Setiap kali bulan puasa pasti saya menemui pergaduhan di depan mata. Dua tahun lepas, dua orang pekerja Bangladesh di suatu sudut dekat Jalan Esfahan, saling memaki sebelum tangan masing-masing naik dan menyentuh pipi, dada dan perut. Pelepap pelepap pelepap; jelas kedengaran kulit berlaga kulit, desisan kecil dan rengusan nafas amarah. Saya yang kebetulan berada di antara mereka, sempat menenangkan dua orang itu yang kemudiannya masing-masing berdarah di hidung.
Semalam di surau IPD Dang Wangi, seorang lelaki Arab sado bising-bising, menggawangkan tangan dan melurus telunjuk kepada seorang lelaki tempatan. Kebisingan itu berhenti sewaktu sembahyang maghrib. Mereka bergaduh mulut semula ketika mengambil hidangan berbuka. Si Arab makin melengking suaranya, dan menyebut fuck. Ramai yang menyalahkan si Arab sebelum menghalaunya keluar dari majlis berbuka puasa itu.
"I am not Arab. Yes i am Muslim. In fact i learn Koran dan Shariah better tahn yours!" saya sempat dengar makiannya kepada seorang mamat yang menyuruhnya "Just shut up and sit down" dan seorang pakcik yang melaung "Ini Malaysia la bukan Arab!". Ketika dia mengucapkan begitu, air liurnya berlejer, memercik. Orang ramai memaku pandangan ke arahnya. Kemudian dia keluar dan mengilang di sebalik keramaian manusia Jalan TAR.
Pagi tadi saya kebetulan berjumpa Johan Radzi. Kami bertegur sapa. Selepas berlalu saya lantas teringatkan soalbalas twitter antaranya dengan Ani Aziz.
Comments
Post a Comment