Skip to main content

Posts

Showing posts from January, 2021

Sekat

Saya mahu balik rumah dan selesaikan beberapa urusan, melunaskan kerinduan. Adakah kucing saya masih mengenali saya nanti? Bagaimana dengan kemangi di tepi rumah yang saya tanam, akan dapatkah ia membezakan siraman air saya dan orang lain?  Saya tidak pasti berapa lama saya boleh berada di sini. Ibu kota bukanlah suatu yang asing dan pada suatu ketika hampir 6 tahun menjadi tempat menetap sebelum saya merasa bosan dan perlu balik rumah. Entah berapa lama kali ini, adakah kebosanan akan menyapa juga nanti? Saya berharap saya tidak berakhir seperti puisi Heng Zihang.

Curi

Jam 0221. Salakan anjing sayup di luar, cericit serangga dan sesekali deruman kereta, juga perbualan di sebelah yang menggaru lena. Panjang.  Cuba tekup telinga dengan fon. Cuba pejam. Entah berapa banyak difendramin diteguk. Masih menyala mata. Seorang teman apdet status sunyi itu mahal. Saya balas sungguh. Dua hari lepas, tengah malam tiba-tiba lidah kebas, tangan geletar, badan kejung. Terus bangun, tarik nafas dan goncang badan. Entah sindrom apa. Perbualan di sebelah dalam suasana senyap selalu mencipta debar, gelisah dan penasaran. Di kampung, kalau dalam bilik bersunyian kala suasana begitu sepikaku dan tiba-tiba ada suara menghidupkam huruf-huruf, dada saya akan tiba-tiba berdebar. Jiwa gemuruh. Duduk tak tenang, baring tak senang. Saya akan meluru keluar, jalan kaki dan hirup udara. Tapi di sini? Hanya puntung rokok direnyukkan. Tidur itu nikmat dan selalu ia kedekut padaku. Bawah mata kian hari menghitam. Membencikan di cermin. Sesekali vertigo menyapa, pusing-nya

Diam

Baru beberapa minggu lepas Marjan duduk di sebelah aku, sesekali menyampuk sembang kami; Hafiz, Sinaga dan Karim, perihal sastera dan penulisan. Dia datang dengan Grab bersama tongkatnya. Sebelum itu beberap kali nampak dia melepak dengan busker Meo dan kadang, di sekitar Pasar Seni.  Aku selalu terbayang, kalau umur panjang, hidup aku akan berakhir macam ni. Andai di kampung, aku inginkan kematian begini juga, seorang, dan mati di sisi pokok, lereng bukit atau dekat paya. Aku tak fikir itu menyedihkan tapi untuk melihat orang lain mati sedemikian, ia menghibakan. 

Perlu

Saya tak memerlukan lebih daripada apa yang orang kata saya perlukan lebih daripada yang saya ada sekarang. Kecukupan hadir bila-bila masa. Kalau angin datang sebanyak itu, saya jumlahkannya ke dalam poket kepuasan sejumlah yang datang sesajak itu. Kalau cahaya lampu pudar, saya biarkan. Kalau mentol terbakar, saya gantikan. Mengejar tanpa tujuan menyesatkan. Mengejar kerana desakan mengajarkan ketetapan tanpa peduli hasilnya. Kecukupan berada di antaranya dan kepuasan menjelma guru — mengingatkan. Namun aku bukan zuhud. Itu cuma seorang lagi guru yang aku larikan diri ketika pertama kali terlihat kelibatnya dari jauh, mengepit rotan panjang. Aku hanya mahu berasa sentiasa cukup dan sesekali merasa tidak.

Budak Api

Pemetik api ini sengaja kubiarkan lama menyala, melacurkan kulitku. Aku berpura-pura tidak merasakan apa-apa walaupun merasakan bahangnya. Kesakitan melolong dalam hati. Aku sengaja biarkan. Adakah api akan sejuk atau terpadam sendiri? Sengaja aku biarkan jari menahan roda pemetik api walau jelas lenguh berkuman memvirusinya. Kemudian aku sengaja berpura-pura tidak sengaja meniupkan api itu. Sekarang kulitku melecur dan aku tak menyesal. Aku tidak berpura-pura lagi untuk mengakui bahawa api sememangnya panas membara.

Ragu seperti ragu-ragu

sepuluh minit di ja'ranah bahu, dada dan lehermu dilitupi duri-duri, melumatkan daging tubuhku saat pertama kali kudakapmu. kubiarkan juga, hancur segala. merah dan basah pepasir. kau masih tersenyum sedang aku tinggal putih tulang semata, hingga kaktus dan unta hitam sehitamnya, hinggakan debu asyik menari. aku rebah tak bersuara dan kau melangkah pergi, menanggalkan duri-duri yang pekat merah, merangkai ketewasanku. nafasku, hanya nafasku mengejarmu. arab saudi, disember 2019.                           *** Keraguan asas keimanan kata Dekah. Saya kerap meragui apa yang orang sekeliling saya katakan. Penerimaannya kadang sekadar mengeya, kadang sinis, kadang dengan kelelahan. Tapi kalau selalu, berulang, ia masuk ke telinga, hati perlahan-lahan beriman kepadanya. Saya menuliskan sajak ini ketika melihat anjing-anjing menyelongkar gumpalan sampah, di suatu RnR dekat Ja’ranah, tidak jauh dari mekah, dalam perjalanan menuju ke Madinah. Saya demam, batuk teruk, berkahak, da