Semalam saya terbaca satu berita tentang Jerantut dengan headline
Jerantut pusat maksiat dan judi.
Beberapa bulan sudah tentang pusat judi mesin tular dan dalam grup fb daerah
sekian banyak posting tentangnya. Ada satu posting menceritakan kawannya habis
1500 ringgit main slot mesin. Judi ini semakin menjadi-jadi. Kalau perkara ini
tak dihentikan tak lama lagi semua nak muda (dan juga orang tua?) akan jadi
tahi judi. Padahal Jerantut adalah BANDAR TAMAN TEGARA. Gateway to taman negara
katanya.
***
Aku teringatkan ketika aku tingkatan tiga. Semasa menunggu
bas untuk pulang ke rumah selepas balik dari sekolah. Aku duduk di sebelah
Dinesh (bukan nama sebenar) dan ralit membaca surat khabar jawi utusan melayu
seksyen Gusti Bersama Macan. Dinesh sedang belek telefon nokia 1100nya. Di
hadapan kami bersusun bekpek pelancong dan ada beberapa omputeh sedang membaca
buku travel guide.
Ada suatu suara parau berdengung di antara kami. “Hai orang2
putih ni, kalau dapat ke orang Asia macam kita, terduduk kita.” Aku dan Dinesh
mengangkat muka. Berdiri seorang lelaki pendek, berambut keriting botak di
tengah, mata bulat, memakai seluar khaki paras lutut, baju t belang-belang
berkolar dan ada pouch bag merentang di perut gendutnya. Namanya Razak, seorang
prebet sapu dan pesara kerajaan.
Dinesh tersengih dan saya memandang ke arah pelancong itu,
mereka pakai singlet sendat dan buah dada mereka tergodeh-godeh di dalamnya.
Seluar mereka terlalu pendek menampakkan betis mereka – bunting padi dan kulit
mereka berbintik-bintik.
“Tengok tu... woooho.” Kata Razak lagi tersengih birah.
Dinesh tak ambil peduli tapi saya memandang pada pelancong itu. Mereka cantik
juga namun tubuh mereka agak besar, gedang – membenarkan tanggapan Razak bahawa
kita akan terduduk dibuatnya.
Dinesh khusyuk dengan telefonnya. Aku lihat bajunya tidak
berkedut, kesan seterika pada lengannya masih tajam. Dinesh seorang yang warak.
Setiap pagi bas kami dari kampung akan berhenti di depan rumah Dinesh yang akan
mengambilnya. Dinesh akan naik bas
dengan bau bunga melor yang kuat serta calitan putih di dahinya. Kata orang
Dinesh ada seorang abang. Abangnya telah lari dari rumah dan menikah dengan
gadis Islam. Dia masuk Isalam dan tidak pernah balik ke Jerantut lagi. Saya
ingin benar hendak bertanya cerita itu betul atau tidak. Tapi aku tak berani.
Mungkin dia pun sedang berSMS dengan abangnya itu.
Saya teringatkan beberapa tahun sudah, kawan aku ajak saya
makan di restoran vegetarian Sri Pandian di PJ.Saya makan dengan berslera dan
bertambah pula. Dan bila aku balik rumah saya muntah-muntah. Abah saya (sudah
berpuluh tahun hilang jejaknya) seorang tabligh yang hardcore tetapi dia,
semasa saya kecil, kerap makan di kedai daun pisang Santhi yang terletak
bertentangan dengan rumah Dinesh. Di sebelah kedai Santhi ada kedai India
Muslim. Kedai itu penuh dengan pelanggan dan dikatakan antara kedai mamak
terawal di Jerantut. Pada masa itu kedua-dua kedai ini terletak betul-betul di
pintu masuk kuil besar. Pada bulan puasa ramai orang tak puasa makan di kedai
mamak itu. Sekarang kedai tu dah berpindah ke lot lain yang lebih besar.
***
Ramadan sudah menjelma dan aku akan berada di KL seperti
beberapa tahun sudah. Aku teringatkan sewaktu bulan puasa 4 tahun lepas. Aku
tumpang tinggal di rumah seorang kawan. Ada seorang runner tua berambut
panjang, muka cengkung, gigi sedikit jongang dan kerap pakai singlet bernama
Mat. Dia tak puasa dan kaki heroin.
Mulutnya sering berdecit dan suka termenung bila seusai menyedut serbuk heroin
warna putih. Kadang-kadang dia akan pakai spek dan membaca surat khabar
kegemarannya – Harian Metro. Pernah juga Mat cuba-cuba baca buku puisi Walt
Whitman milik kawan saya. Dia kata dia suka tapi kawan aku tak bagi dia baca
selepas serbuk heroinnya tertumpah di atasnya. Mat pernah beberapa kali ditahan
di pusat serenti dan Mat suka bercakap dan kompelin. Mat selalu cakap suara
bilal di surau flat kami tak sedap, tak pernah sedar diri nak bersara dan
sebagainya. Tapi memang suara bilal tu tak sedap pun.
Suatu hari selepas bersahur Mat sedang hisap rokok surya,
sambil berdiri menyandar tangannya pada dinding Mat tanya aku “Kau tahu tak
nama syurga untuk orang yang berpuasa?” Terdiam saya. Aku tak pernah terfikirkannya
sepanjang bulan puasa itu tentang nama syurga untuk orang yang berpuasa. Ya,
aku memang pernah dengar nama syurga itu dalam satu ceramah tapi aku dah lupa.
Betul-betul lupa. “Nanti aku cuba ingat.” Kataku padanya. Aku tak cari
maklumatnya di internet kerana saya mahu betul2 ingatnya. Puas saya memerah
otak dan setelah seminggu akhirnya Mat bertanya lagi, ketika itu waktu berbuka
akan masuk beberapa minit saja lagi. Mat berdiri sambil hisap surya kemudian
menurunkan speknya dari batang hidung – gaya seorang intelektual.
“Kau dah ingat?” Tanya dia. Aku geleng kepala. Aku terlalu
lapar dan mataku terpaku pada murtabak serta air soya. Mereka memanggil-manggil
aku dan perutku pula bergelora.
“Ar Rayyan namanya.” Kata Mat. Suaranya jelas dan lancar. Ketika
itu tinggal berapa minit saja lagi untuk azan berkumandang.
“Kau pernah sekolah agama, takkan tak tahu” Kata Mat lagi.
Saya berpaling padanya, memandangnya terpegun dan entah mengapa terluncur
soalan berbunyi “Apa nama neraka khas bagi orang tak berpuasa ek?”
Comments
Post a Comment