Semalam saya mendapati kucing kami mati. Beberapa hari lalu dia sudah mengasingkan diri dan kami tahu itu tanda jelas dia akan pergi. Malam sebelum dia mati saya sempat memberinya makan. Cicak, yang lima tahun bersama kami mati di bawah kereta. Kaku. Saya cangkul tanah tapi terkena paip air. Memancut-mancut. Jadi saya cari lokasi baru dan tanam Cicak di situ. Beberapa kali saya cuba sambungkan balik paip pecah. Tapi penyambung itu tidak kemas. Bukan jenisnya. Kedai hardware tutup. Saya fikir perlu tunggu hingga PKP ini berakhir dan beli penyambung baru. Terlalu lama. Hari ini saya cuba lagi. Pada mulanya paip ok saja selepas disambung. Tetapi menjelang petang, air kembali memancut. Saya tak dapat baca apa2. Saya cuba tetapi tumpuan hilang. Beberapa esei Daniel Green, buku Anatomi Revolusi dan buku The God Delusions oleh Dawkins, semuanya saya baca-berhenti. Cicak seolah memberitahu bahawa kematiannya akan terpahat di ingatan dengan beberapa kejadian yang menimpa.