Aku pernah ternampak di sebuah deretan gerai, di sudut paling hujung, ketika waktu tengah hari dan gerai itu sudah tidak beroperasi, seorang lelaki mencangkung lalu
memancutkan air kencing. Dia tersengih-sengih lalu mengatakan padaku “Tak tahan sangat.” Pak cik itu terus berjalan dengan wajah selamba dan anehnya ekor matanya tetap menancap ke wajahku. Dia melangkah tenang dan setiap langkahnya membuatkan beberapa lintasan masa lalu bermain di kepala.
i
Semasa aku bersekolah di sebuah sekolah agama, seorang ustaz melarang kami memakai baju bercap No Fear. Katanya itu adalah agenda barat yang membawa maksud tidak beriman, membawa konotasi jangan takut dengan apapun. Ada seorang senior menasihati kami tidak membaca majalah Al Islam yang ketika itu katanya dipenuhi rencana anti hadis dan agenda liberalisme. Kalau tidak silap aku nama editornya ketika itu ialah Astora Jabat. Senior itu memberitahu kami maksud akronim Astora itu. “Asan Anak Tok Rampai, Jabat tu nama tempatnya.”
ii
Aku dan beberapa kawan seasrama pernah melepak di stesen kereta api. Kami berjumpa beberapa pelancong dari Perancis yang baru pulang dari Taman Negara dan sedang menunggu tren ke Kuala Lumpur. Kami berborak-borak dan itulah kali pertama aku belajar beberapa perkataan asas daripadanya seperti bonjour, comment ca va dan merci. Perbualan melarat tentang bola sepak sehingga salah seorang kawan aku bertanya jika pelancong itu pernah mendengar nama Akmal Rizal yang pernah bermain di kelab Perancis. “Who is that? Never heard of him. Maybe he work at the football club toilet.” Jawabnya tersengih-sengih.
iii
Kalau lembu betina kencing, kaki belakangnya akan terjingkit sedikit dan ekornya akan menegak sebelum air kencingnya menitis percik keluar. Pelir lembu jantan di bawah perutnya. Dia kencing dengan mudah namun kadangkala kemaluannya yang berwarna merah jambu akan terjulur keluar dari kulupnya. Bau kedua air kencing mereka tetap hancing pering.
Pak cik tadi sudah sampai ke dekatku. Aku sangka tentulah dia akan tersengih-sengih kerana merasa bersalah atau paling tidak mengatakan “Tak tahan sangat.” Namun wajah pak cik itu kekal tenang sebelum mengatakan ‘Ce’st la vie.’ Dia beredar meninggalkanku yang masih terkebil-kebil. Keningku terjungkit dan dahiku berkerut sebelum baru kusedar pak cik tadi ialah lelaki tempatan yang terperangkap dalam badan seorang pelancong Perancis.
Comments
Post a Comment