Skip to main content

Encik Dem Belum Murtad




Semasa saya kecil dulu, saya sering membayangkan tuhan itu seperti nenek saya yang memakai serkup (anak tudung), berbaju kurung lusuh dan Allah itu seperti atuk saya yang memakai songkok lipat (saya selalu berasa lucu bila ingat tentang songkok lipat versi ini, ia songkok lipat yang saiznya pendek, tidak panjang seperti dipakai orang Indonesia atau Musa Aman. Ada satu watak dalam filem Do Re Mi, ahli mesyuarat tingkap yang kantoi main dam di kedai makan dengan isterinya dan dihambat pulang, isterinya menjerit 'jangan lupa lepat buruk ni!' sambil menempas songkok lipat itu ke tubuh lakinya. Lepat buruk. Haha) lusuh dan berkemeja. Dua imej ini saling bersebelahan di atas langit. Saya tidak ingat mereka tersenyum atau sengih. Yang pasti, hal ini berlaku pasal yang rapat dan menjaga saya adalah atok dan nenek, lebih dari mak dan abah saya. Semakin saya besar tahulah saya bukan itu gambarannya untuk tuhan atau Allah.

Bekas PM Indonesia, Muhammad Hatta dalam tulisan pengantar buku Pengenalan Ilmu Yunani (aku baca versi Indo tapi DBP pernah terjemah ke BM dahulu), dia menyebut, lebih kurang, 'kebebasan berfikir adalah kebebasan untuk berfikir menjangkau segenap hal, merentasi dogma atau adat dan ia adalah infiniti'. Saya mula mengambil serius penyataan itu lebih kurang 10 tahun sudah dan menimbulkan konflik yang mencengkam jiwa, dengan agak parah. Ini, saya fikir, satu hal paradoks kerana saya dibesarkan dalam keluarga konservatif-agama, bersekolah, ngaji Kuran di tahfiz dan terpesona dengan ajaran Tasauf Ustaz Ramli. Tapi, memang kewujudan manusia itu sendiri satu persoalan. Kita mungkin sudah dibentangkan dengan set jawapan dari pendahulu kita tapi kita tak akan puas. Oh maaf, puas bukanlah satu gambaran yang tepat. Seiring dengan waktu dan kemajuan, set jawapan itu sentiasa akan kelihatan lesu bagi insan berfikir. Lalu menyoal kewujudan, penciptaan dan kematian selalunya adalah kewajaran terpuji bagi seorang manusia lebih lagi jika dia sudah dilingkari dengan suatu2 pengetahuan. Namun, apakah dalam satu kehidupan itu, seseorang akan berterusan menyoal sepanjang hayat?

Saya sudah termelalut. Tajuk entri sebut Encik Dem. Sebenarnya baru-baru ini sejurus PH memenangi PRU saya berkesempatan membelek surat khabar. Dalam ruangan berita setempat saya terlihat satu gambar, ada pemimpin PH yang meraikan kemenangan dalam PRU dan di sebelahnya berdiri seorang lelaki, dengan kumis yang saya kenal, berbaju kemeja putih seperti biasa, seluar slek hitam dan berkasut kulit. Dia menepuk tangan dan mengukir senyum, senyuman yang saya kenalnya sejak kecil dan saya fikir pada masa mendatang, saya tak lupakannya dengan mudah. Lelaki itu ialah salah seorang daripada ratusan penduduk kampung kami yang kecil, Encik Dem. Cuma dalam gambar itu dia memakai baju dengan sulaman bendera PKR berhampiran poket dadanya.

Sejak kecil saya tahu Encik Dem bukan penyokong mana-mana parti politik. Tak pernah nampak bendera mana2 parti bergantungan dekat rumahnya. Tapi Arwah ayahnya Mat Natar saya tahu penyokong kuat BN dan kerap memakai topi sudu cap BN. Dia suka soyupkan sudunya ke atas dan saya pernah nampak arwah isterinya marah kerana berkelakuan begitu.

Encik Dem bekerja dengan agensi kerajaan. Dia seorang pegawai dan kehidupannya boleh dikira senang. Isterinya ada 3 orang dan anak2nya pun ramai. Dia dan Isteri pertamanya tinggal di kampung kami, berdekatan dengan maahad tahfiz dan dia bukan setakat bekerja,balik kerja dia akan menggembur batas, membelek punjung, mencari kerbau2nya yang merayau ke hutan. Pendek kata dia seorang yang workaholic dan berbudi pada tanah. Tidak pelik dia seorang yang senang.

Anak2 lelakinya nakal belaka. Semua orang tahu. Tapi sikap Encik Dem dan juga kebanyakan penghuni kampung kami, bukan jenis suka ambil tahu hal keluarga lain. Suasanya tidak seperti digambarkan dengan suasana penduduk kampung dalam tv yang mana ada pelepak di warung (kg kami tiada warung) atau sekelompok makcik berlonggok untuk mengumpat. Boleh saya katakan kami ada sedikit persamaan dengan gaya hidup di... kota?

Tapi anak2 Encik Dem nakal. Mereka sesekali merempit dan bermain mercun. Encik Dem tinggal berhampiran maahad tahfiz (yang diasas/bina oleh sdra mara saya, malah saya pernah belajar di situ) di mana setiap hari khamis malam jumaat geng tabligh akan datang berkumpul. Lada sebelah malam diadakan sesi bayan dan selepas isya mereka makan sama2 di dalam talam. Petang sebelum maghrib, mereka bersama sebahagian pelajar tahfiz akan keliling kampung, singgah setiap rumah penduduk, memberi sedikit tazkirah (yang saya rasa gaya penyampaian dan ayatnya tak berubah hingga kini) lalu mengajak ke surau tahfiz. Kerapkali ajakan itu seperti paksaan yang lembut.
Encik Dem punya anak-anak nakal dan dia juga seorang panas baran. Dulu ada seorang pekerja tahfiz bernama Hazid, sekeluarga tinggal di pondok buruk tak jauh dari rumah Encik Dem. Dia ada seorang isteri yang menghidap sakit jantung dan anak2 kecil. Anak2 Encik Dem nakal betul. Selain mengganggu kesunyian malam dengan bunyi motorempit mereka, mercun selalu dibakar. Encik Hamid yang tak tahan pernah suatu malam sound anak2 Encik Dem. Malam itu juga Encik Dem pergi ke rumah Hazid, memanggilnya, menjerkahnya dan menyuga mukanya ke tanah.

Encik Dem belum murtad seperti tajuk entri ini. Saya percaya itu. Satu hari, saya, arwah adik dan kawan tertinggal bas untuk ke masjid bagi solat jumaat. Pondok bas dekat tahfiz-rumah Encik Dem. Kereta Encik Dem yang baru lalu berhenti dan tanya kami nak kemana. Selepas tahu kami tertinggal bas Encik Dem tawar hantar kami ke masjid walaupun dia patut balik ke rumah. Keretanya waktu itu Nissan warna putih. Saya tahu Encik Dem tak pernah walau sekali pun pergi masjid walau soalt jumaat. Semua orang kampung tahu cuma kami tak pernah umpatkannya.

Di dalam kereta encik Dem kata "Bagus rajin kecik2 nak ke masjid.  Pakcik ni tak payahla. Kalau nak ikutkan pakcik ni dah kira bukan Islam dah." Dia sengih pandang kami yang nyata terkejut. Dia melanjutkan "Pakcik tak pernah gi smayang jumaat. Semayang pun tidak. Padahal rumah pakcik dekat je dengan tahfiz. Kamu tau kenapa?"
Kami menggeleng. "Sebab apa kamu rasa walaupun pakcik dekat dengan tahfiz tapi ajakan mereka tak beri kesan? Sebab deme salah cara. Cara mengajak tak menarik, tak berkesan." Kami cuma diam. Saya masih sekolah rendah dan tak tau nak kata apa.

Sekarang, baru2 ini apabila terlihat gambar Encik Dem di akhbar dan kebetulan raya baru ni saya beli songkok lipat untuk beraya, memori ini melonjak-lonjak untuk dituliskan. Encik Dem masih sihat, ada di kampung saya lagi, masih bekerja keras dan kalau dia tersengih, ia sengihan yang sama ketika dia mengucapkan ayatnya yang saya tulis di atas.

Comments

  1. suka betul sy baca tulisan kamu. senang faham. dan tersusun

    ReplyDelete

Post a Comment