Memang sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Hampir dua
tahun ianya tidak terusik langsung. Lagipun saya yakin blog ini tidaklah
mempunyai pengikut pembacanya yang tetap. Kehilangan saya ini tentunya tidak
dirindui orang. Ini bukanlah bermaksud saya tidak menulis terus, membenci dunia
penulisan sehingga saya tidak lagi mengetik papan kekunci komputer. Tidak.
Malahan saya telah memekar kemahiran saya dalam penulisan fiksyen. Mengapa
fiksyen? Kerana realiti itu semakin menjemukan, merenyahkan dan memeningkan
kita manusia ini. Jadi apalah salahnya memilih fiksyen untuk melarikan diri
seketika daripada realiti yang menakutkan itu, bukan?
Ada banyak yang hendak saya celotehkan disini. Tempoh hampir
dua tahun tanpa kemaskini tentunya membuatkan saya mahu bercerita perihal yang
banyak. Antaranya:
1.
Penulisan
Sebenarnya minat menulis saya
bercambah sejak sekolah rendah lagi. Semasa saya di sekolah menengah saya
banyak tulis sajak. Sekarang entah kemana perginya koleksi sajak-sajak itu.
Pada tahun 2008 saya mula berblog dan menulis tentang politik, hanya untuk
kepuasan diri. Kemudian bila saya memasuki UiTM saya mula ke Pesta buku dan mengenali
buku-buku terbitan Lejen, Fixi, DubookPress dll. Semangat menulis saya
berkobar-kobar ketika itu. Tambahan pula saya serumah dengan seorang penulis
novel dan di kampus saya juga ada beberapa penulis novel seperti Saat Omar dan
Fatrim Syah. Pada 2014, selepas membaca novel BukuFixi berjudul Seronok oleh
Saat Omar dan Kasino (tulisan Saifullizan Tahir yang pada anggapan saya
merupakan karya terbaik yang diterbit Buku Fixi) yang sangat mengesankan itu, saya
ambil masa sebulan untuk menulis satu manuskrip fiksyen. Saya hantar kepada dua
penerbit (kerana tidak sabar dan kurang pengetahuan mengenai etika seorang
penulis novel). Dua penerbit itu memberi jawapan yang mereka bisa terbitkan
manuskrip saya itu jika saya mengubah sedikit fakta-fakta dan jalan cerita.
Saya hilang punca, tidak tahu apa yang patut dibuat. Malang! Memang saya tak
tahu apa yang hendak diubah lagi. Saya
terus berhenti menulis sejak daripada itu. Namun minat membaca saya terus berkembang.
Saya banyak meminjam buku
daripada perpustakaan dan beli buku-buku baru. Saya mula menjadi peminat novel
Inggeris ketika membaca novel John Grisham dan Stephen King. Mulanya saya baca
karya terjemahan mereka iaitu Joyland (terbitan Fixi diterjemah Intan Munirah
kot) dan dua buah novel John Grisham terbitan PTS. Saya mula mencari
novel-novel mereka dalam bahasa Inggeris dan saya mula menjadi peminat tegar
John Grisham. Idea di kepala berkembang dan jari-jemari semakin gatal hendak
menulis. Saya belek semula manuskrip saya pada 2014 dulu. Ya Tuhan baru saya
faham kenapa penerbit sebelum ini minta saya edit semula karya saya itu.
Bahasanya, jalan cerita dan plot tidak matang langsung! Akhirnya sekitar bulan
Januari saya memulai penulisan manuskrip fiksyen saya. Siap dalam sebulan,
manuskrip bertajuk Sulit itu saya hantar ke penerbit terkenal Buku Fixi.
Sementara menunggu balasan yang mengambil masa itu, saya menulis satu lagi
manuskrip. Ambil masa sebulan lebih, saya hantar ke penerbit Lejen Press.
Sambil itu saya terus membaca novel-novel Inggeris yang lain seperti tulisan JA
Jance, Steve Barry, Mitch Albom dll. Saya terpengaruh untuk menulis novel
bercorak aksi/militari. Lalu saya memohon untuk menyertai Askar Wataniah. Hal ini
penting supaya saya dapat mengetahui istilah-istilah, merasai pengalaman latihan
seorang askar yang betul dan memegang senjata. Tidaklah jika saya menulis nanti
jika orang membacanya terasa seperti tangkap muat, terasa seperti dibuat-buat
dan penuh dengan pemakluman info yang dikutip dari internet saja kan? Ini saya
dapat baca melalui penulisan-penulisan novel aksi tempatan yang tidak terasa
feelnya bila menulis babak pergaduhan atau senjata atau ketenteraan.
Menghabiskan tempoh sebulan
rekrut di Rejimen 505 AW Kem Susur Tembeling, saya berdebar menanti balasan
penerbit mengenai manuskrip saya. Saya tunggu dan terus tunggu (Saya tak tanya
berkali-kali sebab saya tidak mahu mendesak sehingga menjengkelkan penerbit).
Dalam masa yang sama saya mula meminati majalah Dewan Sastera dan menulis
cerpen dengan memasang angan-angan yang satu hari kelak tulisan saya akan
tersiar di majalah itu. Sekitar bulan Julai, saya tidak tahan lagi menunggu.
Saya hantar email kepada penerbit dan Lejen Press memberi berita gembira.
Manuskrip saya bertajuk Menculik Sensasi akan diterbit pada bulan Ogos di Pesta
Buku Selangor 2016. Oh Tuhan, pada saat itu saya betul-betul gembira! Seminggu
kemudian saya diminta menulis dedikasi, blurb dan sinopsis.
Ketika Rekrut AW |
Dan sewaktu
peluncuran buku saya di SACC Shah Alam saya sudah ada di booth Jelajah
LejenFixi dan mula menemui pembeli serta menandatangani autograf. Kawan-kawan sekampus
yang Datang memberi sokongan, Hakimi yang tiba paling awal, Fitri yang gembira
untuk saya, Syafiqah bestie di kampus Puncak Perdana dulu dan rakan
seperjuangan kerja dulu, Azam. Terasa sangat rendah diri bila dapat duduk
disebelah Ariff Adly, penulis bestseller BukuFixi. Peminat dan pembeli beratur
mendapatkan otograpnya. Saya pula? Ah, saya masih baru dan pembeli boleh dikira
dengan jari.
Saya di pesta buku Selangor 2016 |
Menculik Sensasi, novel pertama saya. |
Usai Pesta buku itu saya mula
mendapat balasan email daripada BukuFixi. Katanya manuskrip saya akan ditayang
di wattpad mereka dulu. Jika ramai peembacanya maka akan terbitlah manuskrip
itu. Syukur. Hal ini menimbulkan semangat untuk saya terus menulis. Kemudian
saya terus tulis satu lagi manuskrip berjudul Nafas Harapan. Saya tak pernah
terfikir yang saya akan menulis sesuatu yang bercorak realisme. Saya dianjur menulis
realisme oleh seorang penulis novel juga yang menggesa saya menulis tentang
pengalaman hidup saya. Jadi saya berasa syok juga kalau saya kongsi secebis(bukan
semua) hidup saya dalam bentuk novel. Saya terjumpa satu penerbit di FB yang
ketika itu mencari manuskrip tema realisme. Katanya hanya perlu tulis 3 bab
awal, sinopsis keseluruhan dan watak-watak. Jadi saya buat semuanya dulu, dan
submit pada mereka. Dua minggu kemudian mereka memberi jawapan. Dukacitanya
pada saat itu saya sudah siapkan 9 bab manuskrip itu dan mereka mmaklumkan yang
mereka menolak manuskrip saya. Mereka memberi alasan-alasan yang konkrit juga
dan saya menerimanya dengan terbuka. Saya berazam untuk menambah baik manuskrip
itu dan dalam masa dua bulan setengah manuskrip itu siap. Pabila siap pada
bulan Oktober saya menukar tajuknya kepada Mengejar Siluet Palsu. Bunyinya
lebih sedap, kan? Saya hantar kepada satu penerbitan lain. Sementara menunggu
mereka membuat penilaian (saya tahu mereka akan ambil masa lama) saya menulis surat kepada editor iaitu satu ruangan
dalam majalah Dewan Sastera. Tidak saya sangka majalah Dewan Sastera edisi
november menyiarkan tulisan saya yang bertajuk Strategi Baharu Memperkasa
Produk Trerbitan DBP. Tulisan itu lebih kepada kritikan sebenarnya. Dan sekitar
pertengahan November penerbit buku yang saya hantar manuskrip saya itu memberi
jawapan. Ya! Satu lagi jawapan yang menggembirakan. Kata mereka, mereka akan
perkenalkan saya pada seorang penyunting dan manuskrip saya itu akan terbit
sekitar bulan Mac/April tahun 2017. Syukur betul kerana penerbit ini bukan
calang-calang juga dalam industri penulisan sastera lebih-lebih lagi melibatkan
anak-anak muda. Lejen Preess, Buku Fixi, kemudian Selut Press. Apa lagi selepas
ini? Saya sedang mengemas dan memperbaiki mutu-mutu koleksi cerpen dan puisi
saya. Target saya adalah mana-mana penerbitan, saya tidak kisah asalkan
penerbitan itu established dan diketahui orang. Bukanlah fasal duit atau glamor
sangat yang dicari, yang penting saya mahu karya saya menemui audiens yang
luas, pelbagai dan mesej saya sampai kepada semua pembaca. Itu yang penting
sebenarnya.
Ada beberapa penerbitan yang saya
memasang angan untuk terbit bersama mereka, antaranya Moka Mocha Ink,
Terfaktab, Pekan Ilmu, ITBM, Dubook Press, oh dan juga DBP! Saya juga teringin
hendak menulis novel cinta walaupun kurang berkemampuan rasanya. Untuk itu saya
sudah mempunyai beberapa manuskrip, sekitar 6 buah, yang sedang dalam proses
penulisan (tak tahulah bila akan siapnya). Doakan saya terus berjaya dalam
bidang penulisan ini.
2.
Memelihara Lembu
Keluarga saya ada membela lembu. Berbagai
jenis tapi tidaklah banyak. Ada 13 ekor semuanya sekarang. Paling kecil, lahir
bulan lepas. Ada dua ekor ibu lembu yang sedang bunting. Memelihara lembu
memenatkan juga sebenarnya. Memastikan mereka mendapat makanan adalah hal yang
paling mustahak sebenarnya. Mencari rumput yang sekian banyak, menolak kereta
sorong berisi hampas kelapa sawit proses yang busuk, memberi palet makanan
ruminan, menambat lembu di paya berdekatan hutan dan kadang-kadang mengejar lembu
yang terlolos daripada pagar. Penat, tetapi menggembirakan.
3.
Kembara
Berjalan ke tempat orang memang menjadi
cita-cita saya. Saya berksempatan ke Thailand, melewati jalan-jalan yang sibuk
dengan kereta, melintasi tok ca-tok ca yang meminta sedekah dan menatap sekian
banyak patung Buddha. Kembara ke tempat orang penting sebenarnya untuk membuka
minda dan memberi perspektif baru pada kita. Harapnya pada masa depan saya bisa
kembara ke lain-lain tempat. Ke Makkah, Eropah atau mana-mana pun.\
Assalamu'alaikum. Saya ingin bertanya biasanya rumah penggunaan bagi royalti berapa peratus dan selepas berapa bulan ye?
ReplyDelete