Skip to main content

Bermalam di Hotel Bajet

Sehari sebelum pilihan raya umum aku berada di Kuala Lumpur untuk beberapa hal antaranya membeli buku dan menghadiri temuduga. Sebelum bertolak pakcikku bertanya berapa pentingkah buku itu sampai aku sanggup ke sana untuk membelinya. Mengapa dia tidak bertanya perihal temuduga kerja? Sebab dia tahu aku pasti tidak dapat kerja itu dan berpuluh temuduga yang sudah aku hadiri tak satu pun aku berjaya. Aku menjawab sebagai penulis, buku sangat penting dan aku sanggup berbuat apa saja. Dia mencemik mendengar jawapanku. Dia berkata, sempatkah aku balik ke rumah keesokannya kerana ada satu hal penting lain iaitu pilihanraya. Aku kata sempat dan tak perlu risau. Aku pasti balik untuk mengundi. Masakan tidak, PRU 14 adalah ibu segala PRU. Namun begitu jauh di sudut hati aku ragu-ragu dengan jawapanku ini. Senyap-senyap aku merasakan bahawa jika aku terlepas mengundi kali ini sekalipun, aku tidak akan berasa kecewa.

Hotel bajet sentiasa menjadi pilihan untuk bermalam kerana suasananya memberikan perasaan eksklusif. Di situ aku tidak terikat dengan peraturan dan sempadan ruang. Ia adalah jelmaan kebebasan di bilik sendiri cuma dalam versi major. Kalau aku berduit tentu saja aku pergi ke hotel yang lebih selesa dan berbintang tapi aku pekerja rencam dengan gaji ratusan ringgit sahaja sebulan. Chow Kit, yang selalu digambarkan tempat pelacur berpeleseran, tumpuan pekerja asing dan kawasan ubat kuat; aku rasa kebanyakan orang yang menulis tentangnya memberikan keterangan yang condong kepada negatif. Tempat itu sama saja dengan tempat lain. Diisi oleh manusia-manusia yang mahu mencari rezeki dan berbuat sedikit maksiat.

Temuduga itu dijalankan di menara UOA Jalan Bangsar. Tak ramai pun yang menghadirinya. Aku menjawab soalan-soalan penemuduga secara ala kadar saja selepas melihatkan wajah mereka yang monyok dan menjemukan. Selepas itu aku bergegas menaiki LRT dan monorel ke Bukit Bintang. Memang buku lebih mengujakan daripada pekerjaan tetap. Di kedai buku Book Excess Farenheit 88 aku menghabiskan lebih kurang dua jam di situ meninjau-ninjau, membelek buku di rak-rak, membaca satu demi satu perenggan, tertunduk, terduduk, mengambil gambar dan bertanya pekerjanya. Akhirnya aku membeli empat buah buku.

Aku sudah biasa bermalam di Hotel Shalimar berhampiran stesen monorel Chow Kit atau satu hotel Cina berdekatan KFC. Kebanyakan harga semalam untuk hotel bajet di sini kadarnya hampir serupa antara RM55-RM100. Aku berkeliling mencari hotel paling okey. Sebenarnya aku sendiri tidak tahu mengapa aku beria hendak mencari hotel lain daripada hotel kebiasaan yang aku bermalam tiap kali ke Kuala Lumpur. Aku bukan jenis manusia yang suka berubah dan hal ini kebanyakannya masih terpancar pada sikap aku. Seperti aku suka bertangguh bila membuat kerja atau lebih selesa memilih restoran tempatan berbanding restoran francais.

Beg yang kusandang terasa semakin berat bila berjalan sudah lama. Matahari bersinar terang diiringi teriknya. Aku menyeka peluh di dahi dengan lengan. Ketiakku basah, belakangku basah dan betapa tidak selesanya badanku yang mula berbau ini. Beberapa hotel bajet yang aku kunjungi, pekerja di kaunternya kelihatan tidak meyakinkan. Ekspresi wajah mereka seperti memberitahu yang mereka menyimpan peranti merakam pada lampu dinding dalam bilik hotel. Aku melangkah melepasi beberapa blok bangunan dan menyusup ke sebatang jalan yang kurang riuh. Bangunan kedai di sebelah kiriku nampak meriah dengan pengunjung-pengunjung gerai makanan. Di sebelahnya aku ternampak hotel itu, Hotel D’Chow Kit. Cat diindingnya nampak baru dan ruang berhampiran pintu masuknya bersih.

Aku fikir inilah pilihan terakhirku. Aku sudah penat berjalan dan tidak akan berpatah lagi. Seorang wanita berambut panjang tersenyum meelihatku di kaunter menyambut. Dagunya tajam dan berbadan lansing. Bau pewanginya semerbak ke hidungku. Dia katakan semalam cuma RM60 dan tiada deposit. Aku mengangguk dan sedikit gembira kerana hotel lain memerlukan deposit penuh. Berdasarkan dekorasi dan tutur katanya, aku yakin hotel ini diusahakan bukan oleh orang tempatan dan wanita yang cantik itu seperti berasal dari Pakistan. Dia memberikan satu borang maklumat untuk diisi. Setelah mengisinya dan membayar aku memanjat tangga ke tingkat tiga. Kad akses kusentuh ke pintu, memasang penyaman udara dan kuhempaskan tubuh ini ke atas tilam empuk. Bilik itu luas, tidak berbau wangi tapi tidaklah busuk. Aku perasan jarak antara suis dengan katil yang kuberbaring agak jauh. Ini sangat berbeza dengan hotel bajet lain yang suisnya berhampiran kepala katil. Aku merungut kerana telefon bimbitku semakin kekurangan bateri dan berasa sangat malas untuk bangun menuju ke sudut hujung. Aku terlelap.

Mimpi yang memenatkan itu berakhir apabila aku tersedar pada jam 11 malam. Kuambil pengecas dan memasangnya di suis lalu duduk bersandar memeriksa sebarang notifikasi. Salah satunya Whatsapp daripada adikku memaklumkan lebuhraya sangat sesak dan tiket bas sudah kehabisan. Tapi aku tidak percaya. Mana mungkin tiket bas sudah habis. Ini tak pernah berlaku sebab aku masih ingat dahulu sehari sebelum hari raya aku sempat membeli tiket bas di stesen. Itulah kelebihan Terminal Bas Pekeliling. Sentiasa ada bas ke kampung. Aku tidak membalas Whatsappnya itu. Kubelek facebook dan satu hantaran oleh Editor Zalila mengenai pilihanraya menarik perhatianku. Tiba-tiba saja aku merasakan begitu sepi. Semua orang di kota menderu-deru pulang ke kampung untuk mengundi sedang aku terkurung di hotel bajet. Aku menghantar mesej peribadi ke peti bual facebook Editor Zalila bertanya jika dia pulang mengundi. Dialah yang bertanggungjawab mengerjakan manuskrip novel aku yang, harapnya, akan terbit nanti. Dia membalas bertanya mengapa. Aku membiarkan mesej itu.

  Tubuhku terasa dingin. Aku cuba perlahankan volum penyaman udara tetapi alat kawalannya rosak. Aku hidupkan tv tetapi alat kawalannya juga rosak. Sebentar kemudian aku terlelap sambil menyandar. Keesokan harinya aku check out awal dan bergegas ke stesen bas. Memang benarlah semua tiket bas sudah habis. Aku kembali ke Chow Kit dan mencari hotel bajet lain untuk bermalam. Malam itu pula aku tidak tidur-tidur sehingga gelap surut di kaki fajar.

Comments