Khamis, Pakngah aku datang rumah dan kasitahu abangnya iaitu abah aku tengah kritikal, ICU di Hospital Sultanah Aminah JB. "Doktor suruh anak2 datang" kata dia. Sambil itu dia menyambung, dengan wajah ceria yang dikupas cahaya tengahari "Pakngah nak kahwin bulan depan, dengan orang Jerangsang," . Aku teringatkan arwah makngah, yang meninggal beberapa tahun lepas, atas kebaikannya, atas prihatinnya terhadap keluarga kami dan aku menyesal sebab tak cukup berlaku baik kepadanya.
*
Kali terakhir aku bercakap dengan abah hampir sepuluh tahun lepas, pada malam tahlil arwah adik aku - di ruang tamu. Perjalanan dari Pahang ke KL (ambik adik pompuan) sebelum melalui PLUS - memakan masa berjam-jam. Dalam kepala aku terbayangkan akan menulis catatan yang dramatik dan panjang, diletak di FB, tentang abah - jika dia meninggal dan firasat aku kuat mengatakan begitu. Sajak Funeral Blues berdengung-dengung dalam kepala.
*
Berhenti di RnR N9, ada masak lemak cili api nangka yang sangat sedap, murah dan bau serta rasa lemaknya masih lekat hingga sekarang - di lidah ingatan.
*
Abah baru sedar ketika kami sampai jam 9 malam. Hanya seorang pelawat dibenarkan masuk. Dia terketar-ketar menyambut salamku dan membelai kepala sedang dalam fikiran aku kenapa kau lari-lari masa aku nak tegur kau beberapa bulan lalu? Kenapa kau tak tunjuk afeksyen sebegini sebelum ini? Mungkinkah kerana dia berada di ambang kematian maka hal-hal kesilapannya, rasa beraslah melintas di kepala dan matanya.
*
Entah berapa lama kami mencari hotel. Tersilap jalan beberapa kali. Kereta melanggar pagar sewaktu mengundur. Adik aku yang tak mahu berjumpa abah, memandu. Dan keletihan, mengantuk, letih. Sebelum akhirnya ketemu Marbella Hotel di Larkin. Terbakar 2ratus ringgitku.
*
Pagi Jumaat nirmala. Johor bercuti. Sarapan mi rebus yang enak di Stulang - setelah berjam mencari kedai makan Melayu, berdekatan laut dan deru ombak, angin, pepohon kelapa semacam puisi hidup yang perlahan-lahan menghapuskan wajah abah semalam, wajah cengkungnya, mata letihnya dan getaran telapak tangannya yang membelai kepala aku - merimaskan.
*
Dalam perjalanan pulang aku mengulang baca Salju Shibuya dan Koleksi Lengkap Sajak2 Latiff Mohidin. Tiada lagi WH Auden. Tiada lagi keinginan mahu menulis dramatik pertemuan itu.
*
Sabtu. Membaca Utusan di perpustakaan daerah setelah joging. Mujur sajak2nya baik belaka. Whatsapp ke Roslan Jomel memberitahu ada sajak falestinnya tersiar. Di pustaka, membelek buku fasal batik. Buku yang indah terbitan Muzium Tekstil negara sementara buku Hijjas Kasturi terbitan DBP kavernya cantik namun malang isinya buruk.
*
Ahad. Merancang hendak menulis novel semula setelah joging. Tapi tiada apa-apa yang berlaku. Hanya kedunguan.
*
Mengapa kau terbabas menulis puisi, Husaini? Tiap kali aku pandang novel-novel terbaru, hati aku remuk redam. Tuhan, kembalikan keseronokan menaip se bab sehari kepadaku. Hapuskan puisi dari kepala ini.
*
Bila orang puji kau tak suka, menyampah. Bila orang kritik kau merasakan orang tu tak cukup bagus. Tapi bila orang tak peduli kau salahkan semua orang. Apa yang kau nak sebenarnya.
*
Kalcer syok
*
Kecik-kecik taknak mampos. Bila besar nak hidup lama.
*
Abah, kau cuma wariskan minat membaca saja. Apa2 tentang kau yang aku ingat hanya benda2 yang aneh dan trivial seperti aku kantoikan majalah separa lucah yang kausorok di bawah bantal. Atau menyelongkar kitab2 amalan lama dan setiap petua yang kau tanda semuanya mempunyai satu persamaan iaitu - menguatkan senggama. Atau bagaimana kau mengejar aku dari dalam rumah sehingga ke tengah laman, pada terik hari, aku berlari memijak kerikil yang menyakitkan sambil memakai spender dan kau membawa getah paip oren, menghambat sehingga kau piapkan ke punggung aku.
*
Aku juga mahu mati muda. Mati dlanggar lori. Diserang penyakit jantung ketika seorang diri di dalam hutan. Mati dalam tidur. Mati ketika memilih buku di Kino atau MPH.
Comments
Post a Comment