Skip to main content

Tupai


Dalam video di youtube bertajuk In Conversation with Artist Latiff Mohidin (tajuknya lebih panjang, dengan durasi sejam, cuba searchnya pasti ada) yang baru dimuatnaik beberapa bulan lepas, dia menyebut tentang proses kerjanya untuk siri Mindscape (selepas ditanya seorang peserta talknya). Katanya ketika itu dia banyak membaca tentang meditasi, buku2 Tao, Zen dan apa2 berkaitan ketenangan dari Jepun. Moderator turut menyebut mengenai sajak2nya ketika dia muda yang dikatakan lain daripada sajak2 penyair pada waktu itu yang banyak mengenai perjuangan, masyarakat dan nasionalisme. "Kita dah merdeka, jadi perjuangan apa lagi? Saya tulis untuk mengisinya. Tentang serangga, alam. Saya tulis dari hati saya." Walaupun sepanjang tempoh talk itu hampir semuanya mengenai lukisan, namun perihal sajak dan kembaranya turut disentuh. Kalau kita baca blog Catatan  Latiff (aku belum baca bukunya, mana nak dapat?)  ia menyatakan betapa dia mencintai penulisan. Agaknya bilakah kita akan dapat kembali membaca sajak2nya yang terbaru?

Semalam aku telah menukar nama blog ini daripada CeritaLAH kepada kabus senja. Penukaran namanya telah aku fikirkan agak lama juga. Aku harus akui kolum Ceritalah oleh Karim Raslan di Sinar Harian suatu ketika dulu amat aku gemari sampaikan nama blog aku pun begitu, cuma akhiran lah itu dihurufbesarkan, sempena nama aku sendiri. Selain daripada itu aku telah memuatnaik gambar novel yang aku baca sekarang; Kalbu (Kokoro)  - Nastuke Sosemi, terjemahan Thaiyibah Sulaiman ke facebook dengan kapsyen;  Hari ini saya meminjam Kalbu dari perpustakaan. Sebelum ini saya cuma membacanya sedikit demi sedikit tiap kali saya ke sana. Sejak beberapa minggu lepas saya, saya membaca karya2 Jepun tulisan Kurami, Yoru Sumino, Masuji Ibuse dan Yukio Mishima.

Antara penyebab aku meminjam novel ini tentulah selepas menonton adaptasi versi animasinya di web. Anda boleh cari siri Aoi Bungaku, yang turut ada siri adaptasi karya2 Akutagawa, Osamu Dazai dan bbrp penulis jepun lain lagi. Kalbu adalah sebuah novel yang layan dibaca. Bergerak perlahan tetapi terasa segar kerana air ceritanya jernih dan percikan ayatnya menyejukkan mata, seperti kedinginan pagi, merembas ke wajah.

Pagi tadi seperti biasa aku berjalan kaki sekitar kampung. Menyumbat kedua telinga dengan fon dan lagu2 bergema ke gegendang, aku menyeret kaki, perlahan, dengan kedua belah tangan kuseluk ke dalam saku. Matahari sedang naik ketika itu. Aku dongak. Pada kabel letrik seekor tupai sedang meniti. Ekornya kembang dan dari bawah aku lihat bawah ekor membawa ke perutnya kemerahan. Pandanganku terpaku padanya, berjalan tanpa melihat lantai bumi dan sampai berhampiran pokok, tupai itu terhenti, berpaling melihatku sebelum melompat ke pokok tersebut lalu mengilang, meninggalkan ranting dan dedaunan bergoyang.

Pulang dari jalan kaki, aku berehat sebentar, kemudian menggoreng nasi. Baju-baju semalam aku rendam di dalam baldi bersama sabun serbuk. Sejak akhir2 ini aku lebih gemar membasuh baju dengan tangan sendiri. Mungkin sebab cuaca terlalu panas jadi ia cepat kering dan tak perlukan mesin basuh pun untuk mencuci pakaian- satu langkah penjimatan, walaupun kecil, menurutku.

Selepas mandi dan menyidai pakaian, aku sambung baca novel dan beberapa cerpen dalam majalah TC dan DS. Oh ya, bulan depan cerpen aku Gunung Tapus Dalam Catatan Orientalis yang Tidak Terkenal - cerpen kedua yang ditulis tahun ini dan disiarkan (yang lain2 ditulis tahun lepas) - akan terbit dalam majalah Tunas Cipta. Dan sajak Diam-diam terbt dalam majalah Dewan Tamadun Islam, yang istimewanya dalam tulisan Jawi.

Merenung semula cerpen2 yang telah tersiar, aku rasa masih banyak kelemahan yang boleh diperbaiki. Begitu juga sajak yang masih bergelut dengan jiwa ini. Hari ini aku makan agak banyak. Nasi goreng, nasi ayam, kuih, nasi putih berlauk. Pada waktu petang kebanyakan ahli keluarga naik ke bukit yang ada tanah nenek, telah disodokterang untuk projek perumahan makcik aku. Hari terlalu panas walaupun dah petang jadi aku tidak ikut dan cuma duduk di depan kipas, di rumah sambil membaca. Adik aku sorang lagi lena di dalam bilik nenek yang ada penyaman udara. Sebenarnya aku teringin juga memasang penyaman udara di bilikku tetapi... bila difikir semula, ia bukanlah keperluan mendesak. Dan sudah tentu juga duit tidak mencukupi.

Comments