Skip to main content

Kritik Buku ITBM: Kumpulan cerpen Song of September



Tajuk : Song of September
Penulis: Malim Ghozali PK
Penerbit : ITBM
Tahun : 2017



Kalau kita membaca biodata Malim Ghozali PK yang terdapat di laman web atau majalah, dituliskan beliau menulis dalam hampir semua lapangan kreatif sastera. Baik novel, cerpen, puisi, esei atau kajian sastera. Malah di youtube juga terdapat klip video lagunya yang menarik selain bacaan-bacaan puisi. Tapi disebutkan juga kepakarannya lebih menumpu kepada novel dan cerpen. Pendek kata, prosa moden. Bagi saya jika dibandingkan antara novel dan cerpen, saya percaya Malim Ghozali PK jauh lebih bagus dalam penulisan cerpennya.

Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan, dalam prakata salah sebuah buku kumpulan cerpen Malim Ghozali PK ada menyatakan yang " Malim memiliki kebolehan bercerita yang lincah, menguasai nama-nama flora dan fauna serta pandai menarik pembaca keluar masuk ke dalam kenangan" . Hal ini tepat apabila kita membaca cerpen-cerpennya di dalam kumpulan cerpen Song of September ini kesemua ciri itu bergaul dengan baik dan dipersembah dalam jalinan cerita yang tidak sahaja padat, tetapi segar.

Mengikut blurb pada belakang buku, Song of September menghimpunkan sebanyak 20 buah cerpen sejak tahun 1980-2016. Ada di antaranya memenangi anugerah dan hadiah sastera. Saya tidak mahu mengulas kesemua cerpen dan cukuplah saya mencuit beberapa cerpen yang saya kira masih berbekas di ingatan.

Dalam kesemua cerpen ditampilkan, bagi saya yang paling melekat adalah cerpen bertajuk Usia. Cerpen ini mengisahkan watak utama di dalam kereta api melewati pekan Malim. Di dalam perjalanannya dia menemui seorang remaja perempuan yang dia terasa seperti kenal dan rapat. Watak utama juga mengimbas kembali kenangan lampau mengenai hubungan cinta yang tidak kesampaian dengan kekasihnya. Di akhir cerita rupanya barulah dia tahu remaja perempuan itu merupakan anak bekas kekasihnya itu. Cerpen ini menarik kerana ada unsur metafora yang disusun indah dan alur ceritanya bergerak lincah.

Teknik imbas kembali ini terdapat juga pada cerpen Sepanjang Lorong Kenanganku. Di dalam cerpen ini 'aku' pulang ke pekan lamanya dan berjumpa beberapa orang yang membuatkannya teringat pada waktu kecilnya. Ada pelbagai watak ditampilkan yang menunjukkan kemajmukan kaum di Malaysia. Seperti cerpen Usia, cerpen ini juga mempunyai penutup yang hampir sama.

Cerpen Nyet, Song of September dan Di Kantor Suryadi boleh dikatakan cerpen berunsur romantis dengan susunan bahasa mengasyikkan. Tiga cerpen ini latar tempatnya di luar negara dan begitu juga dengan watak sampingannya. Hal ini menunjukkan bahawa Malim Ghozali PK dapat merakam suasana luar negara yang dikunjunginya dengan berkesan.

Cerpen Pelabuhan diperikan pada pengenalan sebagai cerpen yang cuba menjalar ke daerah neurosains. Jalan ceritanya menjurus kepada permainan mental watak utama dan memungkinkan pembaca untuk membaca buat kali kedua untuk memahaminya.

Ada beberapa cerpen yang dianggap sebagai cerpen eksperimental namun saya fikir ia tidak menjadi. Cerpen seperti Kamar X kelihatan tidak cukup kemas dan monolog filosfikal yang terlalu ingin dipaksa kepada pembaca.
Beberapa kelemahan turut dikesan. Malim Ghozali PK kelihatannya gemar menggunakan templat cerita yang hampir sama. Untuk cerpen-cerpen yang saya sebutkan di atas, semacam ada persamaan pada gaya dan bentuknya. Ia sama ada kisah cinta yang tidak keaampaian dan dikisahkan dalam bentuk imbas kembali. Begitu juga dengan beberapa cerpen lain yang menyentuh hal psiakitri, kita dapat lihat gaya ini pada beberapa cerpennya yang selain daripada termuat di dalam novel ini selain di dalam novelnya, Luka Nering.

Akhir sekali, bagi saya saiz buku ini tidak begitu terasa mesra di tapak tangan. Kulitnya juga bagi saya sepatutnya lebih gempak dan berwarna-warni bagi menggambarkan isi cerita. Apapun, secara keseluruhan buku ini dapat membuatkan saya mengulang bacanya.

Comments

  1. belum pernah lagi baca buku ni dan rasanya belum pernah nampak di mana - mana.

    ReplyDelete

Post a Comment