Skip to main content

Kejadian-kejadian dalam cerita Raymond Carver



'Saya dapat ingat apa yang terjadi suatu malam apabila ayah balik lambat dan mendapati emak telah mengunci semua pintu dari dalam. Dia mabuk, dan kami dapat merasakan rumah bergegar saat digoncangkannya pintu. Bila dia dapat membuka tingkap, emak memukul dengan colander (mangkuk tapis) dan jatuhkannya. Kami nampak dia di atas rumput. Beberapa tahun kemudian, saya cuba angkat colander ni - ia berat macam penguli - dan bayangkan apa rasanya kena pukul di kepala dengan benda macam tu.'

—Dari esei My Father's Life, Fires.

Saya mula membaca Carver beberapa tahun lalu selepas menonton Birdman di pawagam GSC Midvalley. Lakonan Michael Keaton yang meyakinkan selain jalan ceritanya, membuatkan saya tertanya-tanya siapa dia Carver ni? Lalu saya mula menggugel. Banyak cerpennya yang saya sudah baca secara dalam talian. Paling saya suka tentulah Cathedral diikuti Viewfinder, The Bath dan Fat. Sajaknya pula saya baca dua tahun lepas di Subang Parade dalam sebuah antologi Amerika.

Baru-baru ini saya beli Cathedral via Bookdepository. Sebulan lebih juga menunggunya sampai dari UK. Dan minggu lepas saya beli WWTAWWTAL serta Fires di Big Bad Wolf. Setiap buku sudah separuh atau menuju penghujung bacaannya. Ada banyak lagi bukunya yang saya belum miliki dan kalau boleh mahu membaca semuanya.

Kawan saya kata sekali imbas baca Carver ni tak berasa apa-apa. Ia macam sekadar mencatatkan kejadian seharian yang tak signifikan. Mungkin, jika kita tak teliti kita akan berasa seperti itu. Ataupun jika kita tidak merasa pengalaman seperti dalam cerita Carver, kita merasakan ia cerpen yang biasa-biasa saja. Tidak salah pun kalau nak anggap cerpennya sekadar merakam kejadian saja. Sentiasa ada ruang untuk kita mengulang baca pada masa depan dan ketika itu mungkin kira mendapat perspektif yang berbeza pula. 




Kalau dibelek artikel atau esei tentang Carver di internet kita akan temukan tentang alkoholiknya, isteri keduanya Tes Gallagher, editornya Gordon Lish dan kehidupannya. Ada yang menulis semasa perkahwinan pertamanya Carver selain pemabuk, juga bersikap buruk terhadap isteri pertamanya yang sangat baik hati itu. Mereka bercerai dan kemudian Carver bertemu Tes. Cerita-cerita kontroversi Lish turut dicatatkan. Betapa bagaimana dibawah suntingan Lish, gelaran minimalism atau dirty realism itu melekat padanya.

Mengapa Carver digelar master cerpen moden Amerika? Mungkin sebab dia menulis tentang realiti orang biasa dengan penulisan yang luar biasa. Mungkin sebab cerpen-cerpennya simbolik dan beralegori. Entahlah. 

Dalam eseinya On Writing, Carver mengaku dia membaca banyak penulis dan meminati Barthelme, Hemingway, Flannery O Connor dan ramai lagi. Dia juga mementingkan proses tulis semula macam Hemingway. Agaknya ada pengaruh-pengaruh daripada penulis-penulis ini pada tulisannya cuma saya tak perasan.

Kekadang, membaca cerpen Carver seperti memotong stim. Contohnya cerpen Popular Mechanics. Endingnya memang tergantung dan membuat kita tertanya-tanya apa yang akan berlaku pada bayi itu sebenarnya? Ia berakhir pada saat kita mahukan kepastian. 

Dalam cerpen Viewfinder, seorang jurugambar bebas yang kudung datang ke rumah seorang lelaki (narator) yang sudah tiada keluarga dan menawarkan khidmat mengambil gambar rumah lelaki tersebut. Narator membenarkan jurugambar masuk minum kopi dengan berkata dalam hati 'untuk melihat bagaimana dia memegang cawan'. Si jurugambar bercerita dan menunjukkan gambar-gambar yang diambilnya untuk meyakinkan lelaki itu. Di hujung cerita lelaki itu naik ke bumbung dan jurugambar di bawah bersedia mengambil gambar sebelum dibaling dengan batu. Cerita ini menarik walaupun dengan sekali baca ia sukar difahami. Saya menebak ia cerita tentang kehilangan dan kesepian. Dan mengapa dengan tindakannya membaling batu? Sebab dia benci dengan jurugambar itu atau sebagai tindak balas terhadap keseorangannya atau itu cara dia menghilangkan kesunyiannya? 

Cerpen Sacks pula menceritakan perjumpaan seorang anak (Les) dengan ayahnya yang telah bercerai dengan ibunya. Mereka bertemu di bar lapangan terbang dan si ayah menceritakan kisah lalunya. Ia cerita tentang kecurangannya dengan perempuan lain. 'Ayah tak pernah cerita pada siapa-siapa' kata si ayah menyudahkan cerita. Tapi Les tak peduli sangat. Dia cepat-cepat minta diri sebab takut terlepas penerbangan atas urusan kerja membuatkan ayahnya kecewa dan menganggap Les hanya mementingkan kerjanya. Itu adalah perjumpaannya yang terakhir dengan ayahnya malah dia tertinggal bungkusan pemberian ayahnya di bar itu. 'On the way to Chicago i remembered how i'd left his sack of gift on the bar. Just as well. Mary didnt need candy, almond roca or anything else'. Cerpen ini adalah tentang move on. Les sudah memiliki kehidupan sendiri, kerjaya yang sibuk dan sudah tentu merenyahkan. Tidak ada masa baginya memikirkan silam apatah lagi yang bukan bererti baginya lagi.

Cerpen Cathedral bagi saya sangat berurat. Ia agak panjang. Mengisahkan seorang lelaki dan isteri menjemput seorang buta. Pada awalnya si lelaki skeptikal dengan si buta. Tapi dia perlahan-lahan dapat berbual dengan si buta, layan ganja bersama, minum dan akhirnya si buta meminta dia pejam mata dan lukis katedral (sila baca cerpen ini, ada di beberapa laman web). Cerpen ini punya unsur empati yang jelas. Dari situ ada nilai-nilai kemanusiaan.

Ada misteri dalam cerpennya yang membuat pembaca termenung, termangu dan tertanya-tanya. Cerita-ceritanya tentang kehidupan seharian, alkohol, konflik rumah tangga serta cinta. Tetapi dalam masa yang sama ia berkuasa, dan berjenis perasaan terpercik daripadanya. Membaca Carver adalah suatu proses renungan, terhadap ceritanya dan diri kita.

Comments