Skip to main content

Kepulangan Cerita

Menyeberang Sungai Han - Li Pin

jauh dari kampung halaman
aku ternanti nanti berita dari sana
musim demi musim, silih berganti
sekarang, setibanya di kampungku
bertemu dan berselisih ramai orang
aku tak berani bertanya satu soalan pun




                        ***

Semalam anak nenas yang dipesan sampai. Ini pesanan kedua (repeat order). 1000 benih semuanya dan setakat hari ini sudah beberapa ratus ditanam. Terasa letih betul dari pagi ke tengahari di kebun. Masa berehat di balik seketul batu besar yang melindungi tubuh dari terik, entah kenapa, sajak Li Pin yang aku ajar kepada beberapa pelajar kelas minggu sudah menerpa. Saya melangut agak lama, memerhati langit, helang yang berpusar, sepasang enggang yang terbang ke arah pokok tualang dan cericit unggas hutan belakang dan tentu saja puisi dinasti Tang seakan mengajak saya untuk menulis barang satu dua sajak. Tapi belum. Belum ada apa2 terjelma di meja ilham. 

      Balik rumah berehat sebentar dan pikir nak sambung kerja sebelah petangnya. Baru terjengul ke luar tingkap, hujan menimpa laman. Guruh berdentum. Akhirnya aku buat cekodok pisang, air teh o nipis dan makan sama atok dan nenek dan makcik yang juga kecewa kerana tak dapat menyambung kerja menanam benih (memang mereka yang nampaknya tanam lebih banyak berbanding saya). Selesai makan, hujan tak surut2. Saya pun menyandar di kerusi dan belek buku sastrawan yang satu ini.

     Enam cerpen awal Bolano bagaikan tangan penggoda, yang memaut saya dan mengajak berjalan bergandingan di suatu lorong yang nyaman, tumpahan cahaya neon dan suara2 yang timbul tenggelam. Mungkin kisah skandal subordinate mafia dengan makwe bosnya dan kisah mangsa perang di Jerman yang paling membekas di kotak ingatan saya. Saya boleh faham hubungan tiga segi begitu. Ia bukanlah kompleks pun. Apa yang menjadikannya menarik mungkin sebab aku sebagai pembaca hendak hubungan skandal itu berjalan lancar tapi kita tahu cerita begini seperti dunia betul, ada risikonya.

  Namun kemudian pautan tangan itu kian terlerai sewaktu lorong menirus, kegelapan memamah suasana perlahan-lahan dan saya tetap melangkah menuju penghujung berwasap, penuh ketidakpastian. Begitulah pembacaan saya terhadap cerpen2 yang seterusnya. Bermula ghairah tetapi pancut awal.

Comments