Skip to main content

Posts

Maklum

Perkhabaran sedih dari kampung bertiup kencang tiba-tiba, mengiris wajahku, berdarah duka dan rindu. Atuk sakit. Tak boleh bangun, kaki sebelah longlai, dan kelupaan memakan senja umurnya. Setiap kali bangun subuh, aku akan segera ke rumah atu dan perkara pertama yang aku buat adalah masuk ke biliknya dan perhati jika di masih bernapas. Jangn kau rampas dia ketika aku tiada disisinya seperti kau ambil Harith ketika aku jauh daripadanya. Dan jangan pergi tanpa tanda seperti Hasifuddin, yang kurangkul jenzahnya kemudian, pulang ke rumah. Aku tak dapat tidur lagi. Biarlah, resah ini terus berdegup merisaukanmu. Jangan rindu ini pucat, jangan rindu ini tenat. 

Desing

Kesunyian penuh di pejabat ini cukup saya senangi. Hati saya girang. Berbaring merenung pokok berjirus cahaya di luar, desing motosikal yang sesekali mengencang di jalan depan. Suasana yang saya mahu raih seumur hidup, kalau boleh.

Masih

Terenung-menung siluet-siluet, dingin bercampur suam, bantal kusam dan penekup telinga nan tuli. Tiada kepastian bila akhirnya. Mereka masih kekal diam, kaku. Kemana pergi roh mereka, berkeliaran tak ketemu jalan pulang seperti lazat tidurku yang sukar kutemui kini.

Sekat

Saya mahu balik rumah dan selesaikan beberapa urusan, melunaskan kerinduan. Adakah kucing saya masih mengenali saya nanti? Bagaimana dengan kemangi di tepi rumah yang saya tanam, akan dapatkah ia membezakan siraman air saya dan orang lain?  Saya tidak pasti berapa lama saya boleh berada di sini. Ibu kota bukanlah suatu yang asing dan pada suatu ketika hampir 6 tahun menjadi tempat menetap sebelum saya merasa bosan dan perlu balik rumah. Entah berapa lama kali ini, adakah kebosanan akan menyapa juga nanti? Saya berharap saya tidak berakhir seperti puisi Heng Zihang.

Curi

Jam 0221. Salakan anjing sayup di luar, cericit serangga dan sesekali deruman kereta, juga perbualan di sebelah yang menggaru lena. Panjang.  Cuba tekup telinga dengan fon. Cuba pejam. Entah berapa banyak difendramin diteguk. Masih menyala mata. Seorang teman apdet status sunyi itu mahal. Saya balas sungguh. Dua hari lepas, tengah malam tiba-tiba lidah kebas, tangan geletar, badan kejung. Terus bangun, tarik nafas dan goncang badan. Entah sindrom apa. Perbualan di sebelah dalam suasana senyap selalu mencipta debar, gelisah dan penasaran. Di kampung, kalau dalam bilik bersunyian kala suasana begitu sepikaku dan tiba-tiba ada suara menghidupkam huruf-huruf, dada saya akan tiba-tiba berdebar. Jiwa gemuruh. Duduk tak tenang, baring tak senang. Saya akan meluru keluar, jalan kaki dan hirup udara. Tapi di sini? Hanya puntung rokok direnyukkan. Tidur itu nikmat dan selalu ia kedekut padaku. Bawah mata kian hari menghitam. Membencikan di cermin. Sesekali vertigo menyapa, pusing...