Skip to main content

Jerebu

Jerebu dan Kekaburan


Waktu pagi, terlebih lagi jika kau duduk di kampung, berpaling ke belakang yang dipenuhi hutan, putih kapas dicatkan padanya – kabus tebal pada kanvas hijau. Petang, hari panas naik gila, seperti lidah berbara menjilat muka kau, badan kau dan kau menyumpah-nyumpah pada jerebu yang menyamar sebagai kabus. Inilah kebangangan negeri jiran kita yang entah bila nak jadi lebih bermoral dan ada etika kemanusiaan. Muncul pertengahan tahun ada je jerebu menjunam jatuh ke tubuh negara. Jerebu yang buat bibir aku kering, yang buat aku berpeluh tanpa keperluan, yang buat, buat, buat... ah salahkan pada jerebu yang merencatkan semangat aku untuk sambung menulis manuskrip novel.

Hari ini selesai mengecat pada waktu pagi di rumah nenek, dan selepas jumaat aku pergi ke bandar. Jerebu dan panas punya pasal, badan aku hangat semacam bagaikan air di cerek yang tengah dijerang, nafas aku menghembus macam wap air hangat , mengepul di udara. Mulanya nak pergi pustaka dan habiskan masa di dalamnya, ada penyaman udara dan sambung baca Kokoro-Natsume Soseki tapi dari jauh, aku nampak orang penuh di luar pustaka menunggu pintu dibuka seperti hurungan semut di luar busut. Jadi aku singgah ke beberapa kedai buku yang tak ada banyak pilihan buku, membelek novel dan komik yang aku pernah belek sebelum ni, dan beli sebuah antologi HSKU 2009. Mujur ada taman di tengah bandar. Aku beli secawan kertas kopi dan mafin walnut di 7E, menyandar pada buai dan membaca. Tapi panas tetap menjalar di kulit, di dahi, di celah pelipat dan bawah kelangkang. Keadaan ini buat aku tak boleh menumpu pada pembacaan.

Sesekali aku belek henfon dan aplod gambar buku tu. Dan belek lagi, balas komen, dan lagi dan belek wasap. Mataku terhenti pada wasap terakhir MHS yang aku tak balas dan tak baca lagi. Aku bukanya dan tatal ke atas. Sepanjang aku mula dapat nombor dia hanya perihal puisi dan sedikit hal sastera umum yang aku selalu wasap dia. Dia biasanya membalas dengan baik terkadang pantas. Sesekali berkongsi pendapatnya, menyatakan keresahan pada nasib sastera, mengaju supaya terus menulis. ‘Penyair Mal banyak yang suka romantis dan klise’ aku boleh rumuskan itulah yang dia balas setiap kali pertanyaan2 aku sampaikan pada dia. Aku ada share satu puisi penyair muda dan dia mengulang ayat yang sama. MHS tak komen pun puisi tersebut sebaliknya dia, memuji pantun yang aku hantar ‘metafora yang segar’ dan menyatakan kesukaannya pada kongsian gambar terjemahan Injil dari kawan aku orang Sabah. Aku beritahu dia yang pantun itu dengan baris ‘senja datang menghiris petang’ yang perkataan hiris itu aku jumpa pada sajak Baha Zain. Bagi aku hiris adalah perkataan yang indah, romantis, mengilukan dan kena betul dengan lembutlidah-fonetik yang menggambarkan perlakuannya. Dia berkata Baha Zain seorang pemuisi yang ada gagasan. Aku sekali lagi berkongsi satu puisi penyair baru dan dia mengatakan hal yang sama ‘penyair Mal suka pada hal yang romantis’.
Bolehkah aku simpulkan sama ada 1)pembacaan dia terhadap perkembangan puisi penyair terbaru, kurang atau 2) dia tak gemar pada penyair2 baru kerana masih nostalgik atau 3) dia belum menemukan suara yang autentik, berinti dan tidak klise?. Tiga persoalan ini berlegar-legar di ruang benakku. Satu hari nanti aku akan dapatkan kepastian yang kukuh daripadanya. Seorang pengarang mengatakan dengan yakin, di Msia belum ada mana-mana penyair yang mampu mengatasi bahasa MHS dan dia terlebih dahulu sebelum itu dalam satu kata pengantar buku puisi penyair terkenal negeri seberang menyatakan ‘hampir kesemua penyair negara kita, karya mereka tewas di hujung2nya, baik Latiff, baik TAT atau Zurinah’. Kekadang aku meragui pernyataan ini namun bila aku menyelak semula buku-buku MHS, yang satu ketika dulu aku tidak suka langsung sajak2nya, ia bagaikan satu sihir dan permainan bahasa, yang licik menembusi kegelapan, yang mericik di celah batu-batu bahasa berlumut atau menyeruak bagai kabus dari hutan kata-kata yang masih dara. Ia sampai di depan mata, memukau dan memanggung skrin fikiran. Walaupum ada ketika alunannya terasa canggung, ia masih boleh diterima.

Petang itu ketika jam lima meluncur tepat ke dahiku, gerimis merembas wajah. Dan sedang aku memulas pelaras kelajuan motosikal, panas tak mahu juga berundur dan dari jauh jerebu memutih – kepalsuan yang dungu dan tidak adil. Adakah jerebu yang menghangatkan tubuh dan sajak-sajak aneka stail dan pengucapan, dari negeri seberang – datang menyerang dan mengurung kita? Mungkin kita separa sedar, atau tidak kisah pun sebab masih lena dan pabila membuka mata, tercungap-cungip – panas, hangat dan menyakitkan hati.

Comments