Skip to main content

Budak Sekolah dan Cerita



Saya dapat kol pada hari khamis lepas mintak jadi penceramah bengkel cerpen untuk pelajar sekolah pada hari selasa. Saya tak pasti cikgu ini dapat no saya dari pustaka atau DPMP Jerantut. Saya menyetujuinya. Tapi malang saya tak dapat sediakan bahan dengan lengkap. Khamis itu saya ke KL dan pulang hari jumaat. Hari sabtu saya kerja dan rancang habisnya nak siapkan bahan, dapat siap sikit namun hari ahad saya terpaksa ke KL semula kerana nenek saya sakit. Semalam (isnin) saya balik semula. Letih. Dan saya cuma siapkan bahan asas sahaja.
Selasa. Saya cuba bercakap dengan baik sebelum di tengah sesinya mula sakit tekak dan perlukan air. Akhirnya seorang cikgu memberikan pembesar suara. Saya berjalan mundar mandir mendekati setiap pelajar, menanya nama mereka, dari mana, cerita apa yang mereka suka, sukakah membaca, apakah ada keinginan untuk membaca dan menulis.

Saya cuba mencari persamaan antara saya dan mereka. Mujur, kebanyakannya tidaklah bosan mendengar mungkin  ada sekitar 5 orang yang seperti jemu kelihatannya berada di dalam bengkel itu. Pelajar pula ada dari sekolah rendah bermula darjah lima sehingga menengah, tingkatan 5.

Apapun terlebih dulu saya menekankan mengenai kepentingan membaca. Saya bertanya mereka membaca apa? Best tak cerita tu? Biasa beli buku apa? Dan saya terus menceritakan mengenai trivia membaca, buku shahnon yang ada mencarut, mhs yang tidur dengan kamus, penulis mencuri buku, maria isabelle yang pembaca buku wattpadnya mencecah jutaan dan hikayat seribu satu malam.

Sesekali bersoal jawab. Mereka memberitahu mereka baca juga novel pop, kisah2 teladan, manga dan komik.  Saya menyambung tentang cerpen, elemennya, medium penulisan, ruang penyiaran, honorarium dan hak cipta. Tak lupa juga saya menyentuh salah satu cerpen bertajuk Ne Fumez Pas daripada antologi Cukaria All Star.
Dan kembali sambung mengenai kebaikan membaca.

[Dengan membaca saya sentiasa menemui perpektif baru yang saya yakin gaya penulisan kita turut berubah selepas itu. Kenalan saya pernah mengatakan yang dia perasan  kebanyakan cerpen saya mementingkan deskripsi. Mungkin ia berlaku kerana cengkaman pengaruh novel K oleh Encik S masih kuat dan tiapkali saya ulangbaca buku itu saya akan mempunyai perasaan yang kagun tentang bagaimana dia mendeskripsikan wajah atau pakaian watak novelnya.
Begitu juga dengan John Grisham yang mementingkan deskripsi dan perawakan karakter. Contohnya dalam novel Mountain Gray (atau The Litigators?) ada satu perenggan penuh saja untuk dia menggambarkan satu watak yang lengkap dari sudut pakaian dan tubuh badannya malah suara. Bagi saya ia tidaklah teruk sangat kalau hampir semua benda dia sebut cuma kalaulah setiap watak doa buat macam tu pasti pembaca merasai efek berbeza tehadap pembacaan.
Jadi mengapa deskripsi? Saya menganggap setiap prosa wajar memiliki watak dengan perwatakan yang kukuh, dan deskripsi akan melekat di ingatan pembaca untuk satu tempoh yang lama.]

Tapi bebudak sekarang tak cerita perihal plot, tema atau mesej. Mereka tak kenal sasterawan negara ( ada seorang dua kenal A.Samad Said), Tash Aw, tidak mengenali cerpenis mapan atau membelek buku2 Dbp di pustaka yang kali terakhir dipinjam 10 tahun lepas.

Bak kata bio penulis novel Amsterdam 'seperti orang lain dia tinggal di internet'. Ya generasi ini memilih tinggal di dunia internet, negaranya fb, twtr atau ig. Penghulu mereka barangkali socmed influencer atau artis. Sesekali menulis pengalaman diri di status atau mengarang di wattpad (ada seorang mengangkat tangan mengaku menulis di wattpad 'cerita cinta' ujarnya senyumsegan) Mereka membaca Naruto (ada budak darjah enam berkongsi dengan saya berkenaan protagonis/antagonis dalam beberapa manga), One Punch Man, Hunter X Hunter, juga membaca Bekazon. Di celah2 ini saya menemukan pembaca cerita2 fabel klasik, pembaca FixiLejen, novel2 RAM (seorang pelajar lelaki tingkatan 1 yang kurus dan pendek mengangkat tangan dengan semangat apabila saya tanya siapa suka novel RAM) dan Karangkraf dan... adalah seorang dua yang menyukai novel sastera (mengejutkan, tak seperti sangkaan saya yang fikir mereka tidak sukakan novel Komsas, kerana saya begitu sewaktu sekolah dahulu, ada seorang pelajar yang bawa Pantai Kasih dan kata 'saya suka novel ini').

Saya nampak bahawa mereka boleh menjadi pembaca yang baik dan akhirnya mungkin menjadi seorang penulis. Pada hujungnya saya tanyakan soalan dengan berikan hadiah; majalah Pelita Bahasa dan antologi Cukaria All Star. Seorang pelajar yang duduk depan sekali dan pelajar di belakang sekali (yang tadi mengaku menulis di wattpad) menjawab soalan tersebut.
Kita tidak pernah tahu bagaimana masa depan melayan kita tetapi saya percaya membaca adalah kewajipan abadi.

Comments