Skip to main content

Posts

Masih

Terenung-menung siluet-siluet, dingin bercampur suam, bantal kusam dan penekup telinga nan tuli. Tiada kepastian bila akhirnya. Mereka masih kekal diam, kaku. Kemana pergi roh mereka, berkeliaran tak ketemu jalan pulang seperti lazat tidurku yang sukar kutemui kini.

Sekat

Saya mahu balik rumah dan selesaikan beberapa urusan, melunaskan kerinduan. Adakah kucing saya masih mengenali saya nanti? Bagaimana dengan kemangi di tepi rumah yang saya tanam, akan dapatkah ia membezakan siraman air saya dan orang lain?  Saya tidak pasti berapa lama saya boleh berada di sini. Ibu kota bukanlah suatu yang asing dan pada suatu ketika hampir 6 tahun menjadi tempat menetap sebelum saya merasa bosan dan perlu balik rumah. Entah berapa lama kali ini, adakah kebosanan akan menyapa juga nanti? Saya berharap saya tidak berakhir seperti puisi Heng Zihang.

Curi

Jam 0221. Salakan anjing sayup di luar, cericit serangga dan sesekali deruman kereta, juga perbualan di sebelah yang menggaru lena. Panjang.  Cuba tekup telinga dengan fon. Cuba pejam. Entah berapa banyak difendramin diteguk. Masih menyala mata. Seorang teman apdet status sunyi itu mahal. Saya balas sungguh. Dua hari lepas, tengah malam tiba-tiba lidah kebas, tangan geletar, badan kejung. Terus bangun, tarik nafas dan goncang badan. Entah sindrom apa. Perbualan di sebelah dalam suasana senyap selalu mencipta debar, gelisah dan penasaran. Di kampung, kalau dalam bilik bersunyian kala suasana begitu sepikaku dan tiba-tiba ada suara menghidupkam huruf-huruf, dada saya akan tiba-tiba berdebar. Jiwa gemuruh. Duduk tak tenang, baring tak senang. Saya akan meluru keluar, jalan kaki dan hirup udara. Tapi di sini? Hanya puntung rokok direnyukkan. Tidur itu nikmat dan selalu ia kedekut padaku. Bawah mata kian hari menghitam. Membencikan di cermin. Sesekali vertigo menyapa, pusing...

Diam

Baru beberapa minggu lepas Marjan duduk di sebelah aku, sesekali menyampuk sembang kami; Hafiz, Sinaga dan Karim, perihal sastera dan penulisan. Dia datang dengan Grab bersama tongkatnya. Sebelum itu beberap kali nampak dia melepak dengan busker Meo dan kadang, di sekitar Pasar Seni.  Aku selalu terbayang, kalau umur panjang, hidup aku akan berakhir macam ni. Andai di kampung, aku inginkan kematian begini juga, seorang, dan mati di sisi pokok, lereng bukit atau dekat paya. Aku tak fikir itu menyedihkan tapi untuk melihat orang lain mati sedemikian, ia menghibakan. 

Perlu

Saya tak memerlukan lebih daripada apa yang orang kata saya perlukan lebih daripada yang saya ada sekarang. Kecukupan hadir bila-bila masa. Kalau angin datang sebanyak itu, saya jumlahkannya ke dalam poket kepuasan sejumlah yang datang sesajak itu. Kalau cahaya lampu pudar, saya biarkan. Kalau mentol terbakar, saya gantikan. Mengejar tanpa tujuan menyesatkan. Mengejar kerana desakan mengajarkan ketetapan tanpa peduli hasilnya. Kecukupan berada di antaranya dan kepuasan menjelma guru — mengingatkan. Namun aku bukan zuhud. Itu cuma seorang lagi guru yang aku larikan diri ketika pertama kali terlihat kelibatnya dari jauh, mengepit rotan panjang. Aku hanya mahu berasa sentiasa cukup dan sesekali merasa tidak.