Skip to main content

Kiri dan berontak

Saya suka membaca autobiografi, biografi ataupun memoir.  Tapi setakat ini banyak yang saya baca adalah hasil tulisan oleh/tentang tokoh tempatan. Kalau bacaan dari luar negara lebih tertumpu pada individu non pemimpin seperti kerumitan hidup kerabat Arab Saudi, catatan mangsa diktator Libya, pelarian Korea Utara atau mangsa perang Timur Tengah.

Saya mudah terpukau dengan tulisan oleh/tentang tokoh kiri seperti Burhanudin Helmi, Majid Salleh, Khatijah Sidek, Abu Samah Kasim, Abdullah CD, Chin Peng, Zulkifli Muhammad, Pak Sako dan ramai lagi. Kehidupan mereka berwarna warni dan ada yang mendukakan pengakhirannya sehingga saya menitiskan air mata membacanya. Nasib kebanyakan daripada mereka ternyata tidak indah. Mereka memegang suatu ideologi dan bertahan dengan kepercayaan mereka sehingga penghujung hayat.

Sehingga sekarang perjuangan/pemberontakan bersenjata golongan kiri masih berlanjutan. Di Timur Tengah pejuang Kurdi masih mengangakat senjata. Zapatista di Amerika Latin tekal di ceruk gunung bersama sokongan segelintir penduduk. Komunis di Filipina kerap bertempur dengan askar. Dan Maoist di India masih di hutan, menyerang hendap polis dan mengebom kilang-kilang kapitalis.

Di dunia ini negara yang masih betul-betul komunis barangkali Korea Utara dan Cuba saja. Wajah Marx, Engels, Lenin, Stalin, Guevara, Mao masih boleh ditemui di sana. Komunisme belum mati dan hanya waktu yabg menentukan.

Ketika berita tentang Siti Aisyah, seorang penganut fahaman ekstrim Maoist meletus beberapa tahun lalu yang dijadikan hamba kurungan, saya betul-betul terinspirasi. Kisah itu membuatkan saya ingin menulis novel yang kemudiannya manuskrip itu diminta untuk dibaiki sebelum dihantar semula oleh satu penerbit ini.  Tapi kemudian saya meninggalkan terus manuskrip itu sebab memang ia penulisan yang teruk.

Di India, golongan bersenjata Maoist telah menyebabkan kematian sebanyak 75k orang sejak 2005-2017. Dari tenggara India membawa ke bawah sehingga barat laut, diiisytiharkan kawasan merah. Maoist di sana berkem di hutan dan semakin menarik anak muda. Antara sebabnya, kerana kawasan merah itu kawasan orang miskin yang benar-benar dhaif di mana tuan tanah dan kapitalis berbuat sesuka hati, menghimpit nasib penduduk menjadi benar-venar padat dan sukar. Komunisme memang menggoda. Mereka melaungkan kesaksamaan yang menghapuskan kasta, menyerang kilang-kilang yang merampas tanah orang kampung dan memberi bantuan ubatan ketika hospital tidak dapat memberikan mereka ubat. Sudah lebih 40 tahun Maoist di India berjuang dan tidak nampak sebarang tanda ia akan menyurut.

Saya pernah bertanya pada seorang pemimpin parti Sosialis tempatan 'apakah sosialis/komunis akan mati juga satu hari nanti?' Jawabnya 'selagi ada penindasan dan orang miskin selagi itu kami ada'. Jawapannya itu telah saya masukkan dalam satu manuskrip novel saya.

Comments