Skip to main content

Mengenalkan Cerita dan Sayup Suara



Sejak beberapa hari lalu ketika sudah terpelanting ke dalam lubang fikiran yang saya mahu mengemaskinikan blog ini berkenaan apa yang saya kerjakan sekarang, saya masih berbelah bagi tentang tajuknya.Yang berlegar adalah; mengenalkan puisi, menunjukkan prosa, dalam sekolah sastera dan entah beberapa lagi. Sebelum isi kasar bermain-main dalam lubang fikiran tadi, biasanya saya akan menyaring idea tajuk-tajuk yang berbunyi bombastik tetapi ada kebanyakan masa ia hilang begitu saja. Hilang dihapuskan rasa rendah diri dan keriasauan yang mengucur dan menaik dalam pembuluh keyakinan diri.

Perkara mustahak sebelum atau semasa menulis esei-karangan-rencana, adalah memilih idea tertepat sekali untuk dipahatkan pada tiang cerita. Memang definisi esei, karangan dan artikel itu berbeza tapi proses penulisannya tidak banyak beza, menurut saya. Yang tak kurang menjadi masalahnya juga adalah proses pengembangan idea ini. Terkadang ia kekal sebagai satu fakta atau idea saja dan sukar dileraikan simpulannya kerana kekangan; bahasa (perbendaharaan kata, pemilihan istilah), kekurangan pengetahuan (bolehkah kita katakan sebab, kurang bacaan dan kurang bacaan sebab, gth, kurang membaca?) dan kurang daya tumpuan. Sebab-musabab ini menjadikan satu-satu penulisan itu tidak baik dan kurang kemas. Ah lihatlah, akhirnya saya sendiri sudah melalut jauh.

Di satu-satunya sekolah yang menawarkan subjek sastera untuk pelajar tingkatan lima (bermakna ada kelas kesusasteraan khas) dalam daerah Jerantut, yang saya temukan adalah kesuraman. Walaupun keinginan agak memuncak untuk bertemu dengan pelajar-pelajar sana dan berkongsi patah kata, dan menyusun program (ah, saya dan guru sastera beberapa kali bersembang tentang ini, program) namun ia tak terjadi-jadi, mungkin satu masa nanti. Pedulikkan tentang itu, saya ada kesukaan baru di sekolah ini, khususnya kelas saya sendiri.

Saya mengajar di kelas pendidikan khas dimana murid-muridnya terdiri daripada pemegang kad OKU daripada jabatan kebajikan masyarakat. Terdapat enam kategori murid pendidikan khas di kelas ini iaitu; a) ketidakupayaan penglihatan b) ketidakupayaan pendengaran c) ketidakupayaan pertuturan c)ketidakupayaan fizikal d)masalah pembelajarn e)ketidakupayaan pelbagai. Kelas saya memiliki pelajar dalam kesemua kategori ini. Jadi, ia sangat mencabar untuk mengajar mereka dan teknik mengajarnya jauh berbeza dengan mengajar murid biasa. Ada seorang pelajar yang mengalami autisme+adhd. Dia seorang cina dan ibunya berkata yang pada mulanya dia mahu mengurung saja anak lelakinya di dalam bilik kerana pada kepercayaan mereka, anak sebegitu tak memberi luck. Pada kebanyakan masa anaknya itu memang tahu merenung kosong saja ke sekeliling, bola matanya yang jernih tak berkocak dan dia berada di dunia lain, itu yang saya pasti. Namun begitu, sebenarnya dia sangat mahir dalam bahasa inggeris. Beri saja padanya buku inggeris  dengan soalan padanan, mengisi tempat kosong atau mencari perkataan, dia akan menyiapkannya dengan pantas. Begitu juga dengan beberapa pelajar lain yang kebanyakannya lemah pembelajaran. Mereka memang perlahan dalam segenap aspek tetapi itu bukan bermakna mereka tidak boleh maju langsung. Malah setakat ini sudah ada dua pelajar yang dapat naik ke kelas biasa dan belajar seperti biasa. Cuma, ia memerlukan pengajaran yang betul. Sebenarnya sukar untuk saya menerangkan dengan tepat apakah pengajaran yang betul itu. Sebab saya cuma guru ganti yang tak punya latihan khusus.

Saya tidak mengajar matapelajaran BM atau sastera. Malah matapelajaran BM kelas pendidikan khas tidak ada sisipan Komsas seperti kelas lain. Jadi saya merasakan semacam ada kelompongan di situ. Memang setiap pembelajaran dan subjeknya aspek kemahiran ditekan selain penumpuan kepada praktikaliti tetapi semua ini pada anggapan saya tetap berpuncak pada kesenian. Senilah yang duduk paling atas. Ia terhalus, bersila dengan helaan nafas tenang dan memerhati, kehalusan, butir-butir dan segalanya, seni. Dan saya mendapati juga ia kurang pada aspek bahasa, perbualan, dan kemahiran mereka yang lain. Jadi, di sini, satseralah yang menurut saya perlu melekap ke jiwa mereka.


membaca karim mohd


Benda yang saya akukan saya cuma membawa buku berbeza setiap hari. Dan buku-buku ini pula adalah buku cerpen dan puisi yang mana akan menarik minat mereka secara segera dan bacaan secara segera juga. Ada beberapa buah majalah DBP yang turut saya bawakan. Ini semua menimbulkan keheranan dan keingintahuan di kalangan pelajar. Tak saja dari budak kelas saya malah dari guru-guru juga. Ada yang bertanya, ada yang membelek dan ada yang terkejut, mengetahui wujudnya cerita dan puisi seperti saya bawakan itu.



membaca anas mohd


Benda yang saya lakukan itu bukan untuk kempen membaca walaupun pada bulan oktober yang diwarwarkan sebagai bulan bahasa kebangsaan kebangsaan namun sekolah itu penuh kesuraman sebaliknya ada hari apresiasi khusus bahasa inggeris, bukan, bukan untuk ngempen buku dan bahasa. Mungkin secara rampang mata, ya. Tapi tujuan asal, seperti komen SM Zakir terhadapa cerpen saya di dalam majalah Tunas Cipta 'penulis adakalanya mempunyai sesuatu yang sayup-sayup dalam ingtaannya. Mungkin berkenaan lagenda, mitos,  atau dongeng yang bukan sahaja untuk mengingati, juga untuk meneroka kebenaran atau musabab di sebaliknya'. 

Itulah tujuan tersirat dan tersurat saya. Saya memang pesimis dengan nasib sastera secara khususnya dan pembacaan buku secara amnya pada  masa mendatang dan kerana itulah saya berharap suatu masa nanti, mungkin, tiga puluh atau 40 tahun akan datang salah seorang anak murid saya yang ketika itu sudah bergelar jutawan yang tidak rasional atau pekerja kolar biru yang perasuah, atau seorang pelaut yang bertarung dengan nasib atau seorang transnita yang baru menjalani pembedahan di Korea atau seorang asshole; jika mereka terdengar semula nama penulis ini (yang pernah dibaca), sebaris sajak mereka, bayangan imej cerpen mereka; sewaktu pengumuman kematian penulis tersebut baik di radio atau akhbar, atau semasa majlis sastera yang tidak dilayani manusia di pinggir bandaraya, atau ketika seorang gila di tepi jalan meneriakkan sebaris puisi di tepi lorng gelap:;; dia akan segera teringat dan berkata "ah, aku pernah mendengar ini, di mana? di mana?" lalu membikinnya terkenang, teringat dan berputar semula kepada sastera. Ya, cukup sekadar itu, sebelum kita pergi lebih jauh seperti nilai kemanusiaan, kehalusan budi atau penghargaan terhadap seni dan susastera.



Comments