Skip to main content

Sehariku dan kemuliaan pagi

Kita secara umumnya menerima pagi sebagai permulaan hari. Sebab itu sarapan dikata sebagai kewajiban yang jangan ditinggal kerana setelah terlena lama kita perlukan kekuatan untuk memulakan gerak tubuh dan menyeret langkah menghadapi detik-detik kemudiannya. Dalam novel Kasino karya Saifullizan Tahir yang sangat teliti itu, ia menggambarkan bersiap ke tempat kerja sebagai satu upacara sakral yang dia nikmati. Antara perlakuan itu termasuklah meneguk air masak, senaman ringan, bercukur, mandi, menyabun dan syampu, menyarung pakaian dan sarapan. Gambarannya sangat teliti dan buat kita ikut sama tergelincir ke dalam setiap aksinya dan pada akhir mengakui betapa seronok untuk bangkit sewaktu pagi.

Sejak kecil saya diberitahu oleh makcik2 saya cahaya matahari pagi mengandungi vitamin yang baik untuk kulit. Ingatan tentang itu telah tertanam kukuh di dalam kepala walaupun mungkin fakta mengenainya adalah sebaliknya, dan kalaupun saya menjumpai fakta tersebut saya mungkin sukar untuk melengserkannya dari kepala kerana ia telah dibina dalam kepercayaan sejak dari kecil. Sesuatu kepercayaan yang tumbuh seiring dengan kita, membesar bersamanya, bukanlah mudah untuk dibuang begitu saja. Ia perlu mempunyai sebab dan akibat. Pagi ini setelah hampir seminggu tidak menjemurkan wajah ke matahari, saya melakukannya. Menopang sebelah tangan ke tiang rumah, saya menghadap cerah matahari di depan yang terapung atas sedikit dari bukit-bukit hutan simpan. Saya hirup nafas dan hembus perlahan. Saya dongak dan buat senaman mulut ikan. Saya pejam mata dan depang tangan. Emak dan nenek sudah di laman rumah. Seperti saya, mereka berjalan-jalan, mengutip sampah dan memeriksa – entah apa.

Saya menukar pakaian dan mula berjalan kaki dari rumah saya, tembus ke rumah makcik dan tembus lagi ke rumah wan ngah milah. Jarak ini smeua ada dalam 10 meter saja tapi rumah ngah milah terletak paling dekat dengan hutan simpan. Dulu, malah sekarang pun,  kalau ada mana-mana pemburu yang hendak ke hutan akan melalui rumahnya dahulu, menyapa dan bertanya. Dulu juga di lereng bukit-kaki hutan rumahnya itu pucuk-pucuk keladan tumbuh melebat dan pabila tiba musimnya kami akan mengutipnya. Di depan rumah ngah milah ada kolam ikan yang agak besar- saiz separuh atau 6/10 padang bolasepak. Kini ia sudah dikeringkan dan laluan di seklilingnya sehingga ke pintu pagar masuk membentuk semacam ladam kuda. Saya mengikuti jalan itu berulang-alik. Sesakli berjalan mengunbdur, dan ini, ada satu fakta saya ketemukan di artikel berkenaan jalan belakang – jika kita berjalan mengundur seratus langkah ke belakang dalam satu hari kita dapat mengurangkan kebarangkjalian membongkok di hari tua pada kadar satu sentimeter.

Dengan berjalan mengundur saya dapat melihat benjaran yang dilitupi pokok serta matari di celahnya, memancar cahaya. Dari kedudukan saya itu saya dapat lihat tanah nenek saya yang terletak di atas bukit sana. Pernah saya dan keluarga naik ke sana dan ada ambil satu gambar adik dengan membelakangi cahaya matahari, mendepangkan tangan. Cahaya yang merempuh tubuh adik saya itu menghasilkan semacam siluet. Saya mengatakan, gambar saya ambil itu, seperti Jesus Cuma bezanya, Jesus tidak bersiluat, ia tetap terang kerana bukan disuluh cahaya sebaliknya dia bercahaya dengan sendirinya.
Cukup beberapa pusingan saya akan mula keluar dari kawasan rumah ngah milah dan terus menyrusuri jalanraya kampung sehingga beberapa ratus meter, melintas jalan dan naik ke satu bukit. Sebelum sampai ke bukit saya melalui jalan tanah merah yang mana turut ada sungai merentanginya. Kalau musim hujan air melimpah naik ke tebing dan kalau ketika panas, seperti sekarang, ia akan mengalir lesu. Melepasi sungai itu akan ada semacam pintu masuk, galang besi melintang dan sebuah rumah pekerja bangladesh. Sebenarnya ia adalah kawasan ladang getah kompeni. Dan ada anjing yang berjaga cuma, kalau datang awal pagi anjing2 yang comel itu tidak ada kerana mereka keluar mencari makanan. Tidakkah bodoh dan kejam untuk pemilik ladang itu yang tau meletak anjing penjaga menjaga laluan masuk tapi tak sediakan makanan untuk mereka? Bagus juga anjing2 itu pandai mencari sendiri dan beri peluang saya melalui jalan itu dengan tenang. Tidak dapat tidak tindakan tuan ladang itu mesti saya kecam. Sebelum ini salah seekor anjing mereka, saya temui nyawa2 ikan di tengah jalan raya. Mujurlah dia belum sempat dilanyak. Saya syak ia dilanggar lori. Ketika saya dan adik memangkunya dan bawa ke tepi ia masih bernyawa, tercungap-cungap. Matanya berkaca-kaca.  Saya hampir menangis melihtakan keadaan anjing itu. Kami cuma meletakkannya ke dekat laluan ladang berhampiran rumah pekerja bangladesh. Ya mujur mereka menemukannya. Saya tak pasti anjing itu masih hidup atau tidak.
Puncak bukit amat clear sebab disodok teres. Memang ia mengecewakan untuk melihat betapa pokok2 telah tumbang, ranap, digomol serupa itu tapi apa yang marhaen boleh buat? Dari bukit itu juga saya dapat melihat suasana kampung dengan lebih jelas dan teliti, keindahan pagi dan seberang sana, yang masih hijau sehijaunya, dilitupi kabus. Say perhati dengan jelas seperti mata helang – atau tidak.

Comments