Skip to main content

Gambar

Tidak banyak gambar saya bersama orang-orang terdekat sama ada adik beradik, makcik malah kawan rapat. Di dalam galeri fon lebih banyak gambar binatang, benda, alam sekeliling dan selfie. Sepertinya saya seorang narsisis dan ego seklaigus. Dengan arwah adik saya ada satu, dalam henfon lama, Nokia Express Music yang diketik dua tahun sebelum kematiannya, di laluan baru pinggir sungai berkalbod besar di pekan. Saya pindahkan gambar itu ke dalam external hard disk. Sekarang external itu sudah rosak. Henfon apatah lagi. Kalau ada gambar bersama individu rapat lain, juga sudah terhapus. Tetapi ini berbeza halnya dengan orang yang kita ingin temui atau kagumi. Contohnya kalau dua minggu lepas saya bertemu SN, saya memang mahu gambar saya diambil. Mungkin sebab saya tahu, lepas ini tidak ada peluang lagi bertemunya. Dengan Karim, hanya ada satu gambar, itupun sebab Roslan Jomel yang ambilkan padahal sebelum ini beberapa kali sudah saya nyatakan ingin bergambar bersama. Mungkin kerana kerap berjumpa, kenikmatan pertemuan itu lebih terasa berbanding keinginan bergambar, dan saya juga selalu ada rasa janggal hendak mengajak teman rapat bergambar, entah mengapa. 


Ya, mana ada gambar saya dengan kawan rapat dulu, Hafiz, Pidot, Cadoi. Kami sangat rapat bertiga dan sekuranganya setahun sekali bertemu. Atau gambar bersama Francine. Padahal kami sangat rapat ketika di uni dahulu. Dan juga Hakimi atau Azam, yang begitu banyak suka duka kerja di KL yang kami kongsi bersama. Lagipun kalau saya rindu mereka, boleh belek medsos mereka saja. Tapi ada juga masalah, bukan semua kawan saya ini aktif di medsos. Cadoi dan Kimi contohnya, mereka tak ada akaun medsos pun! Moga suatu masa kelak saya akan berani katakan pada mereka 'jom gambar' dan sehari kemudiannya ke kedai gambar lalu mencetak gambar itu, disimpan ke dalam album dan 40 tahun akan datang, kalau masih hidup, saya akan membelek album itu, tersenyum dan mungkin mengesat air mata yang mengalir.

Comments