Skip to main content

Bercakap

Aku tak pernah percayakan kaunselor. Mungkin sebab pengalaman di sekolah, kaunselor yang sepatutnya menyimpan kemas masalah dan luahan pelajarnya tetapi menyebarkannya kepada cikgucikgi lain, maka aku merasakannya begitu. Hari semalam buat pertama kali aku bercakap dengan kaunselor. Entah kenapa aku tiba-tiba ada keinginan begitu. Yang terpendam dan tersimpan, walau bukan semua, diluahkan. Sedar tak sedar satu jam aku bercakap walau terasa singkat. Kaunselor itu banyak mendengar, sesekali bertanya dan pada akhirnya mencadangkan beberapa hal untuk aku lakukan agar dapat melupakan hasrat 'tidak baik' aku. Aku tersengih dan berjanji melakukannya.

*
Aku tidak pernah sukakan mimpi siang. Dan aku jarang tidur masa tersebut. Mimpi ngeri yang kualami beberapa hari lalu; pandangan mataku dipaksa menyorot ke suatu rumah kosong dan melihat satu persatu ahli keluargaku disembelih dengan parang; ngeri, darah, lolongan, jerit dan tangisan. Imej itu masih jelas sehingga kini.

*

Kau dah kahwin, ada anak dan nampaknya bahagia sekali. Aku tumpang bahagia, dan, terima kasih kerana kita kekal berkawan. Kita cool, kan?

*

Tak terfikir untuk kembali kerja di Kuala Lumpur. Kita lihat berapa lama akan bertahan. Tetapi kalau bertahan, mungkin tempohnya sekejap. Saya sudah kuncikan tarikh penting pada hujung tahun hadapan. Ah, di waktu begini aku amat-amat memerlukan buku Fernando Pessoa dan Robert Walser. Semuanya di kampung.

*

Empat hari lagi ulang tahun kematian kau. Biasanya tiap tahun aku akan ke kubur kau, mencabut kemuncup dan rerumput, siram air dan cakap dengan kau, dengan harapan kau mendengarnya. Maaf, sebab tak dapat jadi abang yang baik. Sikap aku memang buruk, kan Arih? Tapi banyak juga pengalaman indah kita lalui bersama. Aku akan sentiasa ingat masa kita sama-sama kena marah sebab tak nak pergi sembahyang raya haji, kita dengar kaset Jay Z - The Black Album ketika tu. Atau masa kena perambat sebab seharian mandi sungai dengan Boyi. Boyi? dia dah totally stanger dengan aku. Tak mungkin akan berbaik semula. Tapi kita tak tahu masa depan camana, kan? Mungkin kami akan bertegur sapa semula. Itu pun kalau aku masih hidup lagilah. Heh. Atau waktu kita rembat banyak vcd blue pak andak dan balik tonton sama-sama. Haah Arih, betul sangat kata orang, bila dah kehilangan barulah rasa nak menghargai. Maaf tahun ni tak dapat mengunjungimu, Arih. 

*

Kematian paling ideal bagi aku ialah di dalam hutan, dibaham rimau dan mayat tak ditemui sampai bila-bila. Atau serangan jantung, juga dalam hutan, dan mayat mereput, bersatu dengan tanah. Aku tak mahu diingati. Dilupakan lebih baik. Aku hanya titik dari angakasaraya nan luas ini.

*

Buat masa ini, aku cuba luruskan diri. Aku tak tahu apa akan berlaku beberapa bulan mendatang. Mungkin banyak benda yang akan terjadi dan mengubah keinginan atau ketidakinginan aku.

Comments