Skip to main content

Tata-tata Dalam Kreativiti yang Lampawau

Saya ada terbaca komen oleh SM Zakir dalam facebook, yang membalas persoalan bahasa penulisan dalam penulisan kreatif, oleh seorang editor yang antaranya berbunyi 'bahasa (dalam karya) tak boleh rigid sangat nanti karya jadi menjemukan'

Dalam dunia penulisan kreatif banyak sekali perbezaan2 daripada setiap penulis dan penerbit tentang hasil atau kefahaman mereka terhadap apa itu tata-tata yang sepatutnya ditulis. Ada beberapa orang berautoriti?  yang begitu rigid dan kerap menegur mana2 penulis yang ada kesilapan pada ayat posting (posting dalam istilah baru apa? Hantaran? What the heck?). Walhal kekadang tu ada je terselit komen2 dari kawan diorang yang jauh tak guna ejaan penuh atau tanpa kesalahan tatabahasa. Apesal? Media sosial adalah tempat yang menzahirkan fiksyen sebenarnya. Kecuali petikan2 atau pautan2 pada hal2 keilmuan, semuanya adalah catatan fiksyen, khayalan, gosip, rekayasa dan candaan sahaja. Syaikh Alvin Toffler pernah menyebut bahawa kini ialah era letupan dan ledakan maklumat. Menegur fiksyen (kreatif?) atas kesalahan tatabahasa kedengaran mencanggungkan.

Di dalam buku Brazil oleh Ridhwan Saidi ada menyebutkan daripada bahasa lahirlah masyarakat. Begitu juga yang disebut lebih awal oleh Prof Dr Koetjaraningrat. Dan di dalam artikel Bahasa Kota, Dewan Sastera, Zikri Rahman menyebut bahasa tidak memerlukan autoriti untuk diiktiraf atau dibualkan. Bukanlah untuk menidakkan tatabahasa keseluruhannya namun dalam dunia kreatif bukan semua bersandar pada tatabahasa yang rigid. Kekreatifan karya seharusnya menyimpang dan menghiburkan malah menjulingkan. Sebab itu di dalam karya2 kreatif adanya istilah metafora, hiperbola, simile, personafikasi dan sebagainya. Kalau dalam puisi pula ada licencia poetica dan lebih banyak penyimpangan2 daripada kefahaman tatabahasa yang biasa. Jikalau penyimpangan dalam karya kreatif ini pun ditegur kerana tidak menepati tatabahasa yang benar maka karya itu mungkinlah jadi tak sedap, tak kena dan meraban.

Karya kreatif adalah cetusan daripada bahasa yang menjadi budaya hasil bentukan idea dan tindakan. Penulisan kreatif itu sendiri adalah satu penjulingan realiti kerana ia mencipta sesuatu yang lain dalam dimensi yang lain (bukan sebenar) demi hiburan atau keseronokan walaupun dalam dunia penulisan seperti novel telah mengelaskan pula kepasa kesusasteraan dan genre dan di dalam keduanya pula berbagai aliean seperti realisme, absurd, thriller, seram dsb.

Bolehkah dikatakan penegur yang berpegang kepada tradisi (tanpa mau berfikir) sebenarnya adalah cerminan masyarakat negara kita? Barangkali iya saja. Pemimpin terus menipu marhaen. Pelaksana kuasa terus mengikut arahan tanpa mahu menongkah arus.

Idealisme atau dogma atau adat atau apa2 sajalah dalam kehidupan kita, juga terhasil dari tindakan orang dan masyarakat berfikir. Ianya samada untuk memagari budaya atau menindas masyarakat atau mengembangkan masyarakat. Insan berfikir akan menunaskan idea2 baru dan kreativiti. Kebanyakan orang sukar untuk menerima adat/idea baru kerana mereka tidak berfikir sama seperti pendiri idea itu atau mereka terlalau senang dengan idea lama. Ini lambat laun akan berubah kerana alam, isinya termasuklah bahasa; berevolusi.

Karya kreatif tidak wajar mempunyai pembaris ukur yang menghalang tindakan berfikir membatasi dogma2 atau idealisme kebiasaan.  Dan penyimpangan tatabahasa (samada istilah atau penggunaan jenis2 kata), selagi tidak merosakkan gramatisme pada ayat, selagi tidak mengenepikan maksud, adalah wajib.

Comments