Skip to main content

Ke Kubur dan Ingatan Perihal Kematian

    Hari ini sedang saya bekerja ada panggilan daripada rumah. Nenek memberitahu Wan Ketot (moyang sedara 3 pupu) sudah meninggal dunia. Jenazah akan dikebumikan selepas zuhur. Habis saja kerja saya terus ke dewan majlis daerah. Ada majlis perkahwinan rakan sekolah saya, Situ Aisyah.

Saya ke tanah perkuburan. Surau berdekatan sudah dipenuhi saudara mara saya. Selesai solat zuhur kami solat jenazah. Atuk saya turut datang. Hari panas sungguh. Peluh merinik di ubun, dahi, celah ketiak dan pelipat.

   Saya ikut sampai ke lubang kubur yang digali. Sanak saudaranya, anak2nya dan cucunya merapat2. Saya rasa macam nak berlalu pergi dan pulang ke rumah saja. Letih, tak larat. Tapi... saya terfikirkan mengenai kematian dan entah bagaimana saya batalkannya. Entah esok saya mati. Entah lusa atuk mati. Apabila berlaku kematian kita akan terasa. Tersentap. Kebesaran Allah azzawajalla betul-betul membuatkan kita beringat dan insaf (walaupun sekejap).

   Saya dan atuk meminggir ke jauh sikit berdekatan pokok yang rendang. Kami duduk dan ada sdara kami, Arifin Ladari. Dia berasal dari indonesia dan telah bernikah dengan mak sedara 3 pupu saya. Dia dahulunya seorang penulis dan penterjemah. Kawasan kami duduk berdekatan dengan kubur anaknya, kubur adik saya dan kubur sepupu saya. Orang sedang bertalkin. Kami berbual. Saya sentuh sedikit sahaja bab penulisan setelah dia asyik bercerita perihal seorang anaknya yang berjaya ke Tahfiz Diraja Pahang dan merungutkan seorang lagi anaknya yang berbeza sekali sikapnya. Dan, Arifin tiba2 semangat berbual. Suaranya menaik menceritakan yang dia sudah menterjemah lebih daripada 50 tajuk buku (kesemuanya agama) dan kemudian merungut berkenaan penerbit serta isu2nya. Ada ketika saya rasa menyesal kerana mencuit hal penulisan. Suaranya sangat kuat. Dia berkata sejak 2009 dia sudah tidak menulis atau menterjemah. Taipannya sudah tidak laju. Beberapa kali dia menggeleng.

   Atuk saya cuma diam. Talkin berakhir. Saya berasa lega. Atuk dan saya meminta diri. Fikiran saya berkenaan kematian sudah menghilang. Hari tetap juga panas terik. Betul-betul panas.

Comments