Friday, March 3, 2017

Nafas Baru Penulisan Malaysia

Ada seorang kenalan saya yang berumur hampir 50an mengatakan yang penulis-penulis sekarang terutamanya penulis muda, tidak lagi menulis seperti penulis pada zaman pasca merdeka dahulu. Saya memberikan jawapan ringkas saja ‘zaman telah berubah’. Dia berkeras mempertahankan jawapannya. Tak mengapalah kalau taknak terima pandangan saya. Kemudian muncul tulisan di surat khabar yang mengatakan penulis muda tidak agresif. Katanya penulis sekarang tidak mengangkat isu untuk diperjuangkan dengan secara berterusan. Katanya penulis hanya menulis sebagai hobi dan untuk menambah pendapatan dan jauh beza dengan golongan penulis dekad 60an,70an atau 80an. Saya fikir orang yang mengatakan sebegitu tidak begitu menerima kehadiran penulis muda yang menampilkan gaya penulisan atau isu yang berbeza di dalam buku mereka. Lihatlah scene perbukuan dalam kalangan anak muda. Betapa ramai penulis baru dan penerbit baru yang tumbuh bagaikan cendawan. Tulisan mereka mencabar konvensional dan tradisi kita. Pembaca saya kira mulai meningkat dan tertarik untuk membaca. Walaupun dalam kalangan mereka ada yang baik dan ada yang teruk karyanya. Memang saya fikir telah tiba saatnya untuk dunia penulisan atau sastera kita menerima gaya baru atau gelombang baru dalam persembahan karya sastera. Kita tidak boleh selamanya terperangkap dalam kenangan-kenangan silam, bermegah dengan mekarnya dunia penulisan dahulu. Apakah sekarang sastera Malaysia lesu? Saya katakan tidak, sebaliknya ia bercambah menjadi satu anak pokok yang baru dan meninggalkan pokok lama yang barangkali terlalu uzur dan akan tumbang pada bila-bila masa. Tidak selamanya kita akan menulis tentang penjajahan, ultra-Melayu atau ortodokisme Islam yang tak mungkin tamat. Marilah kita melihat dunia luar dan bandingkan, apakah kita berada pada landasan betul dalam menambahkan bilangan pembaca untuk menghayati karya sastera? Sudahkah hasilan sastera kita berjaya menyentuh nurani kemanusiaan rakyat Malaysia? Usman Awang, Shahnon Ahmad, Latiff Mohidin, A.Samad Said dan Anwar Ridhwan. Ya, mereka penulis yang baik dan sasterawan. Kesinambungan daripada mereka memang perlu ada tapi biarlah penyampaiannya berbeza. Saya sendiri tak mahu membaca mana-mana novel/sajak dan kemudian merasakan ‘oh, mengapa novel/sajak ini seperti Salina, Sungai Mekong, Tulang-tulang Berantakan, Ranjau Sepanjang Jalan atau Naratif Ogonshoto?’ Saya mahu baca sesuatu dan kata ‘wah, berbeza, lain, menakjubkan, segar dan punya identiti sendiri. Sampai bila kita hendak terus menulis dengan gaya (lenggok dan langggam bahasa, isu yang diketengahkan) zaman pasca merdeka dahulu? Saya ada terbaca satu novel yang ditulis oleh penulis yang berumur, ianya berknaan perjuangan ketika mnentang komunis. Ya, tidak salah. Tapi alangkah lebih baik kalau dia menulis mengenai dunia sekarang dan tidak terpendap di dunia yang lepas. Bolehkah untuk sementara kita lihat pada dunia penulisan luar. Paling tidak kita renunglah pada penulis negara jiran kita. Wah, disana ada Eka Kurniawan, pemenang Man Booker Prize. Oh, ada juga Andrea Hirata. Novelnya sangat bagus dan adaptasi filemnya sehingga diperkatakan akan diremake semula oleh Hollywood. Ada Aaan Masyur yang sajaknya digilai ramai orang. Kita bandingkan dengan negara kita. Oh, pada tiap jam tujuh petang, atau sepuluh malam, tivi kita memutarkan drama adaptasi! Lihat, ada pelakon-pelakon kacak dan cantik (ada sesetengahnya berlakon macam kayu, tapi tak mengapa asal jambu atau cantik) yang membintanginya. Novel yang diadaptasikan ke drama itu bestseller. Memang romantik, memang trending sehingga jutaan orang menontonnya. Kemudian ada pula tulisan-tulisan sekadar coretan perasaan di twitter atau facebook. Tulisan ini dibukukan lalu dibilang inilah sajak! Wah, beribu orang membelinya. Kalau sekilas pandang pada fenomena ini mungkin betullah dakwaan yang mengatakan penulis muda kita tidak agresif. Tapi itu tidak benar. Dibawah sana, pada suatu sudut ada munculnya penulis-penulis yang hasilannya bagus. Yang dipuji sebagai membawa nuansa dan nafas baru dalam kesusasteraan Malaysia. Nama-nama seperti Faisal Tehrani, Saharil Hasril Sanin, Ridhwan Saidi, Sufian Abas, Wan Nor Azriq dan Saat Omar mula membawa gaya baru dalam penulisan mereka. Eka Kurniawan pernah menyebut, Wan Nor Azriq akan menjadi penulis besar satu hari nanti. Tiga buku terbitan Moka Mocha Ink telah tersenarai dalam bacaan 2016 oleh Gramedia, penerbit Indonesia. Amat jarang untuk Indonesia menyenarai karya dari Malaysia. Ini menunjukkan penulisan kita mula sedikit demi sedikit merobah gaya tradisional. Persoalannya disini ialah penerimaan dalam kalangan pembaca. Sambutannya bagaimana? Ini yang merunsingkan. Kalangan pembaca lebih senang mencari eksapisme sahaja. Mereka lebih suka membaca karya-karya ringan untuk berhibur dan tidak terlalu berfikir. Mungkin betul kata Sufian Abas ‘kita bukan perlukan bengkel penulisan tetapi bengkel membaca’.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Ratings and Recommendations

Social Icons

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail

Jobdirumah