Skip to main content

Mengulang




P.Diddy dan rakan-rakannya menyanyikan Ill Be Missing You, yang asalnya dari lagu Every Breath You Take – The Police, tetapi diubah sedikit dan ditambah rap, ditujukan kepada Biggie Small yang terbunuh. Duo hiphop tempatan Too Phat menyadur banyak lagu tradisional ke dalam lagu-lagunya seperrti BOMOH, Anak Ayam dan Ala Canggung. Dalam album pertamanya Whuttadilly, trek paling saya suka adalah Too Phat Baby. Lagu ini disadur dari lagu Too Hot oleh kugiran AfrikaAmerika 60an dulu iaitu Kool and The Gang. Entah macam mana peliknya, kaset Kool And The Gang ada dijual di salah satu kedai kaset di bandar saya dulu. Saya membelinya dan mendengar Too Hot, di asrama sehabis pulang sekolah dan beberapa kawan saya mentertawakan saya setelah melihat kaver kaset tersebut. Kesemua proses saduran dan nyanyian semula ini saya anggap perulangan, tetapi memberi nafas baru. Saya anggap begitu juga dengan pembacaan. Apabila kita mengulang baca suatu buku kita akan menemukan sesuatu yang baru, atau mendapat sudut pandang yang berbeza berbanding bacaan sebelumnya.

   Tahun ini saya merancang untuk membaca 120 buku dan sudah ditandakan pada goodreads challenge. Tahun lepas saya telah membaca sebanyak 110 buah buku. Tapi nampaknya seakan tidak tercapai sebanyak itu tahun ini. Setakat ini sudah lebih 20 buah buku dibaca tetapi dalam masa yang sama saya banyak mengulang baca buku terutamanya kumpulan cerpen. Mungkin kerana nak kembalikan semangat menulis cerpen, maka saya kembali membacanya dengan teliti dan bersungguh. Sedikit sebanyak, ia membantu memberikan idea-idea baru.

   Saya mulakan dengan kumpulan cerpen Salamander- Masuji Ibuse terjemahan Fatimah Zainal terbitan DBP yang saya beli dengan harga lima ringgit. Tahun lepas saya telah membacanya sekali dan merasakan ada dua cerpennya yang menarik iaitu Salamander dan Ushitora Tua. Sebelum itu saya sempat membelek novelnya, Black Rain, tetapi tidak memikat. Kemudian saya membaca banyak tentang Osamu Dazai yang kerap menyebut nama Masuji Ibuse sebagai individu penting dalam penulisannya. Ternyata setelah membaca kembali, saya menemukan kenikmatan baru. Ambil contoh cerpen Kap. Ia satu cerpen yang tampak sekilas, sebuah cerpen yang ringkas dan kosong. Kap memerihalkan ‘aku’ yang dihadiahkan seekor ikan kap berwarna putih oleh rakannya, Nampachi Aoki. Kemudian dia meninggalkan ikan itu di kolam teman wanita Aoki buat sementara kerana dia berpindah. Apabila dia kembali semula Aoki sudah meninggal. Dia menulis surat kepada teman wanita Aoki supaya membenarkan dia mengambil semula ikan kapnya dan setelah surat itu dibalas, dia membawa ikan kap itu ke universitinya dan meletakkannya ke dalam kolam. Ikan kap putihnya semakin membesar dan di kolam itu  ia selalu menyelam ke dasar membuatkan 'aku' jarang nampak kelibatnya. Suatu awal pagi dia tiba-tiba terbangun dan berjalan dekat kolam lalu terlihat ikan kapnya berenang seperti raja dan diiikuti pelbagai jenis ikan lain seperti ikan killfish dan ikam roach. Tak lama selepas itu musim dingin datang menyebabkan kolam itu membeku. ‘aku’ cukup pasti yang ikan kapnya mati tetapi dia tetap datang menjenguk setiap pagi dengan harapan tipis.

'Pada suatu pagi permukaan yang beku itu dilitupi lapisan nipis salji. Aku pergi ke kolam itu dan mengutip batang buluh yang panjang, dan melukis gambar di permukaan air batu itu. Gambar itu gambar ikan yang panjangnya hampir 20 kaki. Dalam fikiranku, itulah kap putihku. Apabila gambar itu siap, aku ingin melukiskan sesuatu di mulut ikan itu, tetapi melupakannya dan melukis sebilangan besar ikan roach dan killfish yang bimbang ditinggalkan berenang mengerumuni kap putihku. Namun betapa bodoh dan tidak pentingnya ikan roach dna killfish itu kelihatan! Sesetengahnya tiada sirip; yang lain malah tiada mulut atau mata. Aku begitu puas sekali.'

   Begitulah perenggan terakhir cerpen Kap, yang semacam alegori kehidupan narator. Cerpen ini begitu lembut tetapi memberi kesan renungan yang dalam buat saya. Saya menemukan perasaan yang hampir sama dalam cerpen Savan di Atas Bumbung. ‘Aku’ menemui seekor angsa yang luka di kaki kerana ditembak. Dia merawat angsa itu dan mengikat kakinya sehingga pulih tetapi setiap malam si angsa membuat bising seolah mahu keluar sehingga mengganggu lenanya.  Apabila luka angsa telah sembuh dia menggunting bulu sayapnya dengan tujuan ia bebas berlari di laman rumah dan tidak lari. Angsa itu bertukar jinak dan menambat hatinya. Malah dia selalu membawa angsa itu yang dinamakan Savan, berjalan bersama. Suatu malam Savan melengking bising, ‘aku’ membuka membuka tingkap dan melihat Savan di atas bumbung menjerit ke arah beberapa ekor angsa yang terbang melintasi bumbung. ‘Aku’ memarahi Savan apabila siang menjelma tetapi pada malam seterusnya Savan tetap berada di bumbung, menjerit. Lalu ‘aku’ bertekad untuk menyapu ubat melebat bulu pada sayap Savan supaya Savan tak lagi menderita tidak dapat terbang. Namun keesokan pagi dia mendapati Savan sudah tiada. Begitu juga dengan cerpen Kembang Plum di Waktu Malam. Ia sebuah cerpen tentang  rasa rendah diri, paranoid, takut dan kemabukan. 

   Selain Masuji Buse, ada beberpa penulis lagi yang saya ulang baca. Antaranya Malim Ghozali PK- Song of September. Saya gemarkan cerpen-cerpennya yang biasa, yang mengenang cinta tak kesampaian, dan lamunan-lamunan. Seperti cerpen Usia, Pelabuhan dan Di Sepanjang Lorong Mimpiku. Dan saya membaca kembali cerpen-cerpen Robert Walser – The Walk and other stories. Cerpen-cerpennya ada humor, genius dan kepiluan. Seperti Kleist in Thun, tentang penulis yang kesunyian atau Balloon Journey.

   Selain daripada itu saya mengulang baca Tinju&Peluru oleh Johan Radzi. Cerpen-cerpennya puitis, jantan dan bersahaja. Apabila saya membaca kembali buku ini, cerpen Perbualan di Ulu Tamu dan KL Rendezvous benar-benar saya senangi. Ia cerita yang simple tetapi memberikan senyuman kepada saya. Dan tak lupa juga Raymond Carver dengan What We Talk About When We Talk About  Love. Walaupun saya lebih gemar dengan cerpen Cathedral, tetapi buku WWTAWWTAL memberikan Viewfinder, A Serious Talk dan Sacks membuatkan saya  merenung kembali cerpen-cerpen yang telah saya tulis. Buku akhir sekali adalah Jalak Lerteng dan Chuchu Datuk Merah – Saat Omar. Cerpen Like yang mengisahkan ‘aku’ pelik dengan seorang stranger di fb yang suka like setiap statusnya adalah cerminan curiousity manusia pada zaman ledakan maklumat dan media sosial.

Saya tidak tahu berapa banyak lagi buku yang saya akan ulang baca, apakah saya akan menemui sisi-sisi lain lagi jika saya baca lagi sekali pada tahun hadapan atau bagaimana p[ula. Yang pasti, saya tak akan bosan dengan cerpen. Saya tak bosan mengulang baca.

Comments