Sepasang mata saya adalah skalpel, gunting bandage, klem dan forsep dalam proses pencarian maklumat. Futuris Amerika yang terkenal dengan buku Future Shock dan Third Wave, Syaikh Alvin Toffler telah mempopulerkan terma information overload (ledakan maklumat) yang melimpah-ruah di kala zaman ini, zaman information explosion (letupan maklumat).
Sering kita melihat dalam grup whatsapp atau facebook atau apa-apa media sosial, banyak sekali individu yang mengongsikan maklumat – yang mana maklumat ini seperti mesej berantai atau berita palsu telah diterima oleh kita, dan diulangkongsi tanpa melihat kesahihannya.
Semua orang sudah patut sedar dengan virus sebegini yang semakin membarahkan. Seperti dalam salah satu cerpen Zainal Rashid yang menggambarkan pembunuhan boleh dilakukan dengan internet sahaja sebegitulah kita patut menjaga kehidupan dengan menajamkan mata untuk membuka minda.
Saya bukan mahu bercakap perihal ini. Tetapi saya mahu pergi lebih jauh, iaitu pengaruh pencarian maklumat dalam membentuk penulisan kreatif. Orang yang menerima maklumat, jika dia bijak sedikit dia akan menyaring maklumat itu atau jika lebih baik menyoal maklumat itu. Hal ini memenuhi prinsip falsafah kerana falsafah adalah menyoal demi kebenaran. Lebih jauh dia akan menyiasat maklumat itu. Dalam zaman letupan maklumat ini saya lebih gemar bersikap seperti information seeker, mencari maklumat demi kesukaan yang sukar diterangkan.
Mungkin bukan segala-galanya berada di hujung jemari tetapi hampir segalanya berada di situ.
Saya gemar melayangkan mata dan jemari ke laman sosial melihat individu-individu asing dan mengkaji isian laman peribadinya sekaligus hal ini seperti saya mengkaji psikologi seseorang. Benar, kita boleh mengkaji seseorang berdasarkan postingnya di laman sosial. Banyak orang berkongsi perihal hidupnya dan kebanyakan laman sosial juga menyediakan kronologi hidup seseorang penggunanya. Di fb ada kronologinya seperti berdasarkan tahun-tahun, di ig ada ig stories dan twitter ada moment. Namun tak perlu pergi sejauh itu untuk membedah seseorang. Cukup sekadar melihat tarikh postingnya, gambarnya dan apa yang disukainya.
Saya suka memberikan satu contoh. Saya mula mengikuti perkembangan hidup seorang peminatsastera-fanboy penulis-vokal di laman sosial, kerana saya merasakan dia seorang yang unik dengan semangat meluap-luapnya itu. Biarlah saya namakan beliau sebagai Heh saja. Heh seorang budak lepasan suatu sekolah berprestij, ini saya dapat ketahui setelah kali pertama saya menyelidik twitternya, tatal sehingga ke bawah dan menemui retweetnya tentang sekolahnya. Heh juga punya fetisy terhadap gadis tertentu, masih remaja yang mendengar lagu-lagu pop terkini (berdasarkan likesnya) dan dia kerap meretweet, membalas tweet serta menkuot tweet penulis-penulis idolanya. Saya pergi dari akaun twitternya, kepada fbnya. Saya selidik dari gambar pertama dia muatnaik dan saya temui salah satu gambar swafotonya – ada satu komen dari kawannya yang mengatakan ‘gigi berterabur!’. Saya juga melihat gambar-gambar yang dia likes, siapa yang yang likes gambarnya dan saya buka profail orang yang likes gambarnya pula, melihat kronologi orang tersebut pula.
Kita dapat melihat pattern-pattern tertentu pada mereka, mungkin ada persamaan sikap atau tidak boleh ditentukan bersadarkan isian status mereka. Dan saya membuat perbandingan antara mereka : pada umur yang sama, sekolah yang sama mengapakah mereka mempunya minat jauh beza? Sebagai contoh Heh sangat suka pada penulis bernama Rahman tetapi pada salah satu balasan komen, saya terbaca rakannya itu tidak faham langsung buku oleh Rahman itu. Pencarian ini menjalarkan cuitan kreatif di kepala saya untuk menulis tentang semangat seorang fanboy terhadapa penulis idolanya lalu terhasillah cerpen Bertemu Seniman di Hotel Bajet yang tersiar di eksentrika.com.
Saya suka mengkaji orang dan barangkali kerana itu saya suka membaca biografi. Kebanyakan buku biografi saya mampu habiskan dalam masa sehari. Ada perbezaan tentunya antara sebuah biografi fizikal berbanding akaun laman sosial. Tetapi akaun laman sosial lebih jujur walaupun mungkin tidak sepenuhnya. Seperti kata pepatah Jepun ‘setiap manusia memakai tiga lapis topeng. Topeng pertama untuk masyarakat, topeng kedua untuk kenalan-keluarganya dan topeng ketiga untuk dirinya sendiri’. Ya, tidak semua yang dipaparkan di laman sosial itu adalah dirinya sendiri.
Berbalik kepada Heh tadi, saya akhirnya dapat berjumpa dengannya secara berdepan di sebuah acara literari di Kuala Lumpur. Orangnya jauh berbeza dengan apa yang dia peragakan melalui tulisan-tulisan vokal-lantangnya (atau kadang-kadang cabul). Dia bertubuh kurus, tinggi lebih kurang saya (saya ramalkan, berdasarkan gambarnya di fb yang dia lebih tinggi daripada saya), perawakannya lemah-lembut dan suaranya halus mulus.
Begitulah, terkadang tulisan dan gambar menipu kita. Tulisan dan gambar adalah topeng, adalah fiksyen juga. Atau mungkin, gunting, skalpel dan foseps di mata saya sudah berkarat dan tumpul. Saya perlu menanggalkannya dan mengasahnya dengan batu asah kebenaran.
Comments
Post a Comment