Skip to main content

Draf dan nikmat sekejap.

Saya baru membelek draf di emel saya dan menemukan ada empat draf. Antara isi draf itu adalah sajak-sajak dua tahun lalu, cerpen yang tidak siap dan pertanyaan tentang pekerjaan kepada satu syarikat yang sudah mengesahkan untuk mengambil saya bekerja. Membaca satu persatu, saya teringatkan yang semua itu ditulis dalam keadaan yang penuh bersemangat. Tapi ia tak siap, tergantung, ditangguh dulu kerana idea yang tidak berkembang, dengan janji pada nota mental bahawa akan dijenguk kembali dalam masa terdekat.

Tapi saya terlupa. Dan lama-lama ia hanya draf yang sekadar mengisi tabung kenangan. Saya tidak ingat tulisan siapa saya baca yang mengatakan terlupa itu adalah nikmat sementara. Macam, kau terlupa yang hari tu kau kena hantar assignment dan dalam tempoh waktu terlupa itu kau penuhinya dengan aktiviti2 kesukaan kau seperti nonton wayang, main games atau dating. Dalam tempoh itu kita terus melupakan beban kerja/tugas yang sepatutnya menyempitkan waktu terlupa kita itu.

Semasa saya tinggal di flat di tengah ibu kota ada seorang pakcik yang menjual yongtaufu di pekarangan. Semua orang kenalnya sebagai penjudi mesin kuda yang tegar dan selalu kalah. Tapi dengan keuntungannya berniaga dia terus berjudi. Suatu hari abangnya telah ditangkap. Kalau tak silap, kerana kes dadah. Ibunya yang berumur 90an telah memberi beberapa ribu ringgit kepadanya untuk menjamin abangnya keluar dari lokap. Pakcik itu pun mendapat saja duit sebanyak itu terus gelap mata. Ketagih dan giannya pada mesin kuda datang, menjelma, menggoda. Dia memecut ke kedai mesin judi kuda dan seperti takdir setiap penjudi yang passion, duit itu dihanguskan oleh nasib malangnya. Dia pulang ke rumah dan ibunya bertanya resah. Ketika itu dia menepuk dahi, "terlupa!". Cerita ini selalu bermain di kepala tiap kali saya turun untuk membeli yongtaufu daripadanya. Dan saya akan sebolehnya menyembunyikan sengihan saya daripadanya, kerana membayangkan riak mukanya berdepan ibunya sambil berkata terlupa.

Terlupa tetap memberikan kita nikmat walau sementara. Mungkin sebab daripada tu agaknya popular ungkapan 'manusia adalah insan pelupa' yang agaknya dicipta si pelupa juga.

Comments