Skip to main content

Ulasan buku Rumah Kupu-kupu

Karya terbaru SM Zakir ini diiklankan sebagai novel sepatutnya mula dijual di PBAKL tahun ini. Tapi kerana PKP, penerbi Nusa Centre membuat jualan promosi kombo di Shopee yang berbaloi. Saya habis baca buku ini dalam sekali duduk, sambil berbaring di dalam bilik berpenyaman udara dalam mengisi waktu Ramadan tempoh PKP ini.

SM Zakir menulis dalam semua bentuk penulisan; novel, cerpen, esei, puisi, ulasan dan kritikan filem, budaya dll. Tetapi saya paling gemar cerpen-cerpennya berbanding bentuk penulisannya yang lain. Ada beberapa cerpennya yang melekat di kepala seperti Kraken, Cendeng Biawak, Gerimis di Jakarta dan Belati di Pasir. Malah saya lebih suka karya-karya mutakhirnya yang lebih menyerlahkan imaginasi dan fantasinya berbanding cerpen-cerpen lamanya yang banyak mengangkat idea/budayanya. Sebab itu bagi saya kumpulan cerpen terbaiknya adalah Ular Di Tilamku yang terbit tahun sudah. Kumpulan cerpen ini mampu berkitar di ruang terhad kerana imaginasinya yang menyeronokkan.

Walaupun Rumah Kupu-kupu dikatakan sebuah novel tetapi ia masih dalam kerangka cerita pendek. Beberapa babnya cuma dinomborkan untuk muka surat berjumlah 176 halaman. Dengan latar tempat keseluruhan cerita adalah kehidupan urban +  apartmen yang menjadi pengikat cerita, imaginasi muncul untuk meyakinkan pembaca bahawa apa yang kita baca memang benar-benar dirasakan seperti rumah kupu-kupu atau kepompong. Tajuk buku ini sendiri kalau tidak silap saya adalah tajuk sebuah cerpen yang terbit dalam majalah Dewan Sastera beberapa tahun lalu dan saya menyukai cerpen tersebut. 

Di dalam buku ini cerpen itu diletakkan pada awal cerita, seperti pengenalan suatu kehidupan apartmen kota. Penduduk saling tidak mengenali antara satu sama lain walau kerap berselisih di kawasan parkir atau ketika menaiki lif. Kupu-kupu yang terbang bebas selepas keluar dari apatmen memberi metafora bahawa kehidupan di dalam rumah kecil adalah bagai kempompong, kecil, sempit dan setelah keluarlah baru bebas berterbangan. Saya suka simbolik sebegini.

Kehidupan di kota sebagai penulis sastera sepenuh masa menuntut kejituan sikap yang kental. Dalam cerita kedua, Mustafa Ilham di akhir cerita berubah menjadi akar pokok apabila mengurung diri di dalam bilik menulis berhari-hari setelah merajuk dengan isterinya yang tersilap cakap. Cerita ini walaupun mengingatkan saya kepada beberapa cerpen luar negara tetapi ia bukanlah pengakhiran mengejutkan. Yang menjadikannya menarik adalah penyebab ia bertukar begitu, rajuknya. Mungkin, sasterawan sepenuh masa itu memang sensitif orangnya.

Selain sensitif, cerita seterusnya membawa kita ke pemerihalan sikap individualistik, suatu hal yang bukan asing lagi dengan kita. Ada seorang mamat yang setiap hari kerjanya cuma duduk di depan PC, dan akhirnya menghilang begitu saja - ke manakah ia pergi? Hilang dalam zon sendiri atau disedut ke dunia realiti barunya iaitu dunia internet? Atau benar-benar menjadi asap dan hangit begitu saja seperti pengakhiran cerita?

 Dunia moden juga tidak terpisah jauh dengan dongeng dulukala. Kisah seorang penghuni yang bertemu duyung di kolam mandi atau lif yang menembusi bawah tanah dan menjulang ke tingkat awan, saya fikir menarik juga. Walaupun premis cerita kelihatan mudah, tetapi ia memberi kepuasan dari segi imaginasi saya. Lagipun, ceritanya dialirkan dengan begitu dramatik sekali. Unsur ini mendatangkan rasa suspen dan keinginan untuk kita segera mengetahui penamatnya.

Sungguhpun keseluruan novel ini memuaskan saya kira kelemahan tetap ada. Tidak semua buku itu sempurna, kan? Dari sudut ini saya mendapati dalam satu- satu cerita terdapat banyak pengulangan kenyataan, seperti info dump saja. Dan demi meyakinkan pembaca akan kecantikan suatu2 watak itu, penulis berulangkali mengatakan dia cantik, cantik, dan cantik. Atau ada beberapa bahagian yang terlalu meleret dan boleh dipadatkan lagi. Selain itu, sedikit typo dan kesilapan di sana sini, tidaklah mengganggu pembacaan.

Rumah Kupu-kupu masih sebuah buku yang baik, walau tidak sebaik Ular di Tilamku.

Comments