muka depan edisi terakhir Mastika
Buang buku teks sejarah itu. Lempar buku rujukan di tangan. Ambil majalah, kunci pintu, kurung diri dalam bilik dan baca sehingga matamu lesu dan mengalah.
Hari ini di FB majalah Infiniti, salah satu majalah terbitan Utusan mengumumkan mereka keluarkan edisi terakhir mereka. Nasib Infiniti sama macam abang mereka, Mastika yang edisi terakhirnya adalah november ini. Nampaknya masalah kewangan Utusan beri kesan besar betul sampai mereka jual tanah syarikat untuk menampung banyak benda antaranya pembayaran pampasan pekerja yang berhenti sukarela.
Aku bukan peminat Infiniti malah tak pernah baca pun sebab, tak berapa menarik isinya selain apa yang ditulis tu boleh digugel saja kebanyakannya. Tapi dengan kehilangan Mastika berasa sedih juga. Sebab Mastika ni usianya sangat lama. Lebih lama dari usia Malaysia sendiri. Sidang pengarangnya bukan calang2 dari Kajai, Keris Mas, Asraf, dan ramai lagi. Sumbangannya untuk kemerdekaan juga ada. Mastika punya sejarah panjang dalam merakam dan menambah warna dunia penulisan tanah air.
Ramai yang komen dan kata apa yang Mastika jual dalam majalahnya cuma cerita-cerita seram, tahyul dan mengarut. Memang aku rasa, sejak 90 an isi Mastika sudah mula berubah. Dia lebih kedepankan cerita seram, aneh, pelik untuk tarik pembaca. Lakaran2 pelukis di kaver depannya setiap bulan aku memang tunggu dan selalunya menarik perhatian. Biasanya gambar jembalang atau kematian yang menakutkan atau alien. Selalunya latar dan warna lukisan ini gelap dan suram. Lukisan kaver depan ini mengingatkan aku pada kaver2 buku Tamar Jalis, Tok Ngah, Tok Anjang dan beberapa lagi yang turut bergenre seram dengan sulaman pengajaran keagamaan di dalamnya.
Aku masih ingat rencana pertama Mastika yang aku baca adalah semasa darjah 4, kisah pasal budak di Terengganu kena patah petir masa hujan di bawah pokok sehingga meninggal dunia. Kesannya selepas tu aku selalu takut nak berteduh di bawah pokok masa hujankilat. Lain pada itu aku suka fakta2 aneh, kisah pembunuhan sadis dan kisah seram luar negara yang turut dia selit. Biasanya disertakan dengan foto lama yang kabur. Foto2 ini selalu menimbulkam misteri di kotak fikiran aku. Sebab ia tidak jelas.
Dulu biasanya makcik aku atau jiran aku yang suka beli Mastika. Dari mereka aku pinjam baca. Bila dah sekolah menengah kadang2 aku beli kadang aku baca free di kedai. Kalau pergi pustaka mereka ada jilidkan Mastika lama2 dan aku selalu beleknya. Tapi bukan isi2 itu yang menjadikan Mastika dekat dengan diri aku. Sekitar 2005-2006, Mastika banyak siar rencana pasal perjuangan tokoh kiri baik Komunis, PKMM, Awas, Api, Barisan Sosialis, KMM dan beberapa lagi. Dari sinilah aku tahu kisah Mat Indera dan Rashid Maidin sehingga aku mula ragu2 dengan Sejarah yang aku belajar dari buku teks. Dari sinilah tanggapan aku terhadap sejarah kiri berubah sehingga aku menyelongkar bacaan di internet dan bacaan buku lain seperti memoir dan biografi (mujur ada di pustaka!). Aku mula tidak dapat terima sejarah yang aku belajar.
Semasa tingkatan enam, hanya aku seorang dalam kelas tak ambil subjek sejarah. Sebaliknya sebagai protes senyap terhadap subjek itu, aku mengambil Literature in English, yang mana, satu kesilapan besar. Dan aku masih membaca Mastika.
Sekitar waktu itu juga Mastika banyak cover hal2 sosial seperti scene Black Metal dan Gay yang aku rasa melariskan jualan mereka. Walaupun laporan dan rencana mereka penuh dengan propa dan adakalanya tidak betul, tapi ketika itu sebagai budak kampung yang tidak banyak terdedah dengan pengaruh luar di sekeliling, cerita2 itu menimbulkan ghairah. Ia bukanlah kepercayaan membuta tuli terhadap tulisan2 mereka tetapi mewujudkan semacam keinginan untuk kita lebih merasa ada sesuatu lagi di sebalik semua yang dilaporkan itu. Senang kata, ia penulisan yang membuka mata.
Apa2 pun Mastika memang banyak memberi ilmu dan juga gosip buat aku. Selamat berehat dalam lipatan sejarah, Mastika. Terima kasih.
Comments
Post a Comment