Kalau saya naik bas, atau kereta, saya akan pilih untuk duduk di tepi sebelah tingkap. Saya percaya majoriti kita begitu. Tapi mengapa begitu? Apakah suasana ketika itu atau ada faktor psikologi lain yang mempengaruhi pilihan tersebut? Saya percaya faktor tingkap memainkan pernan besar terhadap pemilihan ini. Tingkap memberikan ruang dan pemandangan yang mata kita perlukan. Kerana dalam keadaan duduk, mata seperti berperanan besar berbanding kaki. Cuba bandingkan sewaktu kita berjalan di shopping mall atau bermain bola, mungkin kita tak selalu berada di tepi atau berada di kedudukan tengah kerana kaki pada ketika itu adalah anggota tubuh yang penting. Ia membawa diri kita ke tempat yang hendak kita pergi.
Dengan duduk di tepi kita dapat melihat pemandangan di luar yang tentu saja menawarkan perkara menarik. Melihat hijau daun, kereta bergerak, tersangkut di dalam kesesakn, kereta terhenti dan di atasanya lingkaran rel lrt.
Sewaktu saya bersekolah dahulu saya memilih di tepi juga. Senang untuk meludah. Saya tahu ini kedengaran kotor dan jijik tapi begitulah saya dahulu. Untuk menjadikan alasan lain, di luar tingkap itu ada longkang jadi saya tak perlu risau jika air liur saya terkena pada sesiapa yang melaluinya. Ludahan saya biasanya tepat ke dalam longkang dan tak ada siapa yang melihatya, kecuali, tukang kebun. Sekarang di rumah kedudukan meja tulis saya tidak di tingkap. Namun ia tetap berada di tepi, berdekatan suis supaya dapat mengecas laptop dan merapatkan kedudukan meja dengan dinding. Tak dapat saya bayangkan jika meja tulis saya tidak rapat dengan dinding. Ia akan membuatkan saya teringat kepada situasi peperiksaan di sekolah. Kerana nama saya bermula dengan abjad A maka saya kebiasaannya akan duduk di depan. Kedudukan depan tak bertepi memberikan perasaan tidak terjaga, seperti pulau dan harus bersedia dengan serangan musuh.
Sekarang ketika menulis ini, mata saya fokus kepada komputer di depan. Tidak ada tingkap untuk merenung ke luar. Kalau saya dekatkan sekalipun meja dengan tingkap, pemandangan di luar pula tidaklah seindah yang saya harapkan. Kedudukan ini tetap di tepi dan sedikit sebanyak dinding yang membosankan ini membuatkan saya fokus selalunya. Ia tentulah berbeza dengan suasana di dewan peperikasaan yang dengan kedudukan di tengahdepan, membuatkan saya diperhatikan, tidak boleh relaks dan tergesa-gesa menulis.
Sewaktu tidur begitu juga. Saya akan rapat ke tepi sambil memeluk bantal. Apakah kedudukan di tepi ini refleksi diri seseorang? Saya selalu mengaitkan kedudukan di tepi sebagai orang yang mempunyai kuasa sedikit. Seperti; jika PM melawat sesuatu tempat yang di tepinya mungkin timbalannya atau menterinya.
Tapi yang sebenar-benarnya, apa signifikan kedudukan diri kita. Ada satu web psikologi memberikan pelbagai tafsiran terhadap tiap-tiap kedudukan kita, di meja perbincangan atau meja makan contohnya. Seperti menghantar isyarat sama ada kita seorang pemimpin, mudah didekati, hanya menyatakan kehadiran atau sebagainya? Bagi saya sendiri, kedudukan penting bergantung kepada kedaaan dan saya yakin, kebanyakan daripada kita pun berpendapat sebegini. Kan??
Baiklah saya dah tak ada idea nak tulis apa. Selamat tinggal.
Comments
Post a Comment