Skip to main content

Kaki Mimpikan Bumi, Bumi Menggomol Kaki


Tadi pergi kerja jalan kaki dan menitislah peluh dingin setelah kulit dikemam terik sederhana. Memang aku suka jalan kaki kerana ianya seperti aku mengawal diri aku sendiri. Tidak seperti kenderaan yang kita mengawal mesin, benda lain. Aku boleh memilih untuk ke kiri atau ke kanan tanpa perlu memberi perintah (tukar gear brek membelok). Dan, aku boleh melihat kawasan sekeliling tanpa alat bantuan (cermin) selain berpeluh.

Aku lebih suka berjalan kaki di KL kerana banyak benda boleh dilihat. Bukan aku tidak suka kampung namun ada perbezaan yang nyata antara kedua tempat ini. Ianya berkenaan isinya, objeknya, penghuninya dan suasananya. Pernah aku berjalan dari Jalan Bangsar ke Pekeliling. Kadangkala dari Pekeliling ke Masjid Jamek. Kadangkala dari PWTC ke Puduraya, kadangkala dari Sultan Ismail ke Chow Kit.

Aku dapat menemui pelbagai ragam. Contohnya jika kamu bangun seawal jam 6 pagi dan berjalan sekitar Petaling Street, kamu akan menemukan peniaga-peniaga pasar karat yang menjual berjenis-jenis barangan. Aku pernah ditawar sekotak Marlboro yang tinggal 7 batang dalamnya. Aku pernah diminta beli sebekas ubat gigi Kodomo Lion yang tinggal separuh. Ada yang menjual sudu, garfu terpakai. Mereka itu sama ada gelandangan atau matpet atau marhaen kais pagi makan pagi.

Kalau aku menyusuri Kotaraya aku akan berasa seperti pelancong yang melawati Bangladesh/Nepal. Selain kedai-kedai mereka (aku paling ingat Prabhu) mereka juga berniaga sirih di tepi kaki lima. Mereka mengunyah dan meludah kemudian lantai jalan merah. Pernah aku hampir tergelincir selepas memijak air liur berkahak mereka. Sepanjang melalui kaki lima itu juga bau bawang sangat tengik.

Jika anda melewati lorong-lorong sekitar Chow Kit kamu akan menemukan gelandangan. Aku pernah terjumpa gelandangan yang sedang menyedut serbuk heroin. Pernah juga, demi membuat kajian untuk tulis cerpen, aku mengikuti seorang gelandangan yang mengajak aku mandi beramai-ramai, ada pancuran air, di kawasan flat tinggal Persekutuan. Aku ikutnya, jalan kaki dari Jalan Tar menuju ke tempat itu. Rupanya tempat itu cuma kawasan semak di tepi jalan dan pancuran air itu cuma paip yang bocor. Gelandangan itu bersama yang lain-lain mandi bogel. Saya larikan diri kerana tidak sanggup. Kamu juga boleh menemukan suara-suara pelacur yang berdecit, bermekap tebal memanggil-manggil di birai tingkap tingkat atas hotel murah. Penjaga-penjaga yang berkawal di pintu masuk yang sesekali akan mendekati kamu dengan kenyitan mata, decitan mulut atau kuisan pada bahu dan bertanya 'Mlayu ada, Cina ada, India ada, Saba ada. Lu mau mana?' dan jika kamu tidak melayannya dia akan cuba ikut kamu dan memujuk. Kalau di Bukit Bintang kamu pasti terserempak dengan perempuan massage yang mengumpan dengan urutan tetapi apabila sekali kamu terjerat dia punya trik untuk menarik kamu ke urusan perkhidmatan lain.

Aku juga pernah membeli bunga bunga di tepi kuil Jalan Maarof. Aku belinya kerana mataku asyik melihatnya saban masa menyusuri jalan tersebut. Selepas beli dalam masa beberapa minit aku buang bunga itu kerana tidak menyukai baunya.
Kadangkala kaki kita seperti bergerak sendiri kerana ia seakan sudah kenal dengan tempat ia berpijak. Aku tak merasa letih bila berjalan. Aku suka melalui jalan yang sibuk di mana ketika kereta2 terseranduh di jalan, aku pandang ke belakang perut kereta yang beratur, melihat anak-anak beseragam sekolah melekap muka pada cermin dengan wajah monyok. Kadangkala aku berasa seperti serdadu gagah yang menempuhi belukar. Adakalanya aku terasa seperti seorang tabligh (mengingatkan pada abah aku yang menghilang).

Apapun bila tak berjalan kaki ; kaki bermimpikan bumi. Bila melangkah ; kaki menggomol bumi.
Sebenarnya banyak lagi nak tulis. Mungkin akan sambung lagi di blog ni nanti.

*gambar dua tahun lepas, jalan kaki dari Jalan Bangsar ke Pasar Seni sambil layan lagu The ACAB bukan ACAB

Comments