Selain Ali Majod dan A.Samad Ismail, penulis lama yang saya gemari ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Interlok adalah satu-satunya novel SN Abdullah Hussain yang saya baca. Karyanya yang lain turut saya baca ialah kumpulan cerpen Dari Kota Cahaya.
Tentang Interlok yang pernah menjadi kontroversi sikit masa dulu, saya menggemari bagaimana Abdullah Hussain melukiskan tiga kisah kaum utama iaitu Melayu Cina dan India. Dari tiga kisah kaum ini saya dapat ingat beberapa adegan seperti Pak Utih yang menghisap rokok daun selepas menjampi ayah Seman, atau Maniam yang berjalan kaki tengah panas menuju ke estetnya atau babak ayah Cing Huat menyedut candu. Begitu juga dengan cerpen2nya. Malah sehingga sekarang saya boleh membayangkan bagaimana Maniam menghayun parang di ladang, Seman menyelongkar bawah rumahnya dengan marah-marah atau Cing Huat melayan pelanggannya di kedai runcit sambil getah sekerap bersenggayutan di luar kedai.
Gaya dia menulis, seperti yang dikatakan Prof Lutfi Abas dalam buku Kritikan Karya Sastera Sebagai Karya Seni, kebanyakannya adalah new journalisme yang dipelopori oleh penulis terkenal Tom Wolfe. Aabdullah Hussain sendiri telah menterjemah beberapa karya penulis luar seperti Hemingway, Steinbeck dan Parl S.Buck dan menurut Lutfi, kemungkinan besar dia menyerap gaya new journalisme dari pembacaannya terhadap karya2 tersebut.
Abdullah Hussain pernah bekerja dengan syarikat suratkhabar, dia pernah terlibat dengan perjuangan kemerdekaan yang mana pengalamannya itu dirakam dalam triologi Terjebak, sejenis penulisan dengan tema faction. Dan menurut buku Prof Lutfi lagi, dalam karya-karya itu banyak teknik new journalisme yang digunakannya.
Biar saya petik beberapa perenggan dari buku tersebut.
“New Journalism dimulakan oleh Tom Wolfe pada tahun 1960 adalah salah satu daripada banyak aliran ralisme baru yang mengemukakan pemerian pencerita sesuatu karya sastera seperti pemerian akhbar. Tom Wolfe mengemukakan 4 cara pnting bagi new journalism
1. Imbas balik
2. Dialog yang penuh
3. Penyampaian kejadian melalui mata pengamat yang tertentu, meletakkan pembaca ke dalam watak
4. Merakamkan sikap, perangai, pakaian, gaya, alat rumah tangga dalam kejadian tertentu , mengemukakan “kehidupan status”, iaitu cara2 dengannya dia menyatakan dirinya
Penulis cereka new journalisme sedaya mungkin menggunakan gaya pemberitaan akhbar, seperti tanpa pendapat pencerita.”
Ada banyak penerangan lagi namun saya tidak terlarat menulisnya kembali. Saya pernah terbaca di blog kububuku yang ditulis oleh Fadli Akiti. Ada satu post panjang mengenai Abdullah Hussain dan dituliskan yang Abdullah Hussain pada suatu ketika pernah bekerja dengan pembikin filem. Mungkin meminta pendapatnya tentang skrip dan sebagainya. Dan menurutnya lagi membaca karya-karya Abdullah Hussain seperti menonton filem. Jika begitu benarlah seperti yang dinukilkan oleh Prof Lutfi iaitu gaya new jounalisme ini bertindak sepoerti perakam cerita.
“Abdullah Hussain betul-betul sudah meninggalkan romantisisme, bahkan beliau juga telah meninggalkan realisme dan sudah memasuki realisme baru new journalisme.” (Lutfi 1995:114)
Saya menyukai gaya penulisan sebegini. Ianya bervisual dan tuntas. Tidak menunjuk-nunjuk (seperti ada jari yang mengunjuk kepala kita ke arah sana atau sini) dan lekas. Ianya memberi pengalaman bahkan serentak, kesan kepada pembacanya untuk mengalami sendiri. Atau bolehkah kita katakan yang new journalisme inilah teknik kepengarangan paling bertepatan dengan frasa ‘show dont tell’?
Ada banyak penulis lain yang menulis sebegitu tentunya cuma mengapa saya tekankan Abdullah Hussain? Mungkin kerana namanya hampir sama dengan saya. He he.
Comments
Post a Comment