Skip to main content

Mimpi Ramadhan Lalu


Mimpi ini berlaku dalam bulan ramadan 17 lalu. Ianya salah satu mimpi yang meletihkan dan paling aku ingat rinciannya sampai sekarang.

Kerana aku dan seorang tokan telah tidak sengaja melanggar lari seorang imam kacak berkurta sendat, aku telah disumpah menjadi syaitan. Hukumannya aku fikir tentu sangat berat kerana tugas kami menyesatkan manusia. Cumanya ia tidak terjadi. Sebaliknya aku telah dikurung dalam satu ruang parkir bawah tanah dengan udara kedap dan graviti rendah. Kami dalam gerakan slo mo, menanti dengan debar sekitar 2 jam dan muncul hakim-hakim berbaju panas GAP menggenggam kayu baseball dan dengan senyum gatal menyerbu. Hayunan demi hayunan sehingga kulit tersopek dan darah merah lencun. Kami cuba lari dan langkah-langkah kami tertahan-tahan, terlalu perlahan itu cuma kesia-siaan.  Kepedihan menggigit kulit dan titisan darah membasahi muka, hangat dan hanyir.

Babak setrusnya agak melegakan. Aku meloncat keluar dari ruang tadi dan masuk ke dalam satu kelas. Aku memakai sut Domanchi warna kelabu berpotongan slim fit, tali leher sutera ikatan wondsor dan kasut Ted Baker bermuncung tirus warna coklat. Aku terasa seperti sapioseksual idaman biologis unik. Cumanya aroma busuk minyak wangi Aramis mencucuk-cucuk hidung membuatkan aku terasa seperti ernesto guevara yang baru mencukur jambangnya dan cuba menari kpop. Kelas penuh dan jariku memegang pen mencatat sesuatu. Aku angkat kepala dan lihat saorang profesor. Dia agak pendek lebih kurang lima kaki atau lebih sedikit tetapi rambutnya lurus dan hujungnya bertemu elok di atas pundak bak hujung skirt pendek dipotong. Dia berkemeja kosong warna putih, kaca mata bulat dan sedang berdiri menghadap kami. Sekali pandang tubuh dan perwatakannya itu mengingatkan aku kepada seorang calon parti rakyat malaysia yang pernah bertanding namun hilang deposit. Mungkin dia sosialis, bisikku. Aku lihat tag namanya. MAN.

Katanya : " mari saya bacakan satu puisi dari xxxx. Dengar.

Kugoreng aksara-aksara
dalam kuali kata-kata
kuuli diksi-diksi
sehingga ia masak
kubakarnya bersama metafora
dalam oven pengalaman
kuhidang dalam sebuah piala
engkau berkata "seDAP"
sudah tentulah
kerna kumasaknya dengan hati dan iman

Ya melihat kepada tulisan ini memberi maksud penyajak menceritakan ada orang memuji tulisannya. Mungkin orang itu orang tersayangnya kerana dia berkata 'kumasaknya dengan  hati' . Seterusnya 'dan iman', mungkin penyajak seorang yang relijus. Kehairanan pada puisi ini ialah mengapa seDAP. Mengapa DAP ? Adakah penyajak seorang pembangkang adakah ada typo? Atau dia sengaja mengadakan hal sebegitu? Ini yang misterinya dalam sajak ini. Baik temanya ialah bla bla bla
Persoalannya bla bla bla
Estetikanya terletak pada bla bla bla.

Baik kita bergerak ke sajak seterusnya."

Ada suara menjerkah. Suara dari bumbung dewan kuliah yang menitiskan titis dingin air dari pendingin hawa yang bocor.  Ini kelas apa ? Kata suara itu, parau. MAN dongak ke atas. Dia mengecilkan matanya dan menurunkan sedikit kaca matanya.

"Kritikan puisi" jerit MAN.

Saya dengar suara itu ketawa berdekah-dekah. Sungguh lucu, kata suara itu. Sungguh, itu penerangan atau kritikan? Kata suara itu lagi. Ketawa terus kuat bergema.

Saya masuk ke babak lain. Ada harimau kumbang mengejar saya. Saya lari sehingga sampai ke runah dan terus menyorokkan diri di dalam reban ayam yang bertahi. Bila saya intai, harimau tadi tidak kelihatan. Dia nampak lembu saya. Dan yang meruntunkan hati saya, lembu kesayangan yang sedang bunting itu cuba melawan dengan tanduknya. Saya teringatkan lambang parti rakyat malaysia.

Harimau mencengkam lehernya, uratnya sehingga lembu itu terjatuh ke tanah. Darahnya memancut keluar sedang saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya bacul.

Aku tersedar tepat jam 0635. Aku terlepas waktu sahur lagi walaupun sudah kutetap alarm telefon bimbit dengan lagu ACAB. Aku terus menggosok gigi, mandi dan solat. Aku termangu di tepi tingkap dan kemudian masuk ke tandas.

Tandas tempat yang penting. Tandas yang baik membuatkan kita lega kerana memudahkan proses membuang sisa kumbahan kita. Tapi kalau tandas itu kotor? Jadi saya mula menjirus sabun, menggaras lantai dan membilasnya sehingga bersih. Sekarang, sesiapa pun boleh berak.

Comments