Skip to main content

Merenung Ke Luar Tingkap

   Saya ada tulis satu sajak mengenai tingkap yang saya fikir mencakupi aspek perghargaan, kenangan, perspektif berbeza dan fungsi tentangnya. Saya siapkannya ketika berada di dalam MRT dari stesen Muzium Negara menuju ke Sg Buloh, beberapa bulan sudah. Waktu itu pagi, hujan gerimis dan tidak ramai di dalam koc. Mrt melepasi stesen Semantan tatkala saya menyudahkan perkataan terakhir pada sajak itu. Tapi, belum saya siarkan di mana-mana.




  Tajuk entri ini sedikit sama dengan lirik awal lagu Apa Khabar oleh Joe dan Sonaone. Cuma lagu itu bukan sebut tingkap tetapi jendela. Serasa saya tak ramai orang menggunakan jendela dalam perbualan seharian. Namun, sebutan jendela kedengaran lebih puitis untuk digunakan dalam penulisan terlebih lagi puisi. Cuba kalau awalan lirik lagu korus itu berbunyi 'merenung keluar tingkap', pasti terasa janggal sebab tak memenuhi harakat dek suku katanya dan kedengaran... tak best. Sudah tentu saya panggil tingkap.
   Rumah saya sekarang pesen lama tingkapnya. Iaitu tingkap bernako dengan tiang jenang merentang dan cermin kaca. Tingkap sebegini jugalah pada rumah apartmen tempat saya tinggal di KL dahulu. Tidak banyak posisi sedap dapat saya gambarkan dengan tingkap ini.  Jikalau ada orang tak dikenali datang memarkir kereta di halaman, saya akan berdiri separuh,menyelak sedikit langsir dan mengintai. Atau seperti sewaktu di apartmen dulu, saya akan kerap merenung ke bawah, menyaksikan lelaki2 mabuk bergaduh mulut, polis menyerbu matpet atau perkelahian yang membuatkan ramai orang berkerumun. Tidak lupa bila melihat ke bawah, dari aras tinggi itu, sampah sarap memenuhi atap tingkat paling bawah. Kadand2 pada waktu malam, angin menderu masuk, saya berdiri sambil merokok,  menancap ke hadapan melihat bangunan The Gardens dan MidValley yang berdada tegap, lingkaran jalan yang sibuk serta kemilau lampu yang memberikan imaginasi bahawa saya berada di kota metropolitan seperti Hong Kong atay New York.
   Tingkap rumah saya dilengkapi dengan langsir yang sentiasa membuatkan kaum hawa seronok mengendalikannya menjelang musim perayaan. Tidak ada apa yang memberahikan saya dengan tingkap jenis ini. Paling2 saya meludah keluar dan ilusi penjara seakan menangkap mata saya.
   Semasa saya kecil dan rumah saya masih rompakrampik, tingkap kami tingkap kayu plywood berengsel. Kenangan yang saya ingat tentang tingkap ini ada dua; satu, ketika hujan lebat, saya akan letakkan kerusi di tepinya dan panjat kemudian duduk di birai. Saya akan memerhati lopak2 yang digenangi air hujan, terkena tempiasnya dan kemudian saya akan mendongak, menyaksikan titis hujan seperti perluru2 sesat askar Nazi. Dua, saya tidak suka disuruh2 berbuat itu ini. Kerap kali tingkap menjadi pintu kecemasan untuk saya melarikan diri jika nama dilaung oleh abah atau makcik2 saya.
   Tingkap gelangsar atau tingkap berengsel dengan cermin memberikan perasaan bahawa saya seorang elit. Ia bagaikan satu objek mewah yang memberi pernyataan bahawa saya berada dalam satu tempat tinggal yang menyediakan tuntutan kehendak saya. Terlebih lagi jika cermin itu gelap dan rumah/pejabat itu berpenyaman udara. Mungkin juga saya terasa seperti seorang lelaki barat - sama seperti ketika saya melahap burger keju amerika, saya berasakan diri saya seperti Leonardo dicaprio.
  Dengan tingkap, sesuatu yang kita lihat di ruang hadapannya barangkali memberi perbezaan. Kita melihat kereta dan manusia melalui ruang kecil itu dan mata kita tertumpu padanya - fokus. Bila suasana di luar memberikan dentang guruh, sinar kilat dan gelap pekat, kita mungkin akan melingas pandangan ke luar tingkap dan berasa selamat kerana dinding yang mengelilingi kita, memberikan perasaan melindungi kita. Tapi, tetap perlukan tingkap untuk menayangkan sekilas perubahan. Kita jenguk sedikit sebelum menarik daun tingkap dan menurunkan langsir, suasana di luar yang menakutkan itu bagaikan berakhir hanya dengan mengatup tingkap. Esok hari kita buka daunnya, dan wajah disambar cahaya pagi, kicau burung atau... serbuan asap, sahutan hon dan ringkik gelangsar rel keretapi.
  Saat di dalam kereta, hujan melebat, kita naikkan tingkap. Wap yang mengabusi tingkap kita coretkan dengan lambang hati atau nama kita atau nama pasangan. Ada suatu ketika kita mengalami peristiwa sedih. Kita hentikan kereta, meletakkan lengan ke birai tingkap kereta, membiarkan tangisan keluar semahunya. Atau ketika kita gembira, keluarkan kepala dari tingkap, membiarkan rambut digerbangkan dan menelan angin yang entah bersih atau nyaman. Atau jika di rumah kita kuak daun tingkap keluar, menyandar pada kerusi empuk, mencicip kopi atau membaca buku sambil sesekali memandang keluar tingkap.
Bagaimana jika tingkap tidak tercipta?
  Terkadang saya merasakan kedua belah mata saya adalah tingkap yang memisahkan visual dunia dan kegelapan. Bila saya melangkah dari kedudukan asal, kaki saya adalah tingkap yang memberi ruang. Memang, tingkap adalah suatu ruang penting untuk dunia ini. Seperti microsoft windows yang menautkan kita dengan dunia2 baharu.

Comments

  1. panjang kisah mengenai tingkap.

    ReplyDelete
  2. Benarrr Cik Miza. Tiap benda atau hidupan, ada sentuhan antara kita dengannya.

    ReplyDelete

Post a Comment