadi keyboard warrior di page2 gosip artis'.
Ini membuatkan saya teringat kepada biodata Wan Nor Azriq pada web jalantelawi.com (ruangan sajak;ada tiga sajak [atau prosaik?] WNA) yang menyatakan cerpennya pernah tersiar di URTV. Kalau tidak silap saya URTV adalah media cetak di bawah Kum Utusan dan melalui ruangan cerpennya banyak juga cerpenis telah lahir dari situ. Sementara itu rasanya majalah Mangga sudah tidak diterbitkan. Siapa mahu baca majalah sebegitu lagi, sebenarnya?
***
Petang
Saya ingin membeli pisau cukur - lebih tepat lagi jenama Schick warna hijau. Saya melewati kedai 711 dan di dalamnya saya ternampak majalah National Geographic edisi september ini. Saya ada bacanya semalam di pustaka, rencana utama berkenaan ketagihan. Ada gambar lawa - syot seorang minah kurus keding berambut blonde menoleh, berjaket bomber dengan latar subuh (atau senja), kawasan yang penuh dengan khemah di bawah jambatan. Wajahnya itu mengingatkan saya pada Mat Kicap, seorang penagih heroin tegar yang juga gelendangan. MK pernah cerita tentang strugglenya dia cuba berhenti sedut barang (dia cerita ketika stoned! Mengingatkan saya pada babak druggie bercerita dalam filem Basketball Diaries). Banyak kali dia cuba. Dia pernah 3 kali ditahan pusat pemulihan - satu daripadanya dia berjaya melarikan diri. Betapa asyik MK bercerita tentang advencernya itu sehingga saya terlelap. Semalam saya tak sempat habis baca NG itu. Jadi kalau saya beli boleh juga layan tapi harganya 19.90, macam harga novel lokal.
Saya beli pencukur, keluar dan menghenjut tuil pengidup enjin motosikal. Saya berpaling ke belakang dan melihat seorang gadis pelancong Eropa berjalan kaki. Menjadi keanehan saya dia memakai seluar panjang dan rambutnya bersanggul. Ianya berbeza dari kebanyakan pelancong yang saya lihat di pekan ini yang memakai seluar pendek dan topi. Dia memang cantik dan kelihatan muda dengan flanel berjalur hitam putih melintang, berkacamata dan berjalan tenang. Saya terasa ingin menegurnya setelah kali terakhir menegur pelancong ialah 12 tahun lepas (kami berbual panjang dan dia mengutuk seorang pemain bola Malaysia) saya terasa hati. Ketika itu saya tingkatan 6. Kami bertukar email tapi saya tak pernah cuba menghubunginya. Berbalik pada gadis tadi, dia sudah melepasi saya. Saya berjalan menghampiriya sebelum terhenti. Dia sedang membeli tiket. Dia cantik - rupanya dia ialah gambaran watak dalam salah satu cerpen saya, Cangcang Matanya yang tersiar di eksentrika.com. Betapa terasa unsur dejavu! Nama watak itu Angela. Saya rasa ... serba tak kena.
Saya naik motor dan pulang. Sepanjang perjalanan kepala fikiran mengaitkan perihal objek/visual di realiti dengan masa lalu dan kenangan. Apakah ini bermaksud saya : 1. Tidak ada kerja 2. Kerap bernostalgia (kata sorang penulis amrika 'jika anda hidup di masa lalu anda tak punya masa depan' atau 3. Sekadar pemikiran kosong?
Saya tak dapat menjawab persoalan ini dengan objektif. Yang saya tahu hati saya meruap-ruap ingin mencatatkan perihal ini lalu saya menulisnya...
harimu sangat indah... tidak ramai yang mampu berkisah bagaikan diari ini
ReplyDeleteTidak dipapar perihal gelap-resah...
ReplyDelete