Skip to main content

Perbualan Bersama Pustakawan Jerantut






Slogan-slogan seperti 'membaca jambatan ilmu' atau 'buku jendela pengetahuan' , seingat saya pernah saya lihat pada dinding kelas-kelas di sekolah. Saya juga masih ingat, saya bacanya, sekadar membaca begitu saja tanpa apa-apa perasaan makna kan menyusup ke telinga hati saya.


Tapi seingat saya juga, saya belum pernah melihat slogan-slogan itu dicat pada dinding perpustakaan daerah saya, Perpustakaan Awam Jerantut. Syukurlah, bukan itu yang kita mahu lihat. Perpustakaan adalah tentang pembacaan dan komuniti setempat, tentang budaya dan merapat dekat untuk pengetahuan yang wajar dipupuk sejak kecil.


Kata Borgess 'saya sering membayangkan syurga itu ialah perpustakaan yang dipenuhi buku-buku'. Senyap-senyap saya sangat menyetujui pengharapan ini.


Hari ini saya pergi ke perpustakaan pada jam 0915 selepas terlepas bas ke Kuala Lumpur. Lalu saya mula duduk di meja dan menulis sajak kerana idea bertalu-talu datang. Sedang saya ralit menulis tiba-tiba saya disapa oleh pustakawan wanita (saya lupa namanya, barangkali Zaleha?)  yang sedang menyusun koleksi buku baru ke rak. 

Dia bertanya,
'Eh awak dah tonton Tombiruo?'
'Belum'
Dia datang mendekat dan menunjukkan novel Tombiruo Terakhir.
'Best tak?'
'Semua novel RAM saya rasa best'
'Ah, itu saya tahu, cuma yang ini saya tak pernah baca lagi.'
'Ini salah satu sirinya. Ia ada 2 novel lain lagi'
'Oh, ya? Nak bacalah.'

Saya senyum. Dia berlalu pergi, terhenti seketika. Saya buka buku latihan dan menyiapkan sebuah sajak. Pustakawan itu bersuara lagi.

'Dari novel pun dah jadi filem sekarang'
Saya angguk dan senyum.
'Eh awak nulis mende tu?'
'Sajak.' Kata saya. Saya baru saja mengusaikan dua sajak bertajuk Sehelai Tuala Pudar dan Sapu Tangan Menyapu Angin.
'Haa ' dia seperti terkejut. Dan menyambung, 'awak penulis ye?'
'Ada lah sikit-sikit.'
'Apa yang awak tulis? Buku ada?'
Saya tunjuk pada majalah Dewan Sastera dan mengatakan ada sajak saya di dalamnya. Saya juga beritahu cerpen saya Lelaki Perpustakaan ada dalam majalah Tunas Cipta.


Dia segera menyuruh saya masuk ke bilik dokumentasi dan membawa keluar majalah Tunas Cipta dan Dewan Sastera. Saya tunjukkan padanya sajak dan cerpen tersebut. Dia kagum sambil menelitinya.


'Padanlah awak selalu datang sini.'
'Saya suka perpustakaan.'
'Awak tak beritahu pun awak penulis.'
Saya tersengih.
'Takpe saya akan buat salinan dan keratan khas sajak dan cerpen ni, asingkan dan dokumenkan, untuk penulis Jerantut. Tak tahu pun selama ni ada penulis Jerantut.'
'Cerpen ni saya tulis dengan latar dan isnpirasi dari perpustakaan sini.'
'Haa, negatif ke positif?'
'Puan bacalah dulu.'
Dia membelek cerpen itu dan mengangguk-angguk.
'Awak tak tulis buku ke?'
'Oh, ada. Sata ada sumbangkan satu pada pustaka ni.'
'Iya ?'
'Kejap.' Saya mendapatkan novel saya Menculik Sensasi terbitan Lejen Press. Dia senyum sambil memegangnya.


'Kenapa awak tak beritahu sebelum ni? Alahai.' Saya mengangkat bahu dan mengumbar senyum kambing.
Dia panggil staf-nya, menyerahkan novel serta majalah tadi dan meminta mereka buat salinan. Saya sambung duduk dan memperkemas sajak saya. Dia datang semula dan mula bercerita, bertanya tentang kehidupan saya, kelulusan (kami se-alumni, opkos, UiTM dihatiku), bercerita tentang hal-hal buku, Roslan Madun dan akhirnya tentang visinya untuk menambah baik perpustakaan Jerantut.


'Saya dah tulis bermacam papaerwork, mintak peruntukan dari yb dan penghulu. Nak mintak kat kerajaan, untuk tahun ni, tak boleh dah.'
Sata angguk.
'Hal pustaka ni, ada duit je, jalan. Semua boleh buat. Awak dah pergi pustaka baru negeri?'
Geleng.
'Pergilah. Best. Ada pusat sains. Awak tahu, sejak dibuka, bilangan pengunjung mencecah ribuan orang. Bebudaklah suka databg terutamanya. Pusat sains tu paling canggih dalam negara.' Terangnya panjang lebar.


Dia menyambung, berkenaan keinginannya untuk melihat perpustakaan Jerantut lebih hidup, sudah tentu, dengan peruntukan (jika dapat) dia mahu menghidupkan ruang siber/multimedia, mengdakan slot pameran gambar balckandwhite (aku teruja!) dan sudut 3d bahagian kanak-kanak. Saya senyum dan sangat gembira mendengarnya.


'Puan, apa yang puan bayangkan ni, saya ada tulis dalam cerpen saya.'
Dia seperti melopong. Kemudian kami sembang semula. Dia vertanya jika saya kenal Prof Salmah, dan beberapa nama lagi - pensyarahnya dahulu. Saya katakan pensyarah-pensyarah saya adalag Abu Bakar Suleiman, Azmi , Fadil, Hamidah, dan beberapa nama lagi.

Dia selamba mengambil buku catatan sajak saya dan mula membaca sajak bertajuk Cebisan Tulang Cahaya. Dia baca sehingga rangkap akhir.
'Lain macam sajak awak ni ye.'
'Itulah. Ini salag satu bentuk sajak. Saya lebih gemar sajak naratif, bentuk cerita, macam sajak saya dalam dewan sastera tu. Sebab tu tajuknya PROSA Durian Dalam Cermin.'

'Lepas ni senang. Banyak-banyak sajak yang awak tulis ni, cetak. Bagi je kat budak sekolah baca, boleh baca masa pertandingan deklamasi sajak. Tak perlu mencari-cari.' Katanya 
bersungguh. 

Saya terdiam sejenak. Dia membelek-belek lagi. Dalam buku itu ada lebih kurang 34 sajak yang dicatat spontan dan penuh contengan.

'Saya tak pasti puan, sama ada sajak saya baik atau tidak dibaca untuk pertandingan.' Saya beritahunya bahawa sajak banyak jenis. Sebagai contoh, sajak-sajak Lariff Mohidin dan T.Alias Taib yang sangat imaginatif, berwajah dan terhasil di bawah sedar. Kata saya kebanyakan orang sukar faham sajak jenis begini. Terkadang, ianya dilihat polos dari luar, bersifat diafan dan kurang logik intuitif (seperti kritikan Encik Shahadan dalam DS bil10 terhadap sajak saya). Walhal menyuratkan sajak sebegitu, pada saya mememerlukan penelitian kerana punya lapisan makna dan tindanan, bukan sekadar kesan perasaan sahaja ( seperti pensajak Leo AWS di FB telah mengulas sajak saya).


'Jadi, kata saya, untuk budak sekolah rendah, rasanya sesuai untuk mereka membaca sajak yang romantis dan bersifat terus, seperti Usman Awang atau A.Samad Said.' Sepanjang mendengar penjelasan saya, dia seperti terlopong.
Saya menunjukkan karya-karya online saya, wattpad, cerpen-cerpen saya di cukaria, eksentrika, jalantelawi dan kitartb.


'Wow.' Reaksinya bila saya beritahu yang saya dapat  18 buah buku selepas 3 cerpen saya tersiar di cukaria.
Banyak lagi yabg kami sembangkan sebelum dia mengundur diri.
'Saya kena duduk kaunter. Staff saya cuti. Kejap lagi nak ke pustaka negeri pulak.'


Saya senyum dan belek buku sajak saya dan membaca sajak Penghayatan di Perpustakaan. Ianya sajak yang sangat menghargai pembaca dan perpustakaan. 

Saya lihat jam. Rupanya lebih setengah jam tlah berlalu. Ketika saya keluar melalui kaunter, Puan Zaleha memegang novel saya dan berkata 'saya nak baca novel awak.'


Saya menggaris senyum dan menunduk kepala sedikit seperti Jo In Sung sebelum keluar dari perut pustaka. Di luar sana, saya menemukan jambatan kepada rasa lega--seronok.

Comments

  1. sudah tentu... sekecil mana perpustakaan, ianya mungkin syurga buat orang macam kita.

    ReplyDelete

Post a Comment