Gambar ini diketik pada tahun 2006. Saya ketika itu duduk di asrama dan betapa entah apa-apanya peraturan yang baru berkuatkuasa ketika itu, oleh ketua warden yang baru, yang kemudiannya membuang saya atas sebab tidak kukuh dan kini dia merupakan seorang ustaz selebriti tv - mewajibkan semua lelaki yang tinggal di asrama berkepala botak. Dalam gambar ini, kawan seasrama saya semuanya mengenakan songkok. Hanya saya, yang tidak gemarkan songkok dan baju Melayu, pada ketika itu memilih untuk freehair.
Dalam gambar ini juga guru kelas adalah Cikgu Yusof. Dia mengajar matematik dan sangat anti pada sesiapa yang terlibat dengan program kokurikulum. Walaupun dia bagus mengajar tapi saya tetap dapat E dalam SPM. Sebelah beliau ialah Syafiq bin Rohimi. Dia seorang yang lemah lembut. Sewaktu tingkatan 2 dan 3 saya duduk di sebelahnya. Ayahnya seorang posmen dan badannya berisi juga.
Kali pertama saya menulis lirik rap (ada banyak lagu dan lirik) adalah ketika tingkatan 4. Saya juga telah menconteng grafiti di dinding sekolah dan beberapa tempat di sekitar bandar. Sewaktu tingkatan 5, ketika saya kebosanan menunggu cikgu BI yang lambat masuk, saya terbelek antologi komsas, membaca sajak dan merasakan ianya entah apa2. Lalu saya menulis sajak sendiri di atas kertas kajang. Kemudian Syafiq bertanya saya buat apa. Saya kata saya tulis sajak. Tiba-tiba dia pun menulisnya. Saya tidak suka keadaan itu. Beberapa minggu kemudian dia menunjukkan surat khabar Berita Harian kepada saya. Katanya "kau tengok, sajak aku masuk surat khabar". Terkejut saya. Saya menelitinya. Benar, itu namanya dan sajaknya.
Pada tahun itu juga, Cikgu Yusof meninggal dunia. Dia sakit jantung. Beberapa bulan kemudian, Syafiq pula meninggal dunia. Kami pelajar tingkatan 5 menaiki bas pergi ke rumah arwah. Pada mulanya saya tidak menangis langsung melihat sekujur tubuh kakunya berbalut batik lepas.
Kemudian seorang rakan kami mula menitiskan air mata dan teresak-esak menangis. Saya, yang memakai pelikat dan baju Melayu ketika itu perlahan-lahan menitiskan air mata. Saya teringatkan perasaan rimas saya ketika dia memutuskan untuk menulis sajak saat saya melakukakan - perasaan rimas. Saya merasa bersalah.
Rakan saya pernah bergurau. Katanya (merujuk pada filem Ju On? The Ring? Ke filem apa entah) yang kalau diikut pada turutan gambar, maka sayalah seterusnya yang akan mati. Pada mulanya saya menganggap ini gurauan semata-mata. Sehinggalah suatu ketika, persoalan itu berlegar-legar di kepala. Memburu tiap rinci pergerakan dan seretan langkah ke tandas yang sunyi pada waktu malam saat saya tiba2 terjaga lalu ingin terkencing dan asrama pula sunyi sesunyi sunyinya dan menjelma sebagai angin asing lalu menyeluruhi tubuh saya ketika saya cuba fly asrama pada suatu malam hangat membuatkan saya berasa seperti tertelanjang dan diramas kuasa makhluk aneh.
***
Saya pernah menyertai demonstrasi bersih 2.0 . Ianya suasana demo paling havoc saya kira, kerana saya telah ditangkap, digari dan disumbat ke dalam black maria, terhimpit, sukar bernafas, dan kemudian berasa risau kerana terdapatnya stiker Che Guevara dalam dompet saya yang saya gunakan sejak darjah 6. Saya sangat sayang stiker itu. Tapi dalam sekelip mata... dalam gelita dan hangat besi maria, dengan gari plastik mengikat pergelangan, saya berusaha bersungguh mencabutnya.
Saya dan beribu lagi telah dibawa ke jalan semarak, diambil ic dan keterangan sebelum melangut ke hulu ke hilir dan dihantar pulang ke stesen Titiwangsa tepat jam 12 dan mujurlah LRT masih beroperasi.
Sebulan kemudian saya dipanggil pihak keselamatan universiti saya. Mereka menyoal siasat saya dari pagi sampai ke petang, di dalam sebuah bilik berhawa dingin yang penyaman udaranya menggeletarkan tulang belikat dan rusuk, yang dimulakan dengan seorang penyiasat kemudian bertambah seorang demi seorang sehongga lima orang, memberikan ceramah dan cuba memasukkan pelbagai agenda ketuanan, menyaiko dan menuduh saya macam-macam kemudian menggertak begitu begini sehingga saya hampir mengoyakkan topeng taqiyyah ketika itu.
Antara ayat yang paling saya ingat sewaktu sesi itu adalah : "Muka kau ni kalau dapat kat Anwar, konpem kena sontot punya," dan ia diiringi gelak tawa. Saya sedang menyentuh-nyentuh hidung.
Kenangan bersembunyi di daerah yang kabur. Ia selalu datang bila kita sunyi atau tidak sekalipun, dan menjelmakan diri sebagai aneka perasaan. Tapi saya berharap saya hidup di alam realiti kerana jika kita hidup di masa lalu, kita tak punya masa hadapan.
Selamat tahun baru.
Comments
Post a Comment