Percakapannya berdegar-degar, biasanya begitulah dia selalu, semenjak bertahun dulu saya kenal dia sebagai pekerja kontrak pembersihan di perpustkaan ini. Saya tahu dia antara orang tua yang rajin membaca bukan saja akhbar tetapi buku. Namun saya tak kenal rapatnya.
Tapi sejak awal tahun ini saya tak nampak kelibatnya. Baru tadi saya terdengar dia meminta tolong beberapa remaja untuk mencarikannya buku puisi Usman Awang, disebut secara spesifik "hok ade sajak ke makam bonda tu" tapi remaja perempuan yang mengelek buku Sayang Awak Ketat2 dan Protect My Boss itu memberikannya buku sajak bertajuk Fatamorgana terbitan UiTM. Makcik itu kembali ke rak, membelek dan membelek.
Saya menyampuk dan memberikannya buku tebal Puisi Melayu Baharu 1946-1986. Tapi sajak tu tak ada di dalamnya, ada sajak2 UA yang lain saja. Makcik tu kata dia cuma mau mencari sajak pendek untuk dibacanya saja pada satu majlis wanita. Saya tunjuk sajak saya. "Hmm tak sesuai. Orang biasa tok dengor le sajak gini. Cari hok mudoh" Saya beri buku Zahari Hasib, Lim Swee Tin dan antologi lain. Sambil dia membelek kami berbual. Dan cakapnya berdegar-degar juga sampai beberapa pengunjung lain memandang kami.
Katanya sewaktu muda dia aktif dalam DPMP seangkatan dengan Cikgu Mutalib dan Cik Aziz pejabat orang asli serta beberapa individu lain. "Dulu DPMP bagi kome mesin taip pri.". Banyak sajak dan cerpennya tersiar di majalah dan surat khabar seperti Utusan, Dewan Pelajar, Dewan Sastera dll tapi dia tidak mengumpulkannya. Malah dia tidak memiliki salinan asalnya. Setelah puas membelek dia kata "aok cari de internet je lah sajak tu". Saya pun cari dan salin ke dalam kertas. Dia membaca sajak itu perlahan, satu persatu perkataan.
"Ame aok ade borang DPMP tu baok nanti." Katanya sebelum beredar.
"Nama deme makcik mende ye?" Tanya saya.
"Azizah. Azizah binti Usun," jawabnya sambil membetulkan kacamata.
Saya beredar pergi dan setelah menutup pintu terdengar lagi suaranya membacakan sajak Usman Awang.
***
Seorang penulis menulis "perlu ke ucap tahniah pada karya sampah? Bagi gua tak perlu". Dan selepas itu saya terbaca seorang penulis menulis pula "ucapkanlah tahniah pada rakan penulis jika karyanya tersiar sebagai pemberi semangat".
Kita akan nampak selenga kalau mengharapkan ucapan tahniah daripada orang (terlebih lagi penulis) atas karya kita yang tersiar. Jika karya kita betul-betul bagus dan meninggalkan kesan, automatis post kita itu (biasanya gambar keratan akhbar sajak/cerpen) akan mendapat komen atau like atau share. Dan, jika tak banyaknya kata pujian atau kekaguman maka tentulah ada sesuatu pada karya itu yang kurang. "Tapi sajak saya masuk di majalah/akhbar sekian2!" ataupun rungutan menjengkelkan seperti "saya ini orang kecil cuma" (macam nak pujuk diri) ataupun "saya ini tidak kacak/stailo/glamer dsb". Watefak man.
Wajarlah melihat ke dalam karya dan diri sebetul-betulnya. Bandingkan yang kamu dengan yang baik2 itu. Dan, janganlah bandingkannya dengan (jika kamu pemuisi yang kerap muncul karyanya di akhbar/majalah) faizibrahim, contohnya, betapa mereka itu mendapat lebih perhatian. No.
Tapi, memang sukar untuk menemui puisi yang baik, walau di akhbar/majalah. Kalau ada, ia tak cukup menyengat. Dan, kita terkadang tertanya "macam ini pun boleh masuk?".
Ohh tapi kesedapan itu SUBJEKTIF?? Aiyoo no komenlah kalau macam itu.
Comments
Post a Comment