Kita sinonim dengan kelapa. Atau apa-apa yang berkaitan dengannya. Kelapa di tepi pantai, air kelapa dingin ketika cuaca terik, santan berlemak di dalam semangkuk cendol, penyapu lidi dan sekian banyak lagi imej ini melekat dalam peta Malaysia dan kepala kita.
Sewaktu saya sekolah rendah dalam buku teks BM bab pertama ada tajuk berkenaan kelapa dan betik. Diilustrasikan dua pokok itu saling bertekak membangga diri dengan menyatakan kelebihan masing-masing. Dari tajuk itulah kali pertamanya saya mengetahui kelapa mempunyai banyak kegunaan.
Salah satu mahakarya makanan Melayu adalah rendang. Masa saya kecil dan keluarga teramat miskin, rendang cuma setahun sekali dapat dijamah iaitu sewaktu hari raya. Masa saya sekolah rendah kami sekeluarga sudah dapat makan ayam sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi rendang tetap setahun sekali. Kerana pada waktu itu rendang dianggap sebagai makanan mewah-sakral raya sahaja.
Kini segalanya sudah mudah didapati. Saya pula sudah pandai masak rendang dan rendang yang saya masak memang sedap. Seingat saya kali pertama memasak rendang ialah pada tahun 2011. Sewaktu cuti sabtu, saya akan lepak di rumah kawan saya di Jalan Bangsar. Saya akan memasak dan pernahlah masak rendang. Semasa bulan puasa saya bekerja di KL dan sehari sebelum raya kawan saya biasanya meminta saya memasak rendang. Biasanya dia akan suruh saya masak banyak untuk seekor ayam. Pagi sehari sebelum raya selepas subuh kami akan ke pasar basah berdekatan Lucky Garden. Ada penjual ayam yang berniaga. Taukenya cina dan penjualnya Indonesia. Pasar itu berbau busuk. Saya hampir hendak termuntah dibuatnya. Di situ turut ada menjual babi. Mulanya saya cadang kepada kawan saya agar membeli di pasaraya sahaja tetapi tak mengapalah, sebab bukan saya yang hendak makannya pun. Kalau saya makan tentu kembang tekak saya.
Dalam pembuatan rendang, kelapa memainkan peranan penting. Selain santan, yang utamanya juga adalah kerisik. Saya kurang percaya pada kerisik bungkus yang dijual kerana warnanya agak coklat. Saya suka warna yang gelap sedikit. Saya lebih gemar membeli kelapa parut, menyangrainya sehingga gelap, menumbuknya sehingga berminyak dan bertukar menjadi gumpalan likat. Makin banyak kerisik, makin pekat rendang maka makin tergiurlah selera, makin kecurlah liurnya. Lengkuas, serai, rempah 3 beradik, bawang merah, lada kering, santan, daun limau purut dan beberapa bahan lagi, menunjukkan bahawa rendang adalah, pada suatu ketika, makanan yang rumit juga untuk disiapkan.
Apa yang ada disebalik rendang? Terdapatkah falsafah atau pengajaran ulung daripadanya? Saya tak pernah terfikirpun tentang hal ini. Barangkali pencipta rendang pun terjumpa resepi ini selepas bereksperimen dengan kelapa atau secara tidak sengaja. Saya sering percaya orang2 terdahulu melakukan sesuatu berdasarkan kehendak semasa, tuntutan alami dan kesesuaian bersama. Apakah segala-galanya mempunyai falsafah atau simbolik tertentu? Tentulah tidak. Terlebih lagi dalam bidang makanan sebegini. Perlambangan sebelum menghasilkan sesuatu akan menyebabkan jangkaan-jangkaan yang mungkin tersasar dari tujuan. Kelapa adalah tumbuhan penting orang kita. Bayangkan jika ia tidak wujud.
Cerpen saya bertajuk Legenda Pekan J tersiar di Dewan Budaya februari 2018 ini. Saya menulisnya pada penghujung 2016. Saya tidak hantar ke mana-mana sehinggalah setelah setahun, disember lepas, saya sekadar mencubanya ke DB. Memang cerpen ini adalah suatu metaforahyper terhadap rendang. Jika anda membacanya, anda mungkin akan lebih faham tentang apa yang saya nak tulis ni. Wujudkah kedai Mahsyur? Sedap sangatkah rendangnya?
Dahulu ada suatu kedai yang terletak di bandar lama. Kedai itu terletak atas sedikit dari kaki bukit. Sederet dengannya adalah kedai runcit makcik India, pejabat insurans, pejabat PBATM dan sebuah bengkel motosikal yang lantainya dikelamkan minyak. Emak saya kerap ke hospital yang terletak di puncak bukit. Bas akan berhenti di kaki bukit dan kami akan singgah dahulu ke kedai Mansor untuk makan nasi lemak. Setelah itu kami akan berjalan kaki ke hospital. Sebelah waktu pulang saya akan singgah lagi membeli gula2. Kedai itu dah lama wujud sejak sebelum merdeka lagi. Nenek dan atuk saya suka rendangnya yang gelap dan pekat dengab kerisik itu. Mansor orang minang yang menjelmakan masakan stail minang. Malah mereka bercakap sesama keluarga pun dalam bahasa minang. Kemudian dia meninggal dunia. Kedainya diambil alih anaknya, Imai. Nama kedai pun bertukar menjadi Kedai Makan Imai.
Cikgu BM sekolah menengah saya di SMKA TAHAP pernah berjenaka mengenai nama kedai ini katanya "kedai makan Imai, matilah si Imai tu," dia tertawa besar (biasanya kalau dia buat lawak memang dia lebih2 gelak) dan kami tertawa kecil. Imai masih muda,dia ada bini yang cun (ketika itu, sekarang dah berisi). Tapi masa itu juga adik kepada Mansor masih ada memasak sama. Bau rendang itu... oh tuhan. Sedap, harum dan menarik selera. Semasa itu kedainya cuma sediakan nasi lemak dan pulut sahaja. Ada dua jenis rendang iaitu ayam dan daging potongan besar.
Pada masa itu kedainya cuma lantai simen yang pecah-pecah. Pinggan mangkuk yang lambat diangkat akan dijilat kucing2 terbiar. Kawasan kedai ini terletak di kawasan 'bandar lama'. Jerantut ada tiga kawasan bandar sekarang ini iaitu lama, baru dan Inderapura. Tidak ada kedai makan Melayu lain di kawasan bandar lama ketika itu. Sebab itu kedainya menjadi tumpuan. Setentang dengan kaki bukit itu adalah rentangan jalan yang membelah kepada dua deretan bangunan kedai gaya kolonial. Kedau nombor ekor, kedai runcit, bengkel motor, kedai kopi cina Jerantut, kedai Kopi Foo Hing (roti bakar dan kopi o nya sedap) dan bbrp kedai hardware serta kedai baja.
Orang kaki nombor ekor kerap melepak di kedai Imai. Pernah suatu ketika ada seorang cikgu yang sudah pencen, namanya Lan (bukan nama sebenar) dan perutnya gendut, lehernya tak kelihatan dan tubuhnya bulat amat serta botak pula -- antara kaki lepak yang kuat berborak berdegar2 sambil merokok. Dia seorang bekas guru matematik. Dalam salah satu perbualan yang saya curi dengar (mungkin terdengar), dia berbincang mengenai nombor yang akan naik nanti. Cikgu Lan telah membawa sebuah buku matematik. Saya dengar antara rumus yang disebutkan adalah rumus algebra, kamiran, statistik dan nisbah. Tidak saya tahu pula jika dia menang.
Tapi dulu kedai Imai memang kotor. Sekarang kedudukannya telah berubah. Kaki bukit itu telah disodok, dibinakan bangunan baru dan tembok memanjat serta taman. Pesaing Imai semakin ramai. Ada dua buah kedai roti canai melayu yang sedap dan dua buah kesai makan kelantan yang ramai juga pengunjungnya. Kedai Imai sudah mempelbagaikan menu. Dan waktu operasinya yang sebelum ini cuma untul sarapan telah dianjak ke makan tengahari. Saya tidak pasti, menurut bbrp ahli keluarga saya, rendang kedai Imai sudah tidak sesedap dulu lagi. Adik Mansor sudah tidak memasak. Dia menjadi seorang nenek tua yang bersandar di kerusi malas, rambut beruban dan kelihatan tidak bermaya. Mungkin ya, mungkin tidak, rasa rendangnya telah berubah. Isteri Imai kenal saya. Tetapi ayat sama saja dia ucapkan bila jumpa saya "eh ko dah kurus kan?" dan kemudian dia akan panggil Imai dan cakap "bang, dulu dia gemuk bang".
Kedai Imai adalah lambang perpaduan. Cina melayu india adalah pelanggan tetap di sini. Imai fanatik bola terutamanya EPL. Poster pasukan2nya tertampal pada dinding2. Ramai tokoh politik telah makan di sini. Katanya sultan pun pernah. Orang mabuk, kaki judi, pelancong2 (banyak rumah tumpangan di kawasan sekitar) semuanya sudah ke sini. Anda bila lagi?
Comments
Post a Comment