Skip to main content

Menyorot Perkembangan Penulisan Suara Terpinggir


Membaca topik utama dalam majalah Tunas Cipta iaitu Suara-suara Terpinggir dari Perspektif Subaltern, telah mengangkat novel Bahlut sebagai contoh novel. Saya pernah membaca novel ini dua tahun sudah dan ianya karaya yang baik. Kita tahu Faisal Tehrani memang mutakhir ini membawa penulisan yang menekankan kepada golongan tertindas, suara terpinggir dan hak asasi manusia. 

Sebelum itu saya mahu mengulas sedikit mengnai Faisal Tehrani dan melihat perkembangan tentang isu-isu yang ditulis di dalam novelnya.

Saya pernah baca dan dengar yang FT telah ghostwriting novel Musim Dingin Terakhir terbitan CESB yang berkisarkan mengenai homoseksual. Novel itu terbit semula dengan judul AIDS. Saya tak pernah baca novel itu. Di dalam novel Manikam Kalbu, 1515 dan beberapa lagi novelnya yang memenangi sayembara beliau membawa mesej Islam yang jelas. Saya singkap juga sikapnya ketika itu. Boleh lihat video2nya di youtube tentang Pas yang telah lari daripada landasan perjuangan dan dikuasai liberal.

Membawa ke depan sedikit novelnya seperti Ketupat Cinta, Perempuan Nan Bercinta, Bagaimana Anyss Naik Ke Langit dan Sebongkah Batu di Kuala Berang, berbaur syiah dan mengangkat tema hak asasi manusia. Mungkin ini berlaku selaras dengan perubahan sikapnya sendiri. Dari islamik yang konservatif menjadi ke arah yang lebih terbuka. Melalui pembacaannya, kembaranya dan percampurannya dengan berbagai individu dan organisasi, tentu sekali pandangannya banyak berubah. Di sini kita tahu bahawa manusia hatta pengarang pun akan sentiasa mempunyai pandangan baru dan pandangan lama (qaul qadim dan qaul jadid, bak kata kawan saya yang juga ahli Isma). Malah ilmuan juga tentunya.

Saya pernah terbaca artikel dari laman web Asean Literature Festival, kalau tak silap saya, yang memberitakan bahawa isu terkini yang patut diangkat oleh penulis Asean sekarang ialah isu LGBTQ. Hal ini rasanya telah banyak difiksyenkan di luar negara namun di Malaysia rasanya ia belum meluas. Saya akan tulis tentang tiga karya yang saya baca, yang menyentuh perihal LGBTQ. Kerana saya rasa suara LGBTQ dalam arus penulisan kreatif, masih terpinggir.

Jika anda membaca tulisan sulung Regina Ibrahim iaitu novel Perjalanan, anda akan merasakan bahawa toleransi sesama manusia dan kasih sayang itu sangat penting dalam mengekalkan keharmonian. Perjalanan mengisahkan suka duka kehidupan Rozan yang bertukar menjadi trans. Regina menulis dengan lancar, seperti curahan pengalaman yang telah disusun dengan cantik dan membuatkan pembacanya tersa lancar membacanya. Ianya juga tentang keluarga dan perhubungan antara sahabat. Jika anda ingin tahu tentang kesusuhan dan cabaran menjadi trans, Perjalanan sangat saya rekemenkan.

Karya seterusnya pula ialah Selumbar tulisan lulusan sains nuklear iaitu Ikmal Ahmad. Saya bukanlah penggemar realisme sebenarnya tetapi saya membeli novel ini kerana tertarik dengan isu yang diangkat. Selumbar mengisahkan mengenai seorang ustaz muda yang juga sebenarnya seorang gay. Dalamnya diceritakan cabaran-cabarannya bila dia cuba mengembara mengenali diri dan menerima dirinya. Kehilangan kawan, pandangan serong masayarakat dan cinta dunia plu yang berselirat. Isu ini bagi saya agak klise kerana saya kerap membacanya tetapi sekurangnya Ikmal telah berani menulisnya untuk memberi perspektif baru kepada pembaca Malaysia. Turut diselitkan ialah pandangan-pandangan Islamik dari dunia luar terhadap penerimaan gay dalam agama – yang saya rasa tak perlu pun diterapkan dalam novel ini. Apapun pada masa mendatang saya yakin Ikmal akan menulis dengan lebih baik. Cuma saya tidak senang dengan pengakhiran novel ini. Nak tahu? Belilah karya realisme terbitan Rumah Lipur Lara ini.


Novel seterusnya ialah Laknat, karya si biologis genius, Fahmi Mustaffa. Anda akan kagum dengan gaya kepengarangan penulis ini. Gaya bahasanya yang... wow. Berkisahkan tentang seorang pemuda lepasan tahfiz yang masuk ke universiti mengambil kursus teologi, sebilik dengan mangsa rogol abang sendiri yang masih trauma dan perasukan jin. Laknat bukan sahaja menyentuh mengenai homoseksual tetapi juga falsafah, seni, mitos, agama, atheisme, sains dan hal-hal masyarakat. Ianya diadun dengan baik dan memberikan debar cemas pada pembacanya. Anda harus membaca Laknat, dan oh, karya terbarunya (saya belum beli lagi) Amsterdam.

Ada beberapa karya lain lagi saya kira, namun saya menyorot secara ringkas tiga karya ini kerana saya telah membacanya dan pernah berjumpa mereka ini di pesta buku April lalu. Harapan saya, kita bacalah semuanya demi menghasilkan dunia yang lebih makmur dan maju (ada kaitan tak?).


Comments